Gagal Dapatkan Mudryk, Arsenal Kembali Buru Raphinha

Arsenal terpaksa menelan kekecewaan selepas sasaran utama mereka Mykhailo Mudryk memeterai perjanjian dengan kelab  se-London, Chelsea pada jendela perpindahan musim sejuk 2023.

Jurulatih Mikel Arteta berminat untuk menambahkan lagi pilihan di barisan serangan The Gunners untuk separu kedua Liga Perdana 2022/2023.

Kelab yang berpangkalan di Stadium Emirates itu mengenal pasti pemain sayap Shakhtar Donetsk Mykhailo Mudryk sebagai sasaran membeli-belah mereka dalam jendela perpindahan kali ini.

Bagaimanapun, tiga tawaran yang dibuat oleh Arsenal untuk membawa masuk pemain dari kelab Ukraine itu ditolak.

Menurut pengurusan tertinggi Shakhtar, tawaran The Gunners masih di bawah tanda harga pemain itu yang mereka tetapkan €100 juta.

Chelsea, yang memantau rapat saga perpindahan Mudryk dengan Arsenal dilihat seakan akan tidak pernah berakhir.

Dan kemudian secara mengejutkan membentangkan cadangan menarik bernilai €100 juta, sesuai dengan tanda harga diletakkan kelab itu, yang segera dipersetujui kem Shakhtar.

Kini pemain berusia 22 tahun tersebut bakal menyarung jersi Chelsea.

Dan berita itu membuatkan Arsenal beralih ke sasaran lain. Menurut Evening Standard, Arsenal kembali berminat mendapatkan Raphinha.

Pemain yang sebelum ini menjadi sasaran Arsenal dan kemudian membuat perjanjian lisan dengan Chelsea. Tetapi akhirnya memilih Barcelona.

Pengarah Edu dikatakan telah menghubungi ejen Raphinha, Deco. Manakala Barcelona sendiri terbuka untuk mendengar tawaran untuk pemain tersebut.

Barcelona menyenaraikan Raphinha dalam senarai jual selepas gagal menepati harapan yang diletakkan ke atasnya.

Dengan prestasi cemerlang Ousmane Dembele dan Ansu Fati, agak sukar untuk Raphinha menjadi pemain kesebelasan utama kelab Catalan itu.

Raphinha memang sudah lama dalam senarai Arteta. Namun malangnya pemain itu lebih berminat menyertai Barcelona.

Raphinha baru sahaja menyertai Barca dari Leeds United pada musim panas lalu. Malangnya, prestasinya bersama Los Azulgrana jauh di bawah jangkaan umum.

Pemain sayap Brazil itu baru sahaja menjaringkan dua gol dalam 21 penampilan untuk gergasi Sepanyol itu pada musim 2022/2023.

Selain daripada Raphinha, beberapa nama lagi disenaraikan Barca untuk dibida kelab lain termasuk Ferran Torres, Memphis Depay dan Ansu Fati.

Baca yang lain