Galtier: “Messi Tiada Kaitan Dengan Tindakan Emi Martinez Menganjing Mbappe”

Christophe Galtier mengesahkan bahawa Lionel Messi diberikan cuti rehat khas yang lebih panjang bagi meraikan kejayaan menjulang Piala Dunia.

Dengan Neymar yang baru sahaja kembali menyertai Mbappe dan rakan rakan lain di PSG, Messi hanya akan kembali ke kompleks sukan PSG pada awal Januari akan datang.

Pengurus PSG, Christophe Galtier, mengesahkan bahawa Messi akan terbang kembali ke Paris pada tahun baharu dan terus berlatih pada keesokan harinya.

“Selepas kemenangan dan perayaan di Argentina, kami memutuskan bahawa dia [Messi] akan kembali pada 1 Januari. Dia akan menyertai kami pada perlawanan kedua atau ketiga selepas itu untuk mula bermain dengan kami semula,” jelas jurulatih PSG itu menjelang sambungan semula aksi Ligue 1 melibatkan kelab itu.

Di mana PSG akan menentang Strasbourg pada hari Rabu di Parc des Princes.

Walaupun Messi tidak akan dapat beraksi namun PSG masih diperkuat oleh Neymar dan Kylian Mbappe.

Hanya 10 hari selepas dia menjaringkan hatrik pada perlawanan akhir Piala Dunia untuk Perancis menentang Argentina, penyerang berusia 24 tahun itu ditetapkan untuk mengetuai barisan ketika PSG menentang Strasbourg.

Begitu juga dengan pemain yang beraksi di separuh akhir Piala Dunia, pemain pertahanan Maghribi, Achraf Hakimi. Di mana Galtier mengesahkan Mbappe dan Hakimi, kedua duanya mahu segera menyertai latihan pasukan walaupun sebelum ini masih diberikan rehat.

“Hakimi bermain dalam setiap perlawanannya di Piala Dunia, namun dia tetap mahu kembali menyertai kami secepat mungkin,” kata Galtier.

“Sama seperti Kylian, yang bermain dengan sangat baik dalam setiap perlawanan. Setelah bercakap dengannya dan pasukan saya, dia memutuskan untuk kembali dengan cepat. Itu bukan bermakna tidak akan ada masa di mana mereka perlu mengambil masa untuk pulih.”

Jurulatih itu juga telah menyatakan dia gembira dengan perkembangan pemuliha kecergasan penyerang Brazil, Neymar. Galtier juga merasakan Neymar juga turut pulih secara mental, selepas negaranya tersingkir pada suku akhir di Qatar.

Neymar mengalami kecederaan pada permulaan kejohanan yang membawa kepada spekulasi dia akan tersisih untuk keseluruhan kejohanan.

“Kami telah melihat kecederaannya, buku lalinya bengkak tetapi dia dapat bermain dalam dua perlawanan terakhir,” kata Galtier.

“Dia mempunyai masa untuk pulih, dia bersama pasukan perubatannya untuk merawat kecederaan itu. Apabila dia kembali pada 22 Disember, dia berlatih seperti biasa, tanpa sebarang halangan. Dia berlatih dengan baik, kecederaan semakin pulih. Dari segi mental, dia mahu bermain, jadi semuanya berjalan lancar.”

PSG akan dapat memanggil semula majoriti pemain mereka yang pergi ke Qatar. Selain Mbappe, Neymar dan Hakimi, gandingan pemain Portugal, Vitinha dan Danilo, pemain Sepanyol Carlos Soler dan Pablo Sarabia, dan penjaga gol Costa Rica, Keylor Navas semuanya cergas.

Terdapat spekulasi bahawa pertemuan semula antara Mbappe dan Messi mungkin menyebabkan ketegangan di bilik persalinan. Lebih lebih lagi, Lionel Messi sebelum ini dikritik kerana tidak menegur penjaga gol Argentina, Emi Martinez yang dianggap berlebihan dalam keraiannya yang mengejek Mbappe.

Galtier berkata, dia tidak kisah tentang Martinez. Apa yang penting adalah hubungan Messi dan Mbappe.

Galtier berkata: “Tingkah laku penjaga gol [Argentinian] [Emi Martinez semasa perlawanan akhir] adalah tingkah lakunya. Saya tiada kaitan untuk mengulas mengenainya. Apa yang penting ialah melihat hubungan antara Kylian dan Leo.”

“Messi tidak menimbulkan sebarang masalah atau memprovokasi orang lain. Apa yang saya nampak selepas final itu, tiada alasan untuk mengaitkan kelakuan penjaga gol Argentina dengan orang lain.”

“Kylian mempunyai sikap yang sangat baik, walaupun dia kalah. Tewas pada perlawanan akhir Piala Dunia adalah sesuatu yang sangat mengecewakan. Dia sangat kecewa. Dia pergi untuk mengucapkan tahniah kepada Messi dengan semangat fair play. Itu sangat bagus untuk kelab dan untuk pasukan.