FA Perancis Heret FA Argentina Ke Mahkamah Kerana Video Rasis Dimuat Naik Enzo Fernandez

Persatuan Bola Sepak Perancis (FFF) secara rasminya mahu mengheret Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) ke mahkamah kerana kelakuan rasis pemain pemain mereka.

Semalam tular video yang dimuat naik oleh Enzo Fernandez yang menunjukkan pemain pemain Argentina sekali lagi meraikan kejayaan mereka dengan lagu chant yang pernah mereka guna untuk ejek Perancis dulu.

Chant itu berbunyi: “Mereka bermain di Perancis sedangkan mereka semua dari Angola.”

Sindiran itu ditujukan kepada pemain pemain Perancis yang banyak berketurunan Afrika pada ketika ini.

Lantas peminat mengecam pemain pemain Argentina sebagai rasis. Dan salah seorang peminat Perancis mengingatkan pemain pemain Argentina bahawa kesemua pemain berdarah Afrika yang bermain untuk Perancis adalah lahir di Perancis.

Seorang lagi berkata: “Patutlah Argentina tiada langsung orang kulit hitam dalam pasukan seperti Brazil atau negara lain di Amerika Selatan. Sebab mereka rasis.”

Kemudian peminat yang lain berkata: “Enzo Fernandez tak apa, lepas ni kamu akan jumpa ramai rakan kamu dari Perancis di Chelsea.”

Ada juga yang mempertahankan chant itu sebagai sekadar banter: “Itu cuma banter, dan memang betul pun Perancis penuh dengan pemain dari Afrika.”

Namun FFF tidak dapat menerimanya dengan menyatakan bahawa: “Presiden FFF, Phillippe Diallo mengecam sekeras kerasnya tindakan rasis dan diskriminasi yang tidak boleh diterima ke atas pemain pemain Perancis yang dinyanyikan dalam sebahagian lagu oleh pemain dan penyokong Argentina – selepas mereka memenangi Copa America, berdasarkan video yang tular di media sosial.

“Berdepan dengan stereotaip yang mengejutkan seperti ini adalah bertentangan sama sekali dengan nilai dalam sukan ini dan juga hak asasi manusia.

“Presiden FFF memutuskan untuk mencabar FA Argentina dan FIFA – dan kami memfailkan tindakan perundangan di atas kelakuan yang berbaur penderaan rasis serta diskriminasi.”

Peminat Perancis berharap kesemua pemain yang dilihat menyanyikan lagu rasis itu dikenakan tindakan termasuk penggantungan. Nama Enzo Fernandez juga dipetik oleh peminat dari Afrika yang mendakwa mereka kecewa dengan pemain itu.

“Saya penyokong Chelsea dari Afrika dan Enzo Fernandez harus ditendang daripada pasukan Chelsea kerana dia jelas bermasalah,” tegas seorang penyokong.