Green Packet dan syarikat petrol terbaru Malaysia, Five, telah mengumumkan kerjasama untuk melancarkan stesen minyak berkuasa kecerdasan buatan (Artificial Intelligence – AI) pertama di Malaysia.
Menurut Pengarah Urusan Five Petroleum Malaysia Sdn Bhd, Datuk Seri Dr King Lim, kerjasama itu akan membolehkan pengalaman digital tanpa tunai di semua stesen minyaknya.
Dalam pada masa yang sama akan dapat memanfaatkan teknologi tercanggih masa kini, seperti AI dan ‘machine learning’.
Five Petroleum akan menggunakan beberapa rangkaian solusi yang disediakan oleh Green Packet termasuk e-KYC, eWallet, gateway pembayaran dan pengecaman plat nombor.
Five akan melancarkan aplikasi mudah alih dengan Green Packet’s Kiple untuk memudahkan pembayaran tanpa tunai dibuat, selain daripada menghebahkan pelbagai tawaran kepada pengguna, seperti potongan harga dan pemindahan wang peer to peer.
Five yakin bahawa stesen minyak “berkuasakan AI” tidak hanya akan memberikan pengalaman pengisian bahan bakar tanpa gangguan.
Tetapi ia juga turut memberikan pengalaman pembayaran digital yang lancar, daripada pembayaran bahan bakar sehinggalah ke membeli barang di toko runcit mereka.
Selain itu, pengguna Five juga akan dapat mengumpulkan, mengurus dan membelanjakan mata ganjaran mereka dalam aplikasi yang sama.
Aplikasi Five yang bakal dilancarkan ini mirip dengan Setel Petronas dan akan menarik untuk melihat pembayaran bahan bakar melalui Pengecaman Plat Kereta.
Selain itu, Setel kini turut dikuasakan oleh platform KiplePay Green Packet.
Sementara itu, Shell baru-baru ini mengumumkan bahawa mereka juga akan menyokong Touch ‘n Go RFID yang akan membolehkan pembayaran lancar tanpa berinteraksi dengan telefon anda atau ke kaunter pembayaran.
Five adalah jenama petrol yang diurus selia oleh pasukan yang sama dengan Seng Group dan dan menawarkan pemasangan stesen minyak yang lebih kecil dan lebih mudah kepada pengusaha baru yang berminat.
Seng Group sudah terlibat dalam industri peruncitan petrol sejak 49 tahun. Syarikat yang berpangkalan di Pahang itu ketika ini sedang menguruskan BHPetrol, sejak 1971 lagi. Selain menguruskan jenama seperti Esso and Mobil.
Sumber: Soyacincau