FAM Tak Pasti Apa Kuasa PBNP Gantung Sumareh Sedangkan Kes Sedang Diteliti Di FIFA

Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang mendapat perhatian ramai pihak apabila mereka dengan bergerak solo menjatuhkan hukuman ke atas Mohamadou Sumareh. Walaupun pemain itu sudah mengajukan kes beliau kepada FIFA.

Namun menurut PBNP itu tidak menghalang mereka daripada menjatuhkan hukuman gantung 2 tahun daripada aktiviti bola sepak.

Hukuman itu diumumkan oleh PBNP kerana menurut mereka Sumareh, bersalah di atas empat tuduhan melanggar kontrak seperti berikut:

  • Membuat kenyataan media tanpa persetujuan PFA.
  • Membawa kes beliau terus ke Fifa dan tidak melalui jawatankuasa FAM
  • Gagal mengikuti latihan bersama pasukan Liga Super Pahang dari 3 Ogos hingga 28 Ogos.
  • Gagal hadir untuk perlawanan Liga Super Pahang menentang JDT di Kuantan pada 28 Ogos.

Namun hukuman oleh PBNP itu dilaporkan berkuatkuasa untuk aktiviti bola sepak di Pahang dan aktiviti di bawah seliaan PBNP.

Kes yang sama pernah berlaku dahulu kepada Dollah Salleh di mana Persatuan Bola Sepak Johor (JFA) ketika itu menggantung Dollah Salleh 3 tahun daripada aktiviti bola sepak di Johor.

Dollah Salleh turut dilarang bermain dengan pasukannya dalam kunjungan mereka ke Johor Bharu.

Kes Sumareh itu mendapat perhatian Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam.

Dan beliau menegaskan FAM kini menggunakan pendekatan tunggu dan lihat apakah tindakan daripada FIFA.

Ini kerana secara automatik kuasa FIFA lebih besar daripada FAM. Kes ini sudah dibawa ke FIFA.

FAM menegaskan FIFA sedang mengumpul butiran dan bukti berkaitan dan keputusan tatatertib berkenaan masalah ini dijangka akan diumumkan akhir tahun ini.

Dipetik dari Stadium Astro, Stuart berkata: “Seperti yang telah kami ketahui sebelumnya, perselisihan antara PFA dan Sumareh sekarang sedang disiasat di Fifa. Oleh kerana itu, FAM perlu menghormati proses sewajarnya badan pemerintah dunia sebelum mengambil tindakan apa pun.”

“Agar tidak menyulitkan masalah, FAM tidak akan memberikan komentar lebih lanjut mengenai hal itu sampai keputusan dibuat di Kamar Penyelesaian Pertikaian di Fifa.”

FAM menegaskan isu Sumareh ini rumit. Kebiasaannya hukuman berat seperti yang dikenakan oleh PBNP itu adalah melibatkan kes besar seperti rasuah ataupun mengatur perlawanan.

Untuk kes perlanggaran kontrak ianya tidak seberat itu hukumannya. Lebih lebih lagi jika Sumareh berjaya dalam dakwaannya ke atas PBNP yang tidak melangsaikan gajinya mengikut jadual dipersetujui dalam kontrak.

Oleh itu FAM tidak sewenang wenang boleh menggantung Sumareh pada masa ini, sedangkan kes beliau sedang disiasat dan diteliti di FIFA.

FIFA malah memberikan Sijil Perpindahan Antarabangsa agar pemain tengah berusia 26 tahun itu dapat bermain untuk Police Tero FC dalam liga Thailand.

 

Baca yang lain