Fabrizio Romano: Pochettino Hampir Pasti Milik Chelsea

Chelsea kini sedang mencari pengurus baharu mereka selepas jawatan itu dikosongkan oleh Graham Potter.

Pada ketika ini Chelsea dikendalikan oleh legenda kelab Frank Lampard.

Nama seperti Julian Nagelsmann, Luis Enrique dan Mauricio Pochettino menjadi antara calon dalam senarai yang sangat dikehendaki Chelsea.

Chelsea malah dilaporkan sudah bercakap dengan kesemua pengurus tersebut tentang jawatan di Stamford Bridge.

Kini kelab itu lebih hampir kepada Pochettino. Bekas pengendali PSG itu juga merupakan bekas pengurus musuh setempat mereka Spurs.

Pochettino sudah lama ingin kembali semula ke England. Sebelum ini usahanya mahu menyertai Man United gagal selepas dia tidak setuju ditawarkan interim terlebih dahulu. Dia mahukan kontrak tetap terus.

Pochettino juga dikaitkan dengan kelab lamanya Tottenham yang kini kelihatan lebih bergelut selepas ditinggalkan Antonio Conte yang dipecat.

Namun Pochettino hanya akan menyertai Chelsea pada Jun sebagai persiapan untuk  musim baharu.

Bermakna, Chelsea akan mengekalkan Frank Lampard untuk baki musim ini.

Pochettino sinonim dengan kelab Spurs. Di mana dia membantu kelab itu membentuk pasukan yang digeruni walaupun agak malang untuk tidak menang sebarang piala ketika di sana.

Dia kemudian dilantik menjadi pengurus PSG dan memenangi piala domestik di sana. Dia dipecat selepas gagal membantu kelab itu menjuarai UCL.

Chelsea yakin bahawa Pochettino individu paling tepat memacu projek kelab mereka. Yang kini sarat dengan bintang selepas berbelanja sangat besar dalam dua jendela perpindahan musim ini.