Francesco Totti: Enigma Cinta Abadi Si Trequartista Hanya Untuk AS Roma

Siapa tak kenal Francesco Totti. Antara pemain terbaik di dalam generasi beliau. Beliau diletakkan sebaris dengan legenda AS Roma yang lain seperti Bruno Conti, Falcão, Giuseppe Signori dan Giorgio Chinaglia.

Totti lahir pada 1976, dan menyertai AS Roma pada 1989, ketika itu beliau baru berusia 13 tahun.

Pada 1993, Francesco Totti melakukan debut untuk AS Roma. Dan beliau dilantik menjadi kapten AS Roma pada 1998.

Beliau salah seorang penyerang terbaik pada era beliau. Dikurniakan dengan skil, bakat dan juga kerja ajaib di atas padang.

Cintanya kepada Roma

Apa yang lebih istimewa, Francesco Totti cuma ada satu cinta dalam kariernya iaitu AS Roma. Beliau pernah menolak tawaran daripada banyak pasukan termasuk AC Milan.

AC Milan ketika itu ibarat Barcelona dan Real Madrid pada hari ini. Sukar untuk mana-mana pemain menolaknya, kecuali kamu Totti, ianya sesuatu yang mudah.

Totti berjiwa Romanisti sejati. Beliau memang dari kecil berimpian menyarung jersi AS Roma.

Totti pernah berkata: “Apabila kamu membesar sebagai kanak-kanak Rom, kamu ada 2 kemungkinan dalam pilihan kamu. Sama ada kamu mahu menjadi merah atau biru, Roma atau Lazio.”

“Namun dalam keluarga saya, cuma ada 1 pilihan iaitu Roma.”

Silvio Berlusconi dan Adriano Galliani pernah berusaha memujuk Totti menyertai pasukan invincible Milan pada awal 90-an. Namun Totti menolaknya.

Totti digelar Il Bimbo d’Oro (the Golden Boy) kerana bakatnya yang meningkat naik dengan sangat cepat pada usia muda.

Beliau dianggap antara trequartista terbaik di dalam sejarah Serie A ketika membantu AS Roma menjuarai Serie A.

Debut Totti bersama Roma adalah pada 28 Mac 1993. Dan ketika itu beliau baru berusia 16 tahun. Ianya berakhir dengan kemenangan 2-0 ke atas Brescia.

Pemain istimewa

Kegeniusan dan skil menarik yang ada padanya disulami dengan penyudah berbisa membolehkan beliau menjaringkan 306 gol dalam kariernya di Serie A.

Keyakinan luar biasa pemain ini, tak siapa akan lupa akan panenka yang beliau lakukan ketika berhadapan Belanda pada Euro 2000.

Enigma

Totti memiliki keupayaan dan sentuhan semulajadi yang beliau sendiri tak mampu untuk jelaskan.

Beliau hanyalah pemain yang melakukan latihan seperti biasa di pusat latihan. Jarang sekali beliau melakukan skil fantastik di pusat latihan.

Namun apabila di atas padang, pada tekanan yang berbeza, Totti akan menjadi pemain yang luar biasa. Ianya dianggap satu enigma. Sesuatu yang sukar dijelaskan.

Beliau menguatkan legasi namanya sebagai salah seorang kelahiran Rom terbaik dalam sejarah bola sepak Itali dengan membantu negaranya menjulang Piala Dunia.

Fabio Capello pernah menjadi pengurus beliau yang berjaya mengeluarkan yang terbaik daripada Totti.

Capello menyatakan: “Apabila ada Totti, jangan pernah berhenti nak menggunakan beliau. Jadikan belia titik fokal kepada setiap gerakan serangan. Berikan dia tanggungjawab untuk memikul beban di atas padang.”

Capello menegaskan, Totti adalah pemain yang akan lebih baik apabila beliau ada tekanan dan tanggungjawab tambahan diletakkan pada bahunya.

Walaupun beliau hanyalah Trequartista, namun rekod gol beliau adalah lebih banyak daripada Alessandro Del Piero, Roberto Baggio dan Gabriel Batistuta.

Korang bayangkan, nama yang disebutkan di atas tu. Betapa bagusnya Totti ni.

Gol pilihan peribadi Totti adalah gol ke-113 beliau ketika menewaskan Toldo pada 2005 di San Siro. Beliau melakukan chip dari luar kotak penalti yang sempurna.

Gol yang melemaskan Francesco Toldo tau. Saya ulanggggggg…. Toldo.

Beliau mengalami kecederaan panjang selepas itu. Namun kepercayaan oleh Marcello Lippi membuatkan Totti diserap ke dalam pasukan Piala Dunia 2006.

Kepercayaan Lippi terbalas. Totti mempamerkan salah satu aksi terbaik beliau di pentas antarabangsa.

Totti bermain kesemua perlawanan Piala Dunia 2006. Dan menyumbang 4 assist. Beliau menamatkan kempen sebagai Juara Dunia bersama pasukan Itali.

Ada sekali wartawan bertanya, kenapa beliau menolak tawaran kelab lain yang menawarkan beliau peluang memenangi lebih banyak trofi terutamanya UCL, berbanding di Roma?

Totti menjawab: “Rom adalah keluarga saya, rakan saya, orang yang saya cintai. Rom adalah lautan, gunung dan monumen bagiku. Kelab ini, bandar ini adalah nyawa saya.”

Totti tak pernah meninggalkan AS Roma pada era kegemilangan beliau secara peribadi. Sebab itu penyokong Roma sangat sayangkan Francesco Totti.

Beliau pernah mendapat tawaran daripada Milan, Real Madrid dan Manchester United, namun cintanya tetap kepada Roma.

Sir Alex Ferguson pernah berkongsi cerita, mereka mencuba nasib untuk memujuk Totti menyertai United pada 1999 dan 2000. Fergie tahu Totti ni tak akan tinggalkan Roma, namun mana tau kan.

Bagi Totti, cintanya kepada kelab adalah segalanya, trofi adalah bonus. Beliau membantu Roma memenangi Scudetto terakhir kelab pada 2001. Ketika itu beliau bersama dengan Gabriel Batistuta.

Sepanjang kariernya, Totti berjaya mendapat 5 Anugerah Pemain Terbaik Tahunan Itali.

Itulah kisah kesetiaan Francesco Totti kepada kelabnya melebihi apa sahaja. Kesetiaan seperti ini sukar nak dijelaskan. Tanyalah Gerrard, mungkin dia boleh jelaskan.

Sumber: The Guardian

Baca yang lain

UEL: Liverpool Rasminya Tersingkir

Liverpool berkunjung ke markas Atalanta dengan membawa defisit 3 gol dari Anfield. Misi mereka adalah menjaringkan 3 gol dan cuba mengelak bolos.