FAM menerusi Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam telah membuat penafian tentang berita yang menyatakan bahawa mereka mahu Kelantan FC dipotong mata kerana tunggakan gaji yang ditanggung Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).
Berikut adalah kenyataan Stuart Ramalingam:
FAM Nafi Buat Kenyataan Kelantan FC Berdepan Tindakan Pemotongan Mata
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ingin menafikan telah mengeluarkan sebarang kenyataan kepada media bahawa Kelantan FC akan dikenakan tindakan pemotongan tiga mata dalam saingan Liga Premier musim ini sekiranya Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) gagal melunaskan tunggakan gaji 11 bekas pemain pasukan berkenaan.
Apa yang berlaku sebenarnya, kenyataan tersebut yang ditulis dalam artikel seperti yang disiarkan di sini: BERNAMA– Tunggakan gaji pemain: Kelantan FC berdepan tindakan pemotongan mata merupakan rumusan yang dibuat sendiri oleh wartawan berkenaan dan bukannya dipetik daripada kenyataan sebenar daripada Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.
Berikut adalah klip audio rakaman perbualan temu ramah yang telah dibuat oleh wartawan berkenaan ketika menghubungi Stuart, semalam yang mana ketika menjawab soalan tersebut, Stuart langsung tidak menyatakan mengenai pemotongan mata terhadap Kelantan FC, seperti yang dilaporkan dalam artikel berkenaan.
Malah apa yang boleh didengar dalam rakaman audio itu, Stuart telah mengelak untuk menjawab soalan berkenaan pemotongan mata itu supaya tidak mengeruhkan keadaan di antara KAFA dan Kelantan FC di peringkat domestik.
WARTAWAN BERNAMA: Seperti Mr Stuart cakap tadi, berdasarkan perbincangan awal Kelantan FA setuju selesaikan hutang dan tunggakan dulu, tetapi sekiranya masih gagal Kelantan FA selesaikan dan dibawa ke JK Disiplin dan dibahaskan sebagainya, tetapi masih gagal jelaskan lagi apa biasanya tindakan?
Dulu tolak 3 mata, denda tetapi sekarang melalui proses transisi FA ke FC dan sekiranya masih gagal jelaskan lagi, apa tindakan yang FAM boleh lakukan?
JAWAPAN SETIAUSAHA AGUNG:
Saya tak nak speculate dan saya juga tak nak keruhkan keadaan di peringkat domestik, saya rasa relationship… hubungan antara FA Kelantan dan FC Kelantan amat penting untuk berada di dalam sistem atau di dalam environment yang baik untuk masalah- masalah ini dilunaskan dan diselesaikan bersama.
Saya pun tak nak speculate atau give any indication yang mungkin akan spark benda yang tidak diingini di peringkat domestik hubungan antara FA dan FC. Tetapi sebagaimana saya katakan tadi Kelantan FA dalam mesyuarat tempoh hari sudah beri jaminan atau persetujuan untuk cuba membuat bayaran tersebut dan saya harap perkara itu akan dibuat.
Untuk itu, di sini FAM ingin mengingatkan pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai ZamSaham agar tidak terburu-buru dalam mengeluarkan sebarang kenyataan di media sosial tanpa memeriksa ketepatan fakta tersebut terlebih dahulu dan cuba menyerang FAM dengan mengaitkan pula isu-isu yang tiada kena mengena dalam hal ini.
Perkara seperti ini boleh dielakkan daripada berlaku jika Norizam menghubungi terus Sekretariat Agung FAM untuk mendapatkan penjelasan atau pengesahan.
FAM juga akan mendapat penjelasan daripada BERNAMA yang mengeluarkan laporan itu atas sebab kandungannya yang boleh dianggap berlainan daripada jawapan yang diberi dalam temu ramah berkenaan.
Perkembangan berkaitan: Diancam Potong 3 Mata Sebab Hutang, Pemilik Kelantan FC ‘Mengamuk’, Mahu FAM Lebih Bijak Dari Biasa
Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman ataupun dikenali dengan Zamsaham hari ini mengamuk di media sosial gara gara kenyataan FAM yang menurutnya tidak cerdik.
Segalanya bermula apabila Pengerusi Jawatankuasa Status Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Mohd Joehari Ayub dalam kenyataan mereka semalam memaklumkan bahawa KAFA dikehendaki membayar tunggakan gaji kepada;
Muhammad Fauzi Rozlan sebanyak RM63,628.18, Muhammad Zulfahmi Awang (RM50,000), Muhammad Afiq Azuan (RM32,141.99) dan Wan Mohammed Afiq Wan Mohamed Kasbi (RM21,000).
KAFA juga perlu melunaskan tunggakan gaji Mohamad Azzrie Aripin sebanyak RM4,075, Muhammad Syafiq Syahmi Husin (RM3,877), Muhammad Fahmi Izzuddin Ab Rahman (RM2,681), Ahmad Fathi Irfan Azlan (RM3,279), Muhammad Fikri Hakim Kama (RM1,289.50), Ahmad Hamzalah Zulkiflee (RM2,681) dan Mohamad Fazliera Ezlan Mohd Rosli (RM3,126.25).
Seterusnya Bernama melaporkan bahawa, jika tidak melangsaikan hutang tersebut, Kelantan FC akan dipotong 3 mata. Itu yang membuatkan Zamsaham marah.
Hari ini Zamsaham memberikan respon bahawa, FAM seharusnya memperbaiki diri sendiri daripada mencari kesalahan orang lain.
Zam berkata: “Penswastaan yang kurang bijak. Hutang KAFA, denda ke Kelantan FC. Apa guna Swasta?”
Beliau turut menyindir: “Penswastaan industri bola Malaysia adalah paling last di dunia, dan paling bijak!”
Selain itu Zam juga mempersoalkan tentang peranan FAM kepada kemajuan pasukan kebangsaan.
“Ranking Bola Malaysia 153 dunia. Paling memalukan!! Siapa yang urus dan jaga bola sepak Malaysia?
Menurut Norizam, beliau difahamkan bahawa KAFA akan membayar hutang organisasi tersebut. Dan kenapa Kelantan FC yang perlu tanggung akibatnya?
“KAFA dah jelaskan (bahawa) baki hutang mereka akan bayar.”
“Kelantan FC, dah nak fokus kedepan. FAM pula sepatutnya membantu penswastaan. Bukannya awal-awal dah cerita nak tolak 3 mata kepada media tanpa sebarang pertanyaan kepada kelab dan KAFA terlebih dahulu.”
Zamsaham turut mempersoalkan apa tindakan FAM kepada MFL yang masih berhutang wang hak penyiaran dengan pasukan Liga Malaysia termasuk tunggakan gaji pengadil?
“Mohon FAM, biar lebih bijak dari biasa. Hutang-hutang MFL siaran perlawanan belum bayar!”
“Hutang MFL duit referee pun belum bayar! Apa perjuangan FAM? Renovate office?”
KAFA sudah berjanji Kelantan FC tak akan tanggung hutang mereka
Pada Ogos tahun lalu, Penasihat Undang-Undang KAFA Alawi Mohd Rashid berkata bahawa Kelantan FC tidak akan terikat dengan hutang yang ditanggung KAFA.
“KAFA telah menubuhkan sebuah syarikat yang dikenali sebagai Team Red Warriors Sdn. Bhd akan diberikan hak dan tanggungjawab untuk mengendali dan menguruskan pasukan Kelantan FC.
“Syarikat Team Red Warriors Sdn. Bhd yang menguruskan Kelantan FC akan bertanggungjawab sepenuhnya mencari pemain-pemain dan jurulatih termasuklah urusan pembayaran gaji,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Alawi berkata segala kos pengurusan pasukan, perlawanan dan sebagainya juga perlu ditanggung oleh Team Red Warriors Sdn. Bhd.
“Penswastaan itu nanti akan menyaksikan KAFA dan Kelantan FC akan terpisah serta mempunyai entiti masing-masing. Selepas ini, KAFA tidak lagi mempunyai apa-apa hak dan tanggungjawab ke atas Kelantan FC,” katanya.
KAFA bakal diasingkan untuk menswastakan Kelantan Fc. KFC bakal diuruskan sepenuhnya oleh syarikat Trw Sdn. Bhd. menjelang musim 2021.
KAFA tidak akan campur tangan dalam urusan Kelantan Fc hanya menumpukan pembangunan bakat tempatan sahaja.
Bereh ko rebeh adik kakok? 🤔 pic.twitter.com/3LWsJm0zFJ
— 𝔹𝕖𝕣𝕚𝕥𝕒 𝔹𝕠𝕝𝕒 𝕂𝕖𝕝𝕒𝕟𝕥𝕒𝕟 (@TwtBolaKelate) August 28, 2020
“Selepas ini KAFA hanya akan terlibat dengan aktiviti-aktiviti pembangunan bola sepak seperti menganjurkan pertandingan Liga Tempatan, pertandingan bawah umur dan banyak lagi,” katanya.
Katanya, isu yang timbul dalam seminggu dua ini berkenaan penjualan pasukan bola sepak pada hakikatnya adalah penjualan dan pengambilalihan syarikat Team Red Warriors Sdn. Bhd dan bukannya KAFA.
“Mana-mana pihak yang ingin membeli dan mengambil alih pasukan bola sepak Kelantan hendaklah membeli saham-saham dalam syarikat tersebut dan seterusnya mendapat hak untuk menguruskan Kelantan FC dalam pertandingan musim 2021,” katanya.