FA Ukraine Rayu FIFA Buang Iran Daripada Piala Dunia 2022

Jurucakap FA Ukraine akhirnya mendesak FIFA agar membatalkan penyertaan Iran dalam Piala Dunia 2022.

Ini kerana kerajaan Iran telah menjadi pembekal senjata kepada Rusia ketika negara itu menyerang Ukraine.

Mereka juga dituduh melanggar artikel 3 dan 4 statut FIFA mengenai hak asasi manusia dan diskriminasi.

Sportsmail difahamkan Ukraine bukan satu-satunya persekutuan yang tidak selesa tentang penyertaan Iran di Qatar, dengan yang lain bercakap secara peribadi kepada FIFA mengenai kebimbangan mereka.

Pasukan kebangsaan Iran berada dalam Kumpulan B pada Piala Dunia 2022 di Qatar, 20-18 November.

Mereka akan menentang England, Amerika Syarikat dan Wales dalam peringkat kumpulan kejohanan bola sepak paling berprestij di dunia itu.

Tekanan untuk melucutkan kelayakan pasukan kebangsaan Iran turut timbul daripada pelbagai pihak. Ini bukan pertama kali Iran mendapat tekanan agar mereka disingkirkan daripada Piala Dunia 2022.

Beberapa bulan lalu, sudah ada pihak yang mencadangkan agar Iran dikeluarkan dan digantikan dengan negara seperti Itali.

Seterusnya beberapa minggu lalu, CEO Shakhtar Donetsk, Serge Palkin mendesak agar FIFA menggantikan Iran dengan Ukraine dalam Piala Dunia 2022.

Palkin mahu Iran ditendang

Rusia digantung daripada Piala Dunia dan kejohanan FIFA yang lain. Di peringkat UEFA, kelab kelab mereka dilarang untuk bertanding di pentas pertandingan di bawah UEFA.

Palkin menuduh Rusia menyerang Ukraine dengan senjata yang dihantar oleh kerajaan Iran.

“Apabila pemimpin Iran berseronok menonton pasukan kebangsaan mereka di Piala Dunia, rakyat Ukraine akan dibunuh oleh dron dan peluru berpandu dari Iran,” kata Palkin.

“Hampir 250 dron telah pun menyerang bandar di Ukraine. Semuanya dihasilkan dan dihantar oleh pihak berkuasa dan pengajar Iran.”

“Tentera mereka juga melatih dan menganjurkan pelancaran dron yang memusnahkan rumah, muzium, universiti, pejabat, arena sukan dan taman permainan, serta orang awam.”

“Orang awam ini termasuk kanak-kanak yang bermimpi bermain untuk pasukan kebangsaan Ukraine di Piala Dunia,” kata Palkin.

Ini membuatkan Palkin tidak teragak-agak untuk mengemukakan cadangan supaya FIFA memasukkan Ukraine sebagai pengganti kepada pasukan kebangsaan Iran.

“Shakhtar Donetsk menyeru FIFA dan masyarakat antarabangsa untuk mengharamkan penyertaan Iran dalam Piala Dunia 2022 kerana penyertaan negara mereka dalam serangan pengganas di Ukraine,” Palkin menyambung.

“Keputusan ini akan adil dan menarik perhatian dunia kepada rejim yang membunuh rakyatnya sendiri dan membantu membunuh rakyat Ukraine.”

“Tempat kosong Iran harus diberikan kepada Ukraine yang telah membuktikan kelayakan mereka untuk Piala Dunia dengan bermain dengan sepenuh hati.”

“Keputusan ini adalah adil dari segi sejarah dan mengambil kira faktor sukan.”

Pasukan kebangsaan Ukraine gagal melayakkan diri ke Piala Dunia selepas tewas kepada Wales pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022 di zon Eropah. Mereka tewas 0-1 kepada Wales pada perlawanan Jun 2022.

FA Ukraine buka suara

Dan pada hari ini, FA Ukraine telah mendesak FIFA untuk membuang Iran daripada kempen Piala Dunia 2022 atas hujah yang sama.

Namun difahamkan, agak sukar untuk FIFA membuang Iran kerana kejohanan Piala Dunia yang akan berlangsung 20 November akan datang.

Lagipun, jika FIFA mahu menggantung Iran, mereka masih perlu melalui beberapa prosedur perundangan yang rumit. Dan ianya tidak akan sempat untuk dilakukan dalam masa kurang 3 minggu.

Jawatankuasa eksekutif FA Ukraine mengeluarkan kenyataan petang semalam menjelaskan pendirian mereka.

Mereka berkata: “Dengan mengambil kira maklumat media mengenai manifestasi sistematik pelanggaran hak asasi manusia di Iran yang boleh melanggar prinsip dan norma piagam FIFA; dan mengambil kira resolusi majlis keselamatan PBB 22.31 mengenai pengenaan sekatan ke atas Iran, dan dakwaan penglibatan Iran dalam pencerobohan tentera Persekutuan Rusia terhadap Ukraine, kami merayu kepada FIFA dengan cadangan untuk mempertimbangkan untuk mengecualikan pasukan kebangsaan Iran daripada Piala Dunia FIFA 2022.”