Galtier Persendakan Agama Islam Dan Hampir Bertumbuk Dengan Digard

Pengurus pasuka Nice Didier Digard telah menjadi responden kepada kontroversi yang menyelubungi dia dan Christophe Galtier.

E-mel yang bocor, yang didakwa ditulis oleh bekas Pengarah Sukan Nice, Julien Fournier, telah mendakwa bahawa Galtier mengadu tentang jumlah pemain kulit hitam dan Muslim dalam skuad Nice yang terlalu ramai.

Peguam Galtier telah menafikan bahawa bos PSG itu telah membuat kenyataan diskriminasi itu.

Pada sebelah petang, Nice-Matin menerbitkan laporan mengenai hubungan Galtier yang tegang dengan beberapa rakan sekerjanya semasa musim sulungnya di kelab Nice.

Saluran itu turut menjelaskan hubungan tegang antara Galtier dan pengurus pasukan simpanan ketika itu Didier Digard – yang ketika ini merupakan pengurus pasukan utama berikutan pemecatan Lucien Favre tiga bulan lalu.

Galtier dikatakan telah mengkritik kepercayaan agama bekas pemain tengah dan jambang pengurus itu, dilaporkan telah membuatkan Digard menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Fournier.

Bekas pengarah itu merayu kepadanya untuk kekal. Kerana menurutnya, Digard tidak melakukan apa apa kesalahan dan ianya tidak mewakili prinsip dan pandangan kelab itu sama sekali.

Digard sudah tidak tahan dengan Galtier yang ketika itu telah menghina dan mempersendakan agamanya, Islam.

Dan turut dilabel dengan rujukan yang mengaitkannya dengan keganasan, kerana agamanya serta penampilannya yang berjambang.

Digard dan Galtier hampir bertumbuk pada masa itu. Namun dileraikan oleh Pengarah Sukan, Fournier.

Bercakap kepada media sebelum perlawanan suku akhir pertama Liga Persidangan Europa Nice menentang FC Basel, Digard tidak menolak dakwaan tersebut.

“Anda melihat, seperti kami, bahawa kami menjadi tajuk utama hari ini, walau bagaimanapun secara tidak sengaja,” kata Digard dalam sidang akhbarnya yang dihadiri Nice-Matin.

“Kelab telah mengeluarkan kenyataan. Kami tidak akan menambah apa-apa lagi. Terdapat dua versi yang bertentangan, kebenaran akan terserlah.”

Digard memberi jaminan kepada peminat bahawa kontroversi Nice dengan Galtier tidak akan mengganggu fokus pemainnya sebelum perlawanan Eropah mereka.

“Kami bersatu, tiada apa yang akan mengganggu kami. Tiada siapa yang akan membuat kita berfikir tentang perkara lain.”

Fournier yang sudah pun melepaskan jawatannya sebagai Pengarah Teknikal pada Julai 2022, pernah berkata pada September 2022:

“Jika saya menjelaskan sebab utama kenapa saya dan Galtier bergaduh – Christophe tidak akan berada di bilik persalinan di Perancis atau Eropah.”

PSG kini melancarkan siasatan dalaman ke atas Galtier sebaik sahaja laporan tentang tuduhan rasis yang dibuat pengurus mereka itu.

Agak ironi kerana kelab tempat Galtier bekerja sekarang, pemiliknya adalah beragama Islam.

Buat masa ini, Galtier masih kekal menafikan kesemua dakwaan tersebut.

Namun Digard yakin bahawa kebenaran akan terbongkar selepas ini.