GB13 Ikrar Solidariti Buat Pemain Sarawak United: “Jangan Turun Berlatih Atau Bermain!”

Sarawak United berdepan dengan isu tunggakan gaji yang kritikal. Laporan oleh PFAM menyatakan bahawa pemain pemain Sarawak United kini sudah 4 bulan tidak dibayar gaji.

PFAM dalam kenyataan rasminya berkata: “Setakat hari ini, PFAM telah menerima laporan daripada beberapa orang pemain Sarawak United FC mengenai isu tunggakan gaji pemain yang pada ketika ini sudah memasuki 4 bulan.”

“Pada 14 Jun yang lepas, pihak PFAM telah mula mengeluarkan notis kepada Sarawak United FC untuk tuntutan tunggakan kepada pemain yang telah melakukan aduan. Notis susulan turut diberikan kepada Sarawak United FC pada 8 Julai yang lepas.”

“Walaupun telah menerima respon balas daripada pihak kelab untuk melunaskan tunggakan gaji, namun sehingga kini, tunggakan tersebut masih belum dijelaskan sepenuhnya.”

PFAM kemudian menyatakan bahawa, keadaan menjadi lebih teruk apabila pemain pemain Sarawak United diminta mengosongkan tempat tinggal mereka kerana kelab tersebut tidak membayar sewa.

“Lebih mendukacitakan, pada bulan Jun yang lepas, para pemain terpaksa berhadapan dengan situasi menerima notis untuk mengosongkan tempat penginapan mereka kerana bayaran sewa tidak dilunaskan oleh pihak kelab,” tambah kenyataan itu lagi.

“Pihak pengurusan kelab sewajarnya memberikan fokus sepenuhnya dalam menjalankan tanggungjawab mereka bagi mengelakkan hukuman yang berat dikenakan terhadap pasukan.”

“PFAM memandang serius tentang isu tunggakan gaji pemain dan akan membawa perkara ini ke peringkat NDRC dalam masa yang terdekat.”

Perkara ini membuatkan Ultras Sarawak yang dikenali dengan nama GB13 bersuara. Menerusi kenyataan rasmi daripada facebook mereka, GB13 menjelaskan bahawa mereka bersama sama dengan pemain dalam perkara ini.

GB13 malah meminta agar pemain jangan turun berlatih atau bermain pada hari perlawanan.

GB13 dalam satu kenyataan ringkasnya berkata:

“Negeri TERBESAR di Malaysia [YA!]. Tapi dari segi Sukan terutama bolasepak Sarawak United FC Official adalah paling MISKIN di Malaysia.”

“Kami GB13 dan penyokong sudah menjalankan peranan masing masing tetapi masih banyak pihak anggap bolasepak bukan satu perkara yang perlu diutamakan [emoji badut].Nasihat kami kepada yang terlibat, kalau perkar ini masih berlarutan JANGAN turun training [berlatih] JANGAN turun main masa MATCHDAY [hari perlawanan] You Jump I Jump.”

Baca yang lain