FAM Ajak ZamSaham Selesai Cara Keluarga

Konflik di antara FAM dan pemilik pasukan Kelantan FC, Norizam Tukiman (popular dengan nama ZamSaham) telah menjadi perhatian peminat bola sepak tempatan.

Segalanya bermula apabila ZamSaham mengamuk kerana Kelantan FC diancam akan dipotong 3 mata jika Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) gagal melunaskan tunggakan gaji pemain mereka.

Menurut ZamSaham, FAM telah bertindak tidak bijak kerana seolah olah menjatuhkan hukuman di atas kesalahan KAFA ke atas Kelantan FC yang kini menjadi kelab swasta.

Namun FAM tampil menafikan dakwaan tersebut dan menyatakan kenyataan mereka diputar belitkan oleh media.

ZamSaham kemudian mendedahkan surat oleh FAM dan membangkitkan isu bayaran penajaan dan juga bayaran pengadil oleh MFL.

Perkara itu mendapat perhatian oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi.

Di mana beliau mahukan kemelut yang melanda diselesaikan dengan cara terbaik sebagai satu keluarga bola sepak.

Dipetik daripada Sinar Harian, Yusoff berkata: “Elok selesai dengan cara keluarga. Orang macam Zamsaham (Norizam) tidak ramai. Kita sedar tidak ramai yang mahu melabur duit mereka sendiri dengan banyak.

“Keluarga bola sepak tempatan tentu menyambut baik kehadiran tokoh seperti Zamsaham untuk mewarnai dan membantu industri bola sepak negara.”

“Eloklah kita selesaikan salah faham ini dengan cara baik. Saya diberi mandat untuk menjemput Norizam berbincang dengan baik bersama (Setiausaha Agung FAM) Stuart (Ramalingam) dan Datuk Ghani (Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan) dalam tempoh terdekat.”

“Sebab itu saya serahkan kepada FAM dan MFL untuk berbincang dengan elok seperti menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tidak berselerak,” tambah beliau lagi.

Baca yang lain