Fekir: ‘Bekas Ejen Saya Penipu, Dia Punca Saya Gagal Ke Liverpool, Sedih Wei’

Pada 2018, Nabil Fekir sangat hampir untuk menyertai Liverpool. Namun segalanya berakhir dengan cara menyedihkan buat pemain Perancis itu.

Fekir akhirnya membuka mulut tentang apa sebenarnya berlaku pada 2018. The Reds ketika itu sudah bersetuju dengan harga £53 juta yang diminta Lyon.

Fekir malah sudah melakukan sesi fotografi dan sedia untuk diumumkan kepada umum.

Dan video ini disahkan sebagai legit, di mana Fekir sudah melakukan sesi temubual bersama dengan petugas media Liverpool.

Beliau ketika ini hanya dibezakan dengan beberapa jam sahaja daripada pengumuman rasmi.

Ketua FA Perancis ketika itu yang berada di kem latihan Perancis, mengesahkan bahawa ada delegasi dari Liverpool datang bertemu Fekir di pusat latihan Perancis untuk melakukan pemeriksaan medikal dan memberikan jaminan bahawa Fekir adalah milik Liverpool.

Malang sekali, laporan menyatakan kegagalan Fekir adalah masalah kecederaan lutut pemain Perancis itu. Di mana laporan menyatakan Liverpool meminta pengurangan harga kerana mendapati sejarah kecederaan lutut Fekir sangat membimbangkan.

Fekir menegaskan, sebenarnya ianya gagal bukan kerana isu lututnya. Namun lebih kepada beberapa orang tertentu yang mengendalikan perpindahan itu.

“Itu adalah zaman kegelapan bagi saya. Saya melihat banyak perkara yang tidak benar pada masa itu. Mereka mengatakan bahawa kecederaan lutut menghalang saya untuk pergi ke Liverpool, tetapi itu tidak benar, “kata Fekir kepada The Times.

“Saya pergi ke Clairefontaine [pusat bola sepak Perancis berhampiran Paris] dan mereka melakukan semua pemeriksaan [perubatan], lutut saya baik-baik saja,” tambah beliau lagi.

Fekir kemudian menyalahkan bekas ejennya, Jean-Pierre Bernes, sebagai dalang di sebalik kegagalan tersebut. Menurut Fekir:

“Saya mempunyai masalah dengan ejen saya, penasihat saya. Ejen saya [yang] bertanggungjawab atas kesepakatan yang tidak dapat dicapai itu. ”

Fekir menggambarkan bahawa ejennya berlaku tidak jujur dalam rundingan tersebut. Membuatkan segalanya menjadi rumit. Namun Fekir tidak mahu menjelaskan dengan lebih lanjut kerana ianya mungkin akan membuatkan Fekir diheret ke mahkamah.

Ejen beliau dilihat cuba mengambil kesempatan daripada perpindahan tersebut untuk meraih lebih banyak wang.

Fekir akhirnya meninggalkan Lyon pada tahun 2019 dan berpindah ke Real Betis dengan harga £ 17.7 juta dengan kontrak selama lima tahun.

Fekir masih sayu memikirkan kegagalannya ke Liverpool. Di mana dia sudah berjumpa sendiri dengan Jurgen Klopp.

Klopp adalah individu yang membuatkan Fekir benar benar teruja mahu datang ke Liverpool walaupun deretan tawaran daripada kelab yang lain.

Fekir pada masa itu berada di kemuncak prestasinya.

“Sudah tentu saya kecewa tidak berpindah ke Liverpool, sangat kecewa kerana Liverpool adalah kelab yang hebat,” kata Fekir.

“Saya malah sudah bertemu jurulatih, Jurgen Klopp, dan segalanya berjalan lancar. Setelah bertemu dengannya, kemahuan saya lebih kuat mahu menyertai Liverpool. Dia seorang yang baik.”

“Sangat sukar untuk berhadapan dengan semua ini, kerana saya benar-benar mahu pergi ke Liverpool. Itu adalah saat yang sukar bagi saya,” kata Fekir lagi.

Selepas kegagalan itu karier Fekir sedikit merosot. Beliau kehilangan tempat dalam pasukan Perancis.

Klopp ketika itu mahu menjadikan Fekir sebagai pemain tengah dalam pasukannya.