Fabrizio Romano: Pogba Tolak Manchester City & Ejennya Akan Terbang Ke Turin

Paul Pogba meninggalkan Juventus beberapa musim lalu untuk kembali semula ke Manchester United. Ketika itu, Pogba menjadi pemain termahal dunia dengan nilai EUR100 juta.

Kini pemain antarabangsa Perancis itu sudah sedia untuk kembali semula ke Juventus.

Sebelum ini Pogba dikaitkan dengan Manchester City, kerana Pep Guardiola merasakan dia calon terbaik menggantikan Fernandinho yang akan kembali semula ke Brazil musim hadapan.

Pogba memiliki gaya permainan yang digemari Guardiola.

Tetapi malangnya, pemain itu dikatakan tidak mahu ke Man City. Dia masih menjaga sentimen penyokong Man United yang pasti akan terluka melihatnya ke sana.

Fabrizio Romano melaporkan bahawa, ejen Pogba, akan terbang ke Turin pada Isnin untuk membincangkan kepulangan semula pemain itu ke Juventus.

Tidak pastilah, siapa ejen Pogba tersebut yang menggantikan Mino Raiola yang sudah meninggal dunia beberapa minggu lalu.

Rundingan dengan Juventus dijangka akan melibatkan soal pakej gaji. Agak mustahil untuk Juventus membayar gaji semahal seperti yang Pogba terima di Man United berdasarkan ekonomi semasa pasukan tersebut selepas pandemik.

Mungkin juga mereka akan membincangkan bonus atas tandatangan atau bonus prestasi untuk mengisi klausa kontrak Pogba?

Pogba memang sudah lama mahu kembali semula ke Juventus. Tempat yang dia anggap sebagai rumah keduanya. Dia membangun menjadi bakat elit dalam dunia bola sepak selepas menyertai Juventus sebagai pemain remaja. Pogba membantu Juventus meneruskan dominasi mereka di Itali sebelum ini ini.

Pogba bergandingan dengan Andrea Pirlo dan Arturo Vidal membentuk gandingan yang luar biasa di tengah.

Namun selepas itu, Pogba memutuskan untuk kembali semula ke Man United. Dia menegaskan bahawa ada urusan yang masih belum selesai antara dia dan Man United.

Pogba memaksudkan, dia mahu memenangi EPL ataupun  UCL bersama Man United.

Malangnya, sejak dia tiba di Man United, kelab tersebut kerap bertukar pengurus.

Dia sempat menjulang piala pada era Jose Mourinho dengan 1 piala domestik dan 1 Liga Europa.

Kemudian dia juga dikatakan menjadi sebab kenapa Mourinho dipecat.

Pogba seringkali dikaitkan dengan isu dalaman kelab. Ejennya sebelum ini, Mino Raiola seringkali tak sehaluan dengan pengurusan Man United.

Kehadiran Alexis Sanchez menjadi titik tolak kepada konflik permintaan gaji oleh Pogba. Mino Raiola malah pernah mendesak kelab merombak kontrak Pogba dan mahukan pemain itu menjadi penerima gaji tertinggi.

Ini kerana menurut Raiola, pada masa itu, Pogba satu satunya pemain berkelas dunia dalam pasukan United dan dia paling berhak menerima gaji paling tinggi.

Permintaan itu tak dilayan Man United. Raiola kemudian memberitahu media bahawa dia mahu membantu Pogba keluar ke kelab lebih baik yang mampu menyokong perkembangan bakatnya.

Antara kelab yang dikaitkan dengan Pogba termasuk Juventus, Real Madrid dan terbaru dengan PSG.

Namun segalanya tidak dapat direalisasikan kerana Man United kekal dengan pendirian bahawa Pogba bukan untuk dijual.

Pogba seringkali dikritik kerana prestasinya dikatakan tidak seperti prestasi terbaiknya di Perancis ketika dia bermain di Man United.

Walaubagaimanapun, Pogba tetap menunjukkan magisnya dalam beberapa perlawanan dengan keupayaannya melakukan gol screamer.

Di bawah Rangnick, pengurus interim itu menyatakan bahawa Pogba masih menjadi pemain penting kelab.

Tetapi malangnya, sehingga ke hari ini, Man United masih gagal memujuk Pogba menurunkan tandatangannya pada kontrak baharu.

Juventus bukan satu satunya pilihan yang Pogba ada. Beliau juga akan cuba melihat tawaran PSG selepas ini. Selepas membuat perbandingan barulah Pogba membuat keputusan.

 

Baca yang lain