Ferdinand: Ferguson Pun Pasti Benci Lihat Ronaldo Berpakaian Man City

Rio Ferdinand berkongsi cerita bagaimana respon beliau sebaik sahaja menerima berita bahawa Cristiano Ronaldo sedang menuju ke Manchester City.

Sebelum sah bergelar pemain Manchester United, Cristiano Ronaldo dilaporkan sudah mencapai kesepakatan dengan Manchester City secara peribadi.

Ferdinand gembira dengan kejayaan Man United mencantas tandatangan Ronaldo daripada milik City.

United mengumumkan kepulangan semula legenda kelab mereka itu.

United dalam kenyataannya berkata: “Manchester United dengan senang hati mengesahkan bahawa kelab telah mencapai kesepakatan dengan Juventus untuk perpindahan Cristiano Ronaldo, dengan syarat perjanjian peribadi, visa dan ujian perubatan.”

Cristiano Ronaldo dilaporkan dibeli oleh Manchester United dengan bayaran sekitar EUR25-30 juta dengan kontrak 2 tahun.

Ronaldo sebelum ini pernah bermain untuk Man United selama enam musim dari 2003 sehingga 2009. Selepas itu beliau berhijrah ke Real Madrid.

Namun peminat peminat United termasuk Rio Ferdinand tidak senang duduk dengan berita Ronaldo yang dikaitkan dengan Manchester City.

Rio telefon Ronaldo terus

Lalu beliau menelefon sendiri Ronaldo dalam usahanya mahu menghalang pemain itu daripada menyertai Manchester City.

Ferdinand berkata: “Hari yang indah kawan, bila hari indah kenalah pakai spek.”

“Sir Alex Ferguson pun akan sama seperti saya. Dia pasti akan benci melihat Cristiano memakai jersi City, sama juga kepada semua orang yang sudah bersama kelab ini sejak sekian lama.”

“Sebaik saja mendengar berita itu, saya terus menelefon dia, apa yang sedang berlaku? Beritahu saya kamu cuma berdusta.”

“Saya seperti penyokong lain juga, kami semua senada, tolong beritahu saya bahawa kamu tak akan ke sana [menyertai City].”

Ferdinand kemudiannya menyatakan bahawa, kepulangan semula Cristiano Ronaldo ke Man United sebagai pelengkap kepada perpindahan terbaik. Sebelum ini Man United sudah rasmi mendapatkan Jadon Sancho dan Raphael Varane.

“Ini adalah jendela perpindahan terbaik, kita menyaksikan beberapa penandatanganan yang hebat musim panas ini.”

Ronaldo boleh melakukan debut keduanya menentang Newcastle pada 11 September.

Baca yang lain