Flick Dah Setuju Uruskan Bayern Semusim Sahaja, Namun Eberl Berkeras Mahukan Kompany

BILD mendedahkan sebenarnya Hansi Flick setuju untuk menyertai Bayern Munich untuk semusim sahaja. Ianya untuk meneruskan projek Tuchel sedia ada di mana Tuchel sepatutnya masih ada baki setahun lagi kontrak.

Uli Hoeness dan Karl Heinze Rummenigge akan menjadi orang yang membantu dan menyokong Hansi Flick dalam proses tersebut. Hoeness sangat rapat dengan Flick dan dialah yang menghubungi Flick memujuk dia agar membantu kelab itu kali ini. Dan Flick setuju.

Namun begitu terdapat percanggahan pendapat di kalangan pengurusan tertinggi Bayern. Max Eberl yang baru dilantik menjadi pengarah sukan Bayern pula mahu Bayern bermula terus dengan projek baharu di bawah Vincent Kompany.

Flick kemudian menganggap tawaran dari Bayern itu sudah tidak relevan untuk dia fikirkan. Dan dia kini mengintai jawatan di Barcelona pula.

Bayern Munich aktif mencari pengganti Thomas Tuchel sejak Februari. Dan ada beberapa pengurus menolak untuk menjadi pengurus Bayern. Ini termasuk Xabi Alonso dan Julian Nagelsmann.

Laporan di Jerman turut menyebut bahawa Hansi Flick turut menolak. Sebenarnya dia bukan menolak namun dia menganggap idea untuk membawanya ke Bayern sudah tidak dipilih lagi oleh kelab itu.

Bayern akhirnya berunding dengan Kompany. Dengan kesepakatan di antara kelab dan Kompany sudah dicapai. Cuma sekarang ini, kelab membincangkan pampasan yang diminta Burnley.

Kenapa kelab sebelum ini mahukan Hansi Flick? Kerana pengurus itu sedia mengendalikan Bayern untuk jangka pendek sehingga 2025.

Ini akan memberikan kelab fleksibiliti untuk memancing pengurus seperti Xabi Alonso, Jurgen Klopp dan Guardiola untuk musim panas hadapan.

Alonso memutuskan untuk kekal di Leverkusen musim baharu. Namun dia dilihat sedia untuk meninggalkan Leverkusen untuk musim berikutnya.

Seterusnya, Pep Guardiola masih belum melanjutkan kontrak dengan Man City. Walaupun Guardiola menyatakan bahawa buat masa ini dia tak memikirkan tentang pulang semula ke Bayern. Namun pengurus itu mengakui Bayern sangat istimewa di hatinya.

Paling menarik adalah idea membawa masuk Jurgen Klopp. Klopp sudah menyatakan dia mahu menghabiskan masa bercuti dengan keluarga dan berkata musim hadapan dia akan berehat. Namun selepas setahun berehat, mungkin Bayern boleh memujuk Klopp menyertai mereka.

Sama seperti Liverpool lakukan ketika Klopp berehat panjang selepas meninggalkan Dortmund dulu. Klopp sudah menyatakan bahawa dia tak akan mengendalikan mana mana kelab Inggeris selain Liverpool. Namun dia tak pernah menolak idea mengendalikan kelab Jerman yang lain selain Dortmund.

Klopp sudah lama menjadi sasaran Bayern. Namun pengurus itu memiliki tempoh sangat bahagia di Liverpool sepanjang 9 tahun.

Klopp juga dalam radar DFB untuk jawatan pengurus Jerman. Namun DFB baru sahaja menawarkan kontrak lanjutan kepada Nagelsmann. Jadi Bayern merasakan mereka boleh memujuk Klopp lepas ni.

Tetapi idea itu semua tidak disukai Max Eberl dan Christoph Freund. Yang yakin bahawa mereka boleh bermula dengan Vincent Kompany.

Menurut BILD, keputusan sudah pun dibuat di mana Bayern sedia memberikan kepercayaan kepada Kompany sebagai pengurus baharu.

Eberl dan Freund menilai kejayaan Hansi Flick sebelum ini kerana dia memiliki bintang yang tengah dalam prestasi terbaik dan mewarisi skuad yang sedang ranum. Berbeza dengan situasi Bayern yang ada sekarang.

Pencapaian Flick bersama Jerman juga dianggap antara perkara yang membuatkan Eberl percaya Flick bukan pilihan terbaik untuk Bayern.

Dengan perkembangan ini, Flick kini sedang menunggu tawaran daripada Barcelona. Yang baru melepaskan Xavi Hernandez.