Fernando Santos Tak Suka Reaksi Ronaldo Ketika Dikeluarkan

Fernando Santos nampaknya tidak gembira dengan reaksi Cristiano Ronaldo yang dilihat menunjukkan wajah tidak gembiranya ketika dikeluarkan.

Ini bukan perkara baharu melibatkan Ronaldo. Dia pernah menunjukkan reaksi yang sama ketika dikeluarkan Ralf Rangnick atau Erik Ten Hag.

Dia malah pernah mempersoalkan arahan pengurus yang mahu memasukannya lewat permainan, di mana dia menolak untuk masuk dan terus beredar balik.

Manchester United mengambil tindakan ke atas Ronaldo kerana ianya dianggap tidak menghormati pengurus dan rakan sepasukan lain.

Ronaldo kemudian tampil meminta maaf dan menyatakan dia harus bertindak dengan lebih baik.

Namun beberapa bulan kemudian dia mendedahkan alasan utama dia bertindak begitu adalah kerana dia tidak mahu bermain hanya 3 minit sambil menyatakan dia bukanlah pemain yang mahu dilayan seperti itu.

Bersama Portugal, Ronaldo buat hal lagi. Ketika aksi berdepan Korea Selatan, Ronaldo dikeluarkan awal kerana sumbangannya kepada pasukan sangat sedikit.

Sebelum perlawanan Ronaldo bergelut untuk cergas sepenuhnya. Namun Fernando Santos mengesahkan Ronaldo mahu terlibat dalam perlawana itu dan enggan direhatkan.

Ketika pasukannya buntu mencari gol pada kedudukan 1-1, Ronaldo dikeluarkan, dan dia menunjukkan reaksi kecewa.

Dia malah bertelagah dengan pemain Korea Selatan yang menuduhnya sengaja membazirkan masa permainan.

Santos mempertahankan tindakan Ronaldo yang memberikan reaksi kepada pemain Korea pada masa itu. Mendedahkan bahawa Ronaldo bertikam lidah dengan pemain Korea Selatan kerana mereka yang terlebih dahulu biadap dengan pemain itu.

Namun dari satu sisi lain, Santos tidak suka dengan sikap Ronaldo yang terlalu jelas menunjukkan dia tak suka dikeluarkan.

Ianya seolah olah tidak mempercayai dan menghormati rakan rakannya yang lain.

Santos bertegas bahawa dia tidak menyukainya.

Dia berkata: “Saya tak dengar apa yang dikatakan di atas padang namun saya tengok gambar itu dan saya tidak suka sama sekali. Dari situ, isu ini kami bincangkan dan selesaikan di belakang. Selesai masalah ini.”

Terdapat juga laporan menyebut, Fernando Santos sudah memberikan amaran kepada Ronaldo bahawa tindakannya itu boleh membuatkannya kehilangan jawatan kaptennya pada hari perlawanan demi menjaga keharmornian pasukan.

Bagi Santos, pemain sentiasa tidak boleh lebih besar daripada pasukan. Santos tidak menjamin Ronaldo akan menjadi kapten mereka dalam aksi seterusnya. Kerana pemain itu masih belum pasti berada dalam kesebelasan utamanya.

“Saya hanya memutuskan siapa yang akan menjadi kapten apabila saya tiba di stadium,” kata Santos.

“Saya masih tidak tahu apakah barisan pemain saya yang akan bermain. Itulah yang saya selalu lakukan dan itulah yang akan saya lakukan dan ia akan sama esok.”

“Isu lain dah selesai. Kami telah membetulkannya secara dalaman dan itu sahaja.”

Ronaldo menjadi pemain lelaki pertama yang menjaringkan gol dalam lima Piala Dunia apabila dia menyempurnakan sepakan penalti menentang Ghana dalam aksi pembukaan Kumpulan H mereka.

Dia menjadi ejen percuma selepas meninggalkan Manchester United, dia sedang memikirkan secara serius tawaran lumayan untuk menyertai kelab Arab Saudi Al Nassr. Ronaldo telah menerima tawaran rasmi yang menyaksikan dia akan dibayar hampir €200m (£173m) semusim dengan kontrak sehingga 2025.