Flick Masuk Sebulan Lebih Awal Dan Sudah Ingatkan Pemain Tentang Latihan Di Gym

Hansi Flick menunjukkan dedikasinya untuk menguruskan Barcelona apabila dia masuk kerja sebulan lebih awal secara sukarela tanpa menerima gaji.

Flick sebelum ini diumumkan oleh Barca sebagai pengurus baharu mereka menggantikan Xavi Hernandez yang dipecat.

Flick memang sudah menyuarakan keinginannya untuk mengendalikan Barcelona. Membuatkan dia menolak sebarang kemungkinan untuk kembali ke Bayern atau menyertai kelab seperti Man United.

Selepas dilantik secara rasmi, Flick sepatutnya akan memulakan tugasan rasminya pada 12 Julai, ataupun 2 hari sebelum Euro 2024 berakhir di Jerman.

Dia sudah pun masuk ke pejabat dan memulakan tugasannya di Barcelona sebulan lebih awal.

Dia dan beberapa staf kejurulatihannya malah sudah mengenalpasti beberapa isu yang menjadi masalah di Barcelona. Antaranya, pemain pemain dianggap tidak cukup kuat dari segi fizikal.

Hansi Flick sudah memberitahu pemain pemain Barcelona bahawa mereka harus banyakkan lagi sesi di gym selepas ini. Barcelona ramai pemain muda yang berbadan kecil, itu membuatkan Flick lebih teliti dalam isu fizikal pemain.

Flick juga sudah bersedia untuk menggunakan produk La Masia kerana kekangan kewangan di kelab itu.

Ianya didapati akan mendedahkan pemain kepada risiko kecederaan di atas padang jika tidak dikendalikan dengan secukupnya.

Hansi Flick merupakan pakar dalam pengendalian kecergasan pemain. Dia pernah membantu Joachim Low untuk mengendalikan aspek kecergasan selain taktikal dalam skuad Jerman dahulu.

Rekod kecederaan Barcelona dalam beberapa musim ini benar benar meresahkan kelab itu. Musim lalu dianggap musim yang sangat teruk dari sudut kecederaan. Ramai pemain mengalami kecederaan jangka panjang.

Ini termasuk kecederaan traumatik dilalui Frenkie de Jong dan Gavi. Sementara itu, Marc-André ter Stegen dan Marcos Alonso juga berehat beberapa bulan kerana kecederaan.

Ramai pakar berpendapat, corak latihan yang tidak cukup intensif membuatkan Barcelona bergelut dengan kecergasan. Dan perkara ini seolah olah disahkan oleh pandangan awal Flick tentang Barcelona.

Dia sudah merancang latihan pra musim berintensiti tinggi. Ini termasuk latihan berganda untuk latihan fizikal. Selepas itu dia juga akan memfokuskan tentang idea dan pendekatan taktikal.

Flick sudah menyediakan perancangan taktikal dan dia sudah berinteraksi dengan beberapa pemain Barca tentang idea taktikalnya. Apa yang pasti, Flick sudah memberitahu pemain, di bawah kendaliannya, pemain pemain tidak akan ada banyak rehat. Bahkan pada masa cuti rehat, para pemain masih diperlukan untuk melakukan rutin latihan tambahan.

Kecergasan menjadi aspek penting untuk memastikan taktikal mereka dilaksanakan. Setiap pemain akan diberikan beban latihan berbeza mengikut keperluan mereka.

Ketika di Bayern, Flick berjaya membentuk pasukan yang sangat cergas untuk menghadapi satu musim.