Gara Gara Ucapan Harijadi Kepada Rakannya, Pemain Marseille Ini Digantung Oleh Kelab

Pemain Marseille, Ryan Hassad telah digantung kerana mengucapkan selamat hari lahir kepada rakan sepasukannya di media sosial. Tindakan itu benar benar mengejutkan pemain itu dan peminat Marseille sendiri.

Rayan Hassad yang berusia 18 tahun nampaknya merasakan dia tidak melakukan apa apa kesalahan dengan mengucapkan selamat hari lahir kepada bekas pemain pertahanan Newcastle dan Porto, Chancel Mbemba di cerita Instagramnya.

Namun kelab menganggap itu sebagai satu kesalahan. Kenapa agaknya?

Berdasarkan laporan oleh La Provence, Mbemba sebenarnya sedang menjalani penggantungan dari Marseille selepas dituduh menunjukkan “kelakuan buruk” terhadap pengurusan semasa latihan.

Dan menurut La Provence, melalui GFFN, mesej Hassad kepada pemain berusia 30 tahun itu dianggap ada mengungkit dan menyindir tentang insiden di dalam padang latihan melibatkan Mbemba dan jurulatih.

Mbemba terlibat dalam pertengkaran dengan staf kejurulatihan Ali Zarrak setelah dia memanggil Zarak dengan gelara ‘cousin’. Zarak tidak suka dipanggil begitu dan meminta pemain itu lebih menghormatinya sebagai coach.

Kemudian Mbemba membalas: “Habis tu aku nak panggil kau apa? Ali? Kau kan orang Afrika, jadi aku panggil kau cousin la. Dan suka hati aku nak panggil kau apa.”

Mbemba kemudian menunjukkan jari tengah kepada Ali Zarak sambil berkata: “Nah ini untuk kamu dan presiden,” kata Mbemba yang tidak berpuas hati dengan presiden kelab setelah Mbemba diberitahu bahawa dia tidak ada dalam perancangan kelab itu untuk musim baharu.

Mbemba telah bermain secara regular musim lalu dan membantu Marseille mara ke separuh akhir Liga Europa musim lalu. Namun dia dianggap lebihan berbanding keperluan oleh pengurus baharu Roberto De Zerbi sebaik tiba di Stade de Veledrome.

Dia sudah diberitahu untuk mencari kelab baru, Mbemba terpaksa berlatih dengan pasukan simpanan sebelum insiden di padang latihan dan penggantungan oleh kelab kerana dianggap bersikap biadap ke atas jurulatih sendiri.

Dalam mesej harijadi Ryan Hassad pula, dia menulis: “Selamat harijadi cousin.”

Kelab menganggap mesej itu sebagai sindiran kepada insiden yang berlaku di padang latihan. Marseille menganggap tindakan Ryan Hassad itu ibarat batu api yang memarakkan kembali kontroversi itu yang sedang mereda.

Dan kini Ryan Hassad terpaksa menerima akibatnya dan dia perlu menjalani penggantungan. Sebagai rekod pemain remaja itu antara pemain yang dianggap berpotensi untuk menjadi pemain utama musim ini. Namun dia terpaksa menerima hukuman hanya kerana mengucapkan selamat harijadi kepada rakannya yang masih dikenakan tindakan disiplin oleh kelab.

Ryan Hassad mengesahkan sendiri bahawa dia sudah menerima surat notis penggantungan oleh kelab. Dia menyatakan dia tidak merujuk kepada insiden tersebut, sebaliknya dia hanya menulis ‘cousin’ sebagai panggilan kepada Mbemba.

Ryan Hassad menulis di IG miliknya dengan berkata: “Ya saya telah digantung oleh kelab sebagai langkah berjaga jaga oleh OM selepas ucapan harijadi menerusi insta story saya kepada rakan sepasukan saya Chancel Mbemba. Di sini saya nak menjelaskan bahawa, saya tidak pernah berniat memberikan impak buruk kepada kelab dan pengurusan.

“Ini hanya mesej harijadi yang ringkas antara sahabat, dan saya buat perkara yang sama kepada rakan rakan saya yang lain. Jika tindakan saya menyinggung seseorang, saya meminta maaf, dan saya nak jelaskan saya tidak pernah berniat tidak baik.”

Peminat Marseille benar benar tidak percaya insiden seperti ini boleh berlaku dalam kelab tersebut. Mereka menganggap segalanya serba serbi tak kena dari pemain dan jurulatih.

“Pengurusan Marseille ni memang pelik, liga dah nak bermula, cerita bangang seperti ini pula timbul,” tulis seorang peminat.