Felix Anggap Xavi Lebih Bagus Mengendalikan Manusia

Joao Felix sekali lagi melancarkan kritikan ke atas Diego Simeone. Sebelum ini pemain itu disisihkan oleh Simeone daripada projeknya di Atletico selepas dia terang terangan mempersoalkan taktikal pengurus itu.

Felix kemudian dipinjamkan ke Chelsea. Dan gagal untuk mendapatkan perpindahan tetap kerana Chelsea dan Atletico tidak mendapat kesepakatan harga. Ini ditambah dengan tindakan Felix yang setuju melanjutkan kontrak baharu di Atletico sebelum dia berpindah secara pinjaman ke Chelsea.

Selepas itu, Joao Felix dipinjamkan ke Barcelona. Kenyataan Felix yang menyatakan bahawa Barcelona adalah kelab impiannya sejak kecil membuatkan ramai penyokong Atletico bengang.

Ketika di Barcelona, Joao Felix memuji taktikal Xavi Hernandez sebagai lebih menghiburkan berbanding dengan Diego Simeone. Pemain itu berharap dia akan dapat berpindah ke Barca secara tetap.

Terbaru Joao Felix memuji Xavi sebagai pengurus yang memiliki hubungan sesama manusia yang lebih baik berbanding Diego Simeone.

Felix berkata: “Perbezaan antara Xavi dan Diego Simeone? Xavi berhubung dengan lebih baik dengan orang lain. Xavi ada sentuhan sesama insan yang lebih baik. Dia lebih mengambil berat tentang para pemain.

“Aspek kemanusiaan untuk lebih dekat dengan orang lain. Saya rasa Xavi adalah lebih baik dalam aspek itu.”

Kenyataan terbaru Joao Felix ini benar benar memberikan isyarat bahawa dia tidak kisah untuk terus kehilangan tempat dalam skuad Diego Simeone.

Felix perlu kembali ke Atletico selepas 30 Jun ini jika perjanjian pinjaman dia tidak diperbaharui. Hal ini kerana ketika ini Barcelona masih bergelut untuk mendaftarkan 9 pemain daripada skuad mereka musim 2023/24 untuk musim baharu.

Barcelona walaubagaimanapun masih berusaha untuk melanjutkan lagi perjanjian pinjaman Felix dan Joao Cancelo terutamanya.

Bercakap tentang di mana dia akan beraksi pada musim akan datang, Joao Felix berkata: “Perancangan saya jelas, saya mahu terus bermain untuk Barcelona, saya sangat suka dengan kelab Barcelona. Namun ini adalah perjanjian pinjaman dan saya tidak ada kuasa untuk mengawal keadaan.”

Barcelona akan memulakan musim akan datang dengan pengurus baharu mereka, Hansi Flick yang dilantik menggantikan Xavi Hernandez.

Xavi dipecat pada akhir musim lalu selepas membuat kenyataan kontroversi yang kurang disenangi Joan Laporta.