Federer Umum Persaraan, Nadal Titip Ucapan Penuh Emosional

Roger Federer mengumumkan persaraannya daripada gelanggang tenis. Pemain yang dianggap antara yang terbaik sepanjang zaman itu telah memutuskan bahawa kejohanan akan datang adalah yang terakhir buatnya.

Seteru no.1 beliau di dalam kariernya, Rafael Nadal berkata ia adalah “satu penghormatan” untuk berkongsi “detik menakjubkan” dengan Roger Federer selepas pemain hebat Switzerland itu mengumumkan persaraannya daripada tenis pada hari Khamis.

Federer, 41, berkata dia akan bersara selepas Piala Laver di London pada September. Dia sudah tidak bermain sejak Wimbledon 2021 kerana masalah lutut.

“Roger yang dihormati, rakan dan saingan saya, saya harap hari ini tidak akan datang,” tulis Nadal di Twitter.

“Ia adalah hari yang menyedihkan untuk saya secara peribadi dan untuk sukan di seluruh dunia. Ia adalah satu keseronokan tetapi juga satu penghormatan dan keistimewaan untuk berkongsi sepanjang tahun ini dengan anda, menjalani banyak detik menakjubkan di dalam dan di luar gelanggang.”

Federer, juara Grand Slam 20 kali, hanya berada di belakang Nadal (22) dan Novak Djokovic (21), dalam senarai utama perseorangan lelaki.

Mereka telah berdepan 14 kali di acara Grand Slam, dengan Nadal menang 10 kali dan Federer empat.

Perseteruan atau permusuhan di antara Federer dan Nadal digelar Fedal oleh peminat mereka. Dianggap antara yang terbaik dalam sejarah sukan dunia. Perseteruan yang menjadikan mereka berdua atlet yang lebih baik dan sentiasa berada di tahap tertinggi.

Terdapat juga beberapa kontroversi melibatkan mereka. Namun itu sudah dilupakan oleh Nadal dan Federer yang kini bersahabat baik.

“Kita akan mempunyai banyak lagi detik untuk dikongsi bersama pada masa hadapan, masih banyak perkara yang perlu dilakukan bersama, kita tahu itu,” sambung Nadal.

“Buat masa ini, saya benar-benar mendoakan kamu mendapat segala kebahagiaan bersama isteri anda Mirka, anak-anak kamu, keluarga kamu, dan menikmati apa yang ada di hadapan kamu. Saya akan berjumpa dengan kamu di London pada Piala Laver.”

Kejohanan itu akan berlangsung pada 23-25 ​​September, menyaksikan bintang tenis dari Eropah berdepan dengan pemain lain dari seluruh dunia, dengan Nadal dan Federer bersama dalam ‘Pasukan Eropah’.

Baca yang lain

TERKINI: Barca Kekal Kepimpinan Xavi

Xavi Hernandez akhirnya setuju untuk terus kekal di Barcelona. Semalam laporan Mundo Deportivo menyebut bahawa pengurus itu berjumpa dengan pengurusan tertinggi di