FAM: Tolak Panggilan Kebangsaan, Rizal Ghazali Berdepan Denda RM25K & Digantung Aksi Domestik

Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar menyatakan bahawa pemain bek sisi Sabah, Rizal Ghazali boleh dikenakan tindakan tatatertib kerana menolak untuk menerima panggilan skuad kebangsaan.

Rizal dipanggil ganti Syahmi Safari

Bekas pemain Kedah, Rizal Ghazali awalnya tidak tersenarai. Namun pemain yang dipanggil iaitu pemain bek sisi JDT, Syahmi Safari terpaksa meminta pelepasan khas daripada tugasan kali ini kerana isterinya baru bersalin anak kembar 3.

Maka Kim Pa Gon memutuskan untuk memanggil Rizal Ghazali yang turut beraksi dalam Piala AFF yang lalu. Malangnya pemain itu menolak dan masih tidak memaklumkan secara rasmi sebab kenapa beliau menolak.

Sementara itu, Kim Pa Gon akhirnya memutuskan untuk memanggil Ahmad Khuzaimi Piee untuk menyertai latihan pusat Harimau Malaya.

Dalam kenyataan rasmi Kim Pa-gon menerusi laman rasmi FAM, bertulis:

“Pemain pertahanan Negeri Sembilan FC, Ahmad Khuzaimi Piee, yang sebelum ini berada dalam Senarai Bersedia, dipanggil melapor diri ke kem latihan pasukan kebangsaan bermula hari ini menjelang kunjungan ke Singapura minggu depan.”

“Ahmad Khuzaimi menggantikan Syahmi Safari, dari Johor Darul Ta’zim FC, yang memohon pengecualian susulan kelahiran bayi kembar tiganya.”

“Perancangan asal kami ialah menggantikan Syahmi dengan seorang pemain pada posisi yang sama, iaitu bek kanan tetapi pemain Sabah FC, Rizal Ghazali, menolak pelawaan. Atas sebab taktikal, pengurusan pasukan kebangsaan memberi peluang kepada Ahmad Khuzaimi membuktikan kemampuan sebagai pemain bek tengah berkaki kiri.”

“Bagi pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), pengurusan pasukan kebangsaan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Syahmi seisi keluarga atas kelahiran ini.”

Rizal berdepan tindakan?

Jadi ramai yang tertanya tanya, adakah Rizal Ghazali bakal dikenakan tindakan? Ini kerana sebelum ini FAM sudah menyatakan bahawa mereka akan mengambil tindakan kepada pemain yang ingkar panggilan skuad kebangsaan.

Mengulas tentang perkara itu, buat masa ini Saifuddin menyatakan bahawa FAM mengambil pendekatan tunggu dan lihat terlebih dahulu. Buat masa ini tiada tindakan boleh diambil kerana Harimau Malaya berlatih ketika di luar kalendar minggu antarabangsa FIFA.

Walaubagaimanapun, jika Rizal Ghazali tidak datang juga pada tarikh aksi antarabangsa kalander FIFA, pemain itu akan dihadapkan ke jawatankuasa tatatertib FAM.

Saifuddin berkata kepada BERNAMA: “Kita hanya boleh mengambil tindakan jika beliau tidak menghadiri latihan kebangsaan pada tarikh FIFA tersebut, jadi apa yang boleh dilakukan hanyalah menunggu sampai tarikh tersebut iaitu pada 21 Mac.”

“Jika pada tarikh tersebut beliau tidak menghadirkan diri, kita akan bawa perkara ini kepada jawatankuasa tatatertib yang boleh mengambil keputusan dan sebarang tindakan ke atas beliau [Rizal Ghazali].”

Mohd Saifuddin turut mengesahkan bahawa pihaknya pada masa sama tidak menerima sebarang surat rasmi menyatakan sebab mengapa Rizal menolak panggilan kebangsaan tersebut.

Saifuddin menambah: “Saya hanya dimaklumkan oleh jurulatih kebangsaan Kim Pan Gon bahawa pemain itu tidak turut serta hadir.”

Ditanya mengenai bentuk hukuman terhadap pemain yang menolak menyertai skuad kebangsaan, beliau berkata tindakan penggantungan bermain dalam liga domestik selain hukuman denda RM25,000 boleh dikenakan.

Ketika ini skuad Harimau Malaya menjalani sesi latihan pertama mereka bersama dengan jurulatih baharu Kim Pa-gon yang baru dilantik beberapa bulan lalu.

Latihan pusat kali ini diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kim Pa Gon dalam misi untuk mengembalikan semula prestasi Harimau Malaya ke tahap yang lebih baik. Ini selepas pasukan Harimau Malaya menunjukkan prestasi mengecewakan dalam Piala AFF yang lalu.

SUMBER: BERNAMA

Baca yang lain