Filem Rocky Jadi Inspirasi Klopp Dalam Menempuh Cabaran

Juergen Klopp merupakan pengurus bolasepak yang sentiasa menarik karektornya. Sama ada kalah atau menang (kalah tu dah lama tak rasa, macam mana rupa dia kalah pun macam dah lupa dah), dia turut akan beraksi di tepi padang.

Beliau sentiasa menjadi perhatian media terutamanya apabila pasukannya menjaringkan gol, beliau akan melompat dan menjerit penuh kegembiraan.

Beliau sangat passionate dengan bola sepak, dan dia tidak dapat sorok perasaannya itu.

Dalam tulisannya di laman web The Player’s Tribune, Klopp menulis esei yang berjudul “Maybe I Am Dreaming” dan mengatakan tentang bagaimana beliau mendapat inspirasi dari filem Amerika tahun 1980an, iaitu filem Rocky lakonan Silverster Stallone sebagai Rocky Balboa.

“Saya mengambil inspirasi dari filem, jadi setiap kali saya perlu nak naikkan motivasi anak buah saya, saya akan fikirkan watak Rocky Balboa.

“Pada pendapat saya, filem ini patut ditayangkan di sekolah-sekolah di seluruh dunia. Ia seperti belajar mengenal abjad. Jika anda menonton filem ini dan tidak rasa bersemangat, saya rasa anda ada masalah,” kata Klopp dalam artikel tersebut.

Klopp bercerita tentang pengalamannya ketika bersama dengan pasukan lamanya, Borussia Dortmund pada tahun 2011.

“Ketika itu, Dortmund tidak pernah menang di Munich selama 20 tahun dalam sejarah.

“Satu malam itu, saya kumpulkan anak buah saya di hotel dan adakan teamtalk. Saya kata, kali terakhir Dortmund tewaskan Munich, kamu semua masih pakai Pampers.”

Klopp kemudian memainkan sedutan filem Rocky untuk para pemainnya mendapat motivasi. Filem tersebut, Rocky IV, mengisahkan Rocky Balboa, peninju dari Amerika bertarung dengan Ivan Drago, peninju dari Soviet Union yang mempunyai dana latihan yang lengkap dari kerajaan Soviet.

Scene filem tersebut di mana watak Ivan Drago (lakonan Dolph Lundgren) sedang berlari di treadmill sambil terdapat wayar-wayar di nadi dan di dadanya yang disambungkan ke komputer untuk kajian saintis Soviet.

“Cuba tengok! Bayern Munich ni macam Ivan Drago! Mereka ada teknologi canggih, duit banyak, dan dia kuat!”

Kemudian watak Rocky Balboa yang berlatih dengan kapak kayu di tepi hutan.

“Kita ni macam Rocky Balboa. Mungkin kita tidak secanggih mereka, tapi kita ada hati dan perasaan dan kalau kita ada hati seperti sang juara, kita akan jadi juara!” kata Klopp dalam ucapan team-talknya.

Malangnya, semua pemain Borussia Dortmund itu tidak faham apa yang diceritakan oleh Juergen Klopp.

“Saya lupa yang masa filem ini disiarkan, mereka ni semua masih bayi atau belum dilahirkan lagi. Yang tahu tentang filem ini cuma dua orang iaitu Sebastian Kehl dan Patrick Owomoyela.

“Kadang-kadang kita rasa ucapan kita tu paling bagus dalam dunia, tapi sebenarnya kita memalukan diri kita sendiri. Inilah yang terjadi dalam hidup kita. Kita cuma manusia biasa,” kata Klopp lagi.

Dalam perlawanan tersebut, pasukan Dortmund yang dipimpin beliau ketika itu menewaskan Bayern Munich 3-1 di Allianz Arena.

Menurut Klopp, beliau melihat pemain-pemainnya dalam perjalanan hidup mereka, dan ia sangat mengagumkannya.

“Saya melihat bagaimana Mo Salah, Roberto Firmino, Sadio Mane – mereka sangat hebat! Mereka bukan dewa atau tuhan, tapi mereka tidak pernah lupakan impian mereka.”

Klopp juga berkata, 98 peratus dalam hidup seorang pemain bola sepak ialah bagaimana untuk menghadapi kekecewaan dan kekalahan.

“Saya tidak pernah lupakan kegagalan pertama saya ketika di Mainz. Pada tahun 2001, ketika saya mengambil alih jawatan pengurus, kebanyakan pemain semuanya bekas rakan sepasukan saya. Dalam saya membuat keputusan masa saya di Mainz, saya banyak buat silap.”

Beliau juga meluahkan perasaan terujanya ketika perlawanan separuh akhir Champions League menentang Barcelona di Anfield.

“Satu perkara yang saya amat kesalkan ialah saya sendiri tidak nampak kebijaksanaan Trent (Alexander-Arnold) semasa mengambil sepakan percuma itu.

“Yang pastinya saya rasa hampir 500,000 kali saya tengok video gol Divock Origi itu, dan saya masih rasa kesal kerana ketika peristiwa itu, saya cuma hanya sempat nampak bola itu masuk ke dalam gol sahaja.”

Sumber / Rujukan: The Players Tribune

Nami Cob Nobbler ialah penulis blog Teh Tarik Gelas Besar, disamping penulis novel popular, Awek Chuck Taylor. Dia juga penyokong bola sepak Liverpool FC, Selangor FA dan Gamba Osaka.

Baca yang lain