FAM Tidak Perlu Menggelabah Dan Hanya Perlu Fokus Kepada 3 Perkara Ini

Malaysia menamatkan kempen kelayakan Piala Dunia 2022/23 dengan menundukkan Thailand 1-0 hasil jaringan penalti Safawi Rashid. Keputusan tersebut meletakkan Malaysia di tangga ke-3 kumpulan G dan layak secara terus ke pusingan ke-3 kelayakan Piala Asia tanpa melalui pusingan playoff.

Perlawanan pertama pusingan kelayakan akhir Piala Asia dijadual berlangsung pada pertengahan November tahun ini.

Mengikut ranking semasa (153) Malaysia diramalkan berada di port ketiga, namun kedudukan ini mungkin berubah selepas pemenang dari peringkat playoff diketahui.

Sebelum kelayakan akhir tersebut bermula, Malaysia mempunyai masa selama 5 bulan bagi melakukan persediaan.

Apakah yang harus dilakukan oleh pasukan Malaysia dalam tempoh tersebut?

1. KEKALKAN TAN CHENG HOE (TCH)

TCH dilantik sebagai ketua jurulatih Malaysia pada Disember 2017 menggantikan Nelo Viganda. Perlantikannya dilakukan ekoran prestasi buruk yang dicatatkan oleh pasukan Malaysia pada ketika itu.

Malaysia tewas dalam 5 perlawanan kelayakan akhir Piala Asia 2019. Sebelum perlantikkannya juga Malaysia gagal mencari kemenangan lebih dari setahun, hampir 12 perlawanan.

Sejak bersama Malaysia, TCH sudah mengharungi 34 perlawanan. TCH merekod 18 menang, 4 seri dan 12 kalah. Ia satu peningkatan baik selepas Malaysia hanya merekod 7 menang dan 10 seri pada 34 perlawanan sebelumnya.

Pencapaian Malaysia di kelayakan ke-2 Piala Asia 2022/23 juga lebih baik berbanding edisi sebelumnya. Malaysia muncul pasukan ke-2 terbaik dari Asia tenggara melalui kutipan 12 mata hasil 4 kemenangan.

Filipina berada di tangga ke-2 dengan 11 mata, Thailand 9 mata, Singapura 7 mata, Myanmar 6 mata dan Kemboja 1 mata. Menewaskan Thailand 2 kali juga merupakan pencapaian baik yang dilakarkan oleh Malaysia dibawah TCH.

Sebelum itu, kejayaannya membawa Malaysia ke final Piala AFF merupakan satu lagi pencapaian.

Tiada sebab kukuh untuk Malaysia melakukan rombakan menggunakan ketua jurulatih baru ketika TCH masih lagi berada di landasan untuk membawa Malaysia ke Piala Asia 2023.

Baca juga

Thailand 0 Malaysia 1: Penalti Safawi Sudah Cukup Untuk Jinakkan Gajah Perang

2. MANFAATKAN MINGGU ANTARABANGSA

Seperti negara lain, Malaysia bakal melalui minggu antarabangsa pada September dan Oktober. November adalah bulan kelayakan akhir Piala Asia bermula.

Malaysia perlu mengatur sekurang-kurangnya 4 perlawanan persahabatan kelas A pada September dan Oktober. Malaysia boleh menambah lagi 2 perlawanan persahabatan bukan kelas A pada minggu antarabangsa tersebut.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak perlu mengarahkan Malaysia Football League (MFL) melakukan rombakan besar jadual pertandingan domestik. FAM cuma perlu memanfaatkan ruang 10 hari pada setiap minggu antarabangsa dengan mengatur 2-3 perlawanan.

Apa yang dilakukan oleh FAM pada 2019 merupakan percaturan baik apabila meletakan 1 perlawanan persahabatan pada setiap minggu antarabangsa. Malaysia mempunyai 1 perlawanan tambahan menjadi 3 dan perlawanan tersebut menjadi persiapan akhir terbaik dalam minggu antarabangsa.

3. TCH PERLU PANTAU DAN KENALPASTI PEMAIN SASARAN

TCH juga perlu memaksimakan masa yang dia miliki, tidak boleh terlalu bereksperimen dengan pemain pada 2 minggu antarabangsa yang dimilikinya.

TCH harus mengenalpasti pemainnya melalui prestasi di saingan domestik berbanding membuat ujikaji dalam kem latihan negara.

Pemain yang menunjukan prestasi terbaik, sebulan atau 2 bulan sebelum panggilan dibuat mestilah menjadi sasaran utamanya.

TCH hanya perlu mencari jalan bagaimana mahu membina pelan permainan dengan pemain berprestasi tersebut.

RUMUSAN

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak perlu menunjukkan sikap panik dan mengelabahnya setiap kali Malaysia meraih keputusan buruk. Secara keseluruhan, perlawanan di Dubai tidak menunjukkan prestasi Malaysia buruk.

Malah Malaysia muncul pasukan terbaik dari Asia Tenggara di belakang Vietnam.

Malaysia cuma menghadapi masalah prestasi pemain. Majoriti pemain berada di bawah par. Malaysia hanya perlu melihat dan memperbaiki masalah tersebut.

Bukan membaiki benda yang tidak rosak.

Baca yang lain