Drama De Jong dan Barcelona ini sangat panjang. Segalanya bermula apabila Erik Ten Hag mahu menjadikan De Jong sebagai signing pertamanya dalam jendela perpindahan kali ini.
Segalanya nampak mudah apabila Barcelona turut menyenaraikan pemain itu untuk dijual. Ini kerana Barcelona memerlukan wang bagi menampung kos operasi kelab. Tetapi pada masa itu, De Jong menyatakan bahawa dia mahu terus kekal di kelab yang dia sokong sejak dari kecil.
Barcelona menerusi pengurus kelab, Xavi bercakap sendiri dengan De Jong tentang situasi kewangan kelab. Dan pemain itu pada masa itu dikatakan sudah mulai cair. Malangnya Manchester United pula tidak mahu membida harga setinggi EUR80 juta untuk pemain itu.
United mungkin melihat situasi di Barcelona, bahawa kelab itu terdesak mahukan duit dan tiada kelab lain yang benar benar mahukan De Jong. Barcelona pun menilai sudut pandangan yang sama. Mereka menilai Man United terdesak mahukan De Jong.
Selepas gagal dalam menentukan kesepakatan harga, dan tiada bidaan rasmi dibuat, Laporta tiba tiba mengumumkan bahawa Barca mahu pemain itu kekal. Dan tak mahu menjualnya ke mana mana kelab termasuk Manchester United. Laporta menegaskan kelab sudah menerima suntikan dana pertama hasil penjualan hak penyiaran. Namun Laporta menegaskan bahawa De Jong harus menerima pemotongan gaji dan disaran tidak meminta penuh tunggakan gaji sekitar EUR17 juta yang ada.
De Jong tak setuju dengan syarat itu. Barcelona kemudian meminta De Jong untuk menerima tawaran Manchester United. Kedua dua kelab dikatakan akhirnya mencapai kesepakatan harga. Tetapi pemain itu pula kembali berkeras tidak mahu pindah. Dan pada masa yang sama dia tak mahu dipotong gaji. Ada sesetengah peminat merasakan bahawa De Jong seharusnya menerima pemotongan gaji kalau dia sayangkan kelab. Fabrizio Romano pula berkata, senang kita bercakap sebab itu bukan gaji kita.
🚨 Man Utd in total agreement with Barcelona on €75m + €10m add-ons fee for Frenkie de Jong. Player side still unresolved in relation to personal terms with #MUFC & deferred wages with #FCBarcelona. W/ @lauriewhitwell @TheAthleticUK after @FabrizioRomano https://t.co/xThIizXKYE
— David Ornstein (@David_Ornstein) July 14, 2022
Kemudian Barca mengancam untuk meninggalkan De Jong daripada jelajah Amerika Syarikat jika dia tak mahu berpindah kerana kelab memerlukan wang. Ketika itu Barcelona sudah mengesahkan pemain seperti Andreas Christensen dan juga Frank Kessie secara percuma. Kemudian mereka mendapatkan Raphinha dengan nilai perpindahan sekitar EUR60 juta.
Bukan itu sahaja, hari berikutnya mereka mengumumkan Robert Lewandowski sebagai pemain baharu, mendapatkan semula Ousmane Dembele dan meminta Jules Kounde menangguhkan dulu rundingan dengan Chelsea. Ini kerana Barcelona dalam proses menerima suntikan dana kedua mereka.
🔴 Barcelona putting more pressure on Frenkie de Jong to leave the club and join Manchester United https://t.co/UZw9MkQDMR
— Pol Ballús (@polballus) July 14, 2022
De Jong dibawa ke jelajah Amerika Syarikat. Dengan pemain itu diturunkan sebagai bek tengah dalam dua perlawanan. Ramai menyatakan bahawa itu isyarat jelas bahawa Xavi tak perlukan De Jong di barisan tengahnya. Namun Xavi menafikan dia sengaja menyusahkan De Jong. Sebaliknya Xavi berpendapat, De Jong sangat bagus bermain di bek tengah. Jika perkara itu berterusan, De Jong dalam masalah kerana pasukan kebangsaan Belanda memerlukannya sebagai pemain tengah pada aksi Piala Dunia 2022 akan datang.
Gary Neville kegeraman dengan layanan Barcelona ke atas De Jong. Di mana kelab itu masih berhutang gaji dengan De Jong tetapi pada masa yang sama membeli dan menandatangani pemain pemain mereka suka.
Barcelona sudah berbelanja sangat besar dalam perpindahan kali ini. Neville berkata: “De Jong patut mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang undang ke atas Barcelona. Dan kesemua pemain harus berada di belakangnya.”
“Kelab membelanjakan wang mereka untuk mendapatkan pemain pemain baharu, pada masa yang sama tak membayar gaji pemain yang masih ada kontrak dengan bayaran penuh – adalah tindakan tidak bermoral dan kesalahan.”