FAT Buat Aduan Rasmi Kepada AFF, Akui Terkejut Dengan Kelakuan Ganas Penyokong Indonesia

Persekutuan Bola Sepak Thailand (FAT) akan menghantar surat bantahan rasmi kepada AFF selepas insiden yang berlaku dalam perlawanan menentang pasukan kebangsaan Indonesia.

Mereka akan membuat aduan tentang keganasan penyokong dan kelemahan petugas keselamatan Indonesia mengawal keadaan. FAT menyatakan mereka kesal dan terkejut dengan kelakuan ganas tersebut.

Salah satu isu yang diketengahkan daripada perlawanan antara pasukan kebangsaan Indonesia dan Thailand ialah insiden vandalisme di dalam bas yang dinaiki skuad pasukan kebangsaan Thailand.

Kejadian berlaku ketika bas pasukan kebangsaan Thailand memasuki kawasan Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta.

Bas Thailand itu diserang sejumlah penyokong pasukan kebangsaan Indonesia di Stadium Utama Bung Karno sehingga retak cermin.

Jurulatih pasukan kebangsaan Thailand, Alexandre Polking amat kesal kejadian itu menimpa bas mereka.

“Memang memalukan melihat situasi itu, ia tidak sepatutnya berlaku, kerana kami perlu fokus pada permainan,” kata Alexandre Polking selepas perlawanan.

“Dan kita perlu mempunyai organisasi yang baik dalam situasi tersebut.”

“Dan kini semua orang tahu bahawa bas itu diserang ketika melintas jalan,” kata pengendali skuad Thailand berasal dari Brazil itu.

Selain Alexandre Polking, ketua jurulatih Indonesian, Shin Tae-yong turut membuat kenyataan dengan nada sama selepas perlawanan yang berkesudahan seri 1-1.

“Terima kasih, kerana anda sangat menyayangi pasukan kebangsaan Indonesia,” kata Shin Tae-yong dalam sidang medianya.

“Anda perlu tahu bahawa ini adalah sesuatu yang menggembirakan penyokong anda, jadi anda perlu boleh menghormati lawan dan tidak memberi sebarang bahaya kepada lawan,” kata STY dalam nada kecewa dan risau jika insiden itu sampai ke pengetahuan FIFA.

Lebih lebih lagi Indonesia bakal menjadi penganjur Piala Dunia Belia B-20 yang akan datang. Sebelum ini beberapa insiden keganasan penyokong telah berlaku di Indonesia sepanjang 2022.

FAT menyelar tindakan tidak ada semangat kesukanan oleh segelintir penyokong Indonesia itu.

FAT menegaskan bahawa mereka dalam proses mengumpul bukti untuk dihantar ke Persekutuan Bola Sepak Asia Tenggara (AFF).

Kenyataan ini dibuat oleh Setiausaha Agung FAT Patit Supaphong ketika ditemu bual oleh media Thailand, Mainstand.

“Persatuan telah menghantar banyak bukti kepada pasukan pengurusan sejak malam perlawanan.”

“Persatuan telah memaklumkan kepada Indonesia untuk memberi perhatian khusus terhadap isu ini. Tetapi masih ada kejadian seperti ini berlaku,” kata Patit Supaphong lagi.

“Kami, Indonesia dan Thailand masih berpeluang bertemu lagi di final. Kita harus berfikir jika kita bertemu lagi apa yang akan berlaku.”

“Terdapat acara di mana peminat bola sepak boleh merenung kembali perkara ini,” tambah Supaphong.

Selepas perlawanan, pasukan kebangsaan Thailand terus pulang ke hotel menaiki bas yang dikawal rapi oleh polis.

“Apabila [kejadian] berlaku malam tadi, saya menelefon pegawai pasukan dan memberitahu mereka jangan risau. Persatuan ini bekerjasama dengan pasukan keselamatan di Indonesia,” kata Supaphong.

“Indonesia memberi kerjasama yang sangat baik supaya tiada perkara serius berlaku lagi.”

“Selepas perlawanan tamat, kami mengumpul semua bukti termasuk gambar dan video daripada peminat bola sepak,” sambung Supaphong lagi.

Baca yang lain