Gerakan 24 Saat -12 Sentuhan Selamatkan Sabah Dalam Perlawanan Yang Berhak Dimenanginya

Sabah 2 Sri Pahang 2
Ivancic m58, 90+5, Baqiudin 66, Malik 90+3

Siapa sangka perlawanan yang bermula dengan sangat hambar tiba-tiba menjadi cukup dramatik pada penghujung perlawanan.

Pengulas perlawanan sudah pun mengucapkan tahniah kepada Sri Pahang (Pahang), Sabah melakukan sepak mula minit 94.09 iaitu sudah melebihi masa tambahan.

Tiada siapa yang berani meletakkan wang pertaruhan di atas meja dan mengatakan Sabah boleh mencari gol penyamaan.

Bermula dari sepakan Ivancic, Sabah hanya memerlukan 24 saat – 12 sentuhan- sebelum Ivancic sendiri menyudahkan gerakan tersebut melalui percubaan berganda yang berpunca dari hantaran Alto Linus di dalam kotak penalti.

Sabah perlu lega dengan keputusan tersebut kerana mereka adalah pasukan yang berhak menang dalam perlawanan ini.

25 minit yang cukup hambar

Walaupun terdapat beberapa percubaan bahaya berlaku dalam tempoh tersebut, corak permainan yang ditampilkan oleh kedua-dua pasukan cukup hambar.

Pemain lebih banyak berehat dari berlari kerana bola sentiasa keluar dari permainan. Menambahkan lagi kehambaran tersebut pengadil perlawanan, Zamzaidi Katimin tidak cukup mulut meniup wisel menghentikan permainan.

Ia berpunca dari pemain lebih bertinju dengan permainan fizikal merempuh orang sana-sini akibat berebut bola yang melantun-lantun.

Dalam tempoh tersebut Sabah sempat membuat 2 percubaan berbahaya yang boleh menghasilkan gol melalui Ivancic pada minit ke-5 dan tandukan Mitrevski minit ke-6.

Ia menjadi isyarat awal Sabah akan menampilkan deretan gerakan menyerang agak padu selepas itu.

Bola terus ke depan secara langsung (Direct football)

Sabah dan Pahang menggunakan pendekatan direct football dengan meminimakan permainan di bahagian tengah dengan terus menghantar bola ke depan, sekitar kotak penalti lawan masing-masing.

Dengan corak permainan sebegini ia menghasilkan banyak percubaan dan hantaran kedalam kotak penalti.

Selepas perlawanan melewati minit ke-25, aliran bola ke atas mula lancar dan kedua-dua pasukan mula bermain bola sepak dan tidak lagi bertinju.

Sabah mula cuba menghantar sebanyak mungkin bola ke dalam kotak penalti terutamanya melalui Saddil Ramdani -pemain paling cemerlang perlawanan ini dalam menggerakkan serangan.

Sabah jelas menjadi pasukan yang lebih baik berbanding Pahang apabila berjaya 4 percubaan tepat dalam kotak penalti. Disamping itu Sabah juga mempunyai 5 percubaan tersasar.

Jumlah percubaan Sabah pada babak pertama

Pahang pula gagal secara total didalam kotak penalti lawan yang dikawal cukup baik oleh Mitrevski dan Park Tae Su. Park mengalami kecederaan seawal minit ke-18 dan digantikan dengan Syukri Baharun.

Kesemua 5 percubaan Pahang berlaku dari luar kotak penalti dan sepakan percuma lemah dari Herard Goulon merupakan satu-satunya percubaan tepat pada separuh masa pertama.

Masalah utama yang dihadapi oleh Pahang ialah, fungsi sayap sebelah kiri (Zuhair Aizat) lumpuh sepenuhnya dan Atiu juga cukup bergelut dibahagian atas walaupun Manuel Hidalgo banyak melakukan hantaran lintang ke dalam kotak penalti.

Baqiuddin lebih memilih untuk menyudahkan gerakan secara bersendirian di luar kotak berbanding bermain dengan Atiu.

Jumlah percubaan Sri Pahang pada babak pertama
Sri Pahang lumpuh di bahagian kiri, Hidalgo penyumbang utama -hantar bola ke dalam kotak penalti
Babak ke-2 milik Sabah kecuali 10mnit terakhir

Bersambung babak ke-2, bermula dengan kecemerlangan pertahanan muda mereka, Hanafi Tokyo yang mengekang 3 gerakan dari Hidalgo, Goulon dan Azam Azih, Sabah mula menunjukan taring di bahagian serangan.

Kurniawan Dwi Yulianto menukar percaturan dengan mengalihkan Amri Yahya ke bahagian kanan dan Saddil ke kiri.

Percaturan tersebut berkesan, Saddil kekal menyumbang kepada gerakan serangan dan Amri yang agak lesu pada babak pertama mula meningkat.

Selepas 5 minit babak kedua bersambung, Amri melakukan satu percubaan bicycle kick yang cukup padu menewaskan Helmi Eliza namun tiang menjadi penyelamat Pahang.

Ketangkasan pemain berusia 40 tahun ini sukar dipercayai apabila dia terus bangun untuk melakukan percubaan susulan dari bola lantunan bola yang terkena tiang namun sempat dihadang oleh pertahanan Pahang.

Amri Yahya terus menampilkan aski luar biasanya

7 minit selepas itu hantaran dari pemain paling kreatif mereka, Levy Madinda menemui Amri di dalam kotak penalti.

Kali ini Amri memilih untuk melakukan hantaran kepada Ivancic bagi memperdayakan Helmi. Ivancic mudah melakukan tapping yang memberi gol pembukaan perlawanan.

Jaringan itu hanya bertahan selama 10 minit, Pahang berjaya meraih jaringan penyamaan walaupun mempunyai peluang yang terhad.

Ia dibantu dengan kesilapan Robson Rining yang terkeluar dari posisi dan kemudiannya menampan bola masuk ke dalam gawang sendiri -bola percubaan Baqiuddin dari sudut sukar.

Selepas itu Sabah mula hilang cengkaman dan membenarkan Pahang melakukan 3 percubaan dalam tempoh 8 minit terakhir perlawanan.

Hidalgo sekali lagi menampilkan perwatakan yang sama seperti ketika bertemu Melaka United pada beberapa hari lepas.

Masih ingatkah anda, dalam perlawanan tersebut Hidalgo cukup cemerlang pada babak pertama kemudiannya hilang sepanjang babak ke-2.

Dia kemudiannya muncul pada hujung permainan, mengambil sepakan percuma yang hampir menjadi gol tetapi bola hantarannya kepada Malik terkena tiang.

Kali ini juga sama, Hidalgo hilang pada babak ke-2 dan hanya muncul pada minit ke-3 waktu kecederaan. Melakukan satu hantaran bermutu kepada Malik, Malik kemudiannya melakukan satu sungkitan menewaskan Rining.

Jumlah hantaran bola kedalam kotak penalti babak ke-2, selain dari bantuan jaringan kepada Malik, Hidalgo tidak melakukan sebarang hantaran
Magis bermula

Bagaimana pasukan yang lebih baik bakal kalah dalam perlawanan ini. Sabah mempunyai cukup peluang untuk tidak kalah. Sabah juga agresif menghantar bola kedalam kotak penalti.

Malah menguasai hampir majotiri perlawanan ketika Pahang hanya mampu melakukan percubaan jarak jauh kerana gagal memecah melepasi pertahanan Sabah.

Ternyata sememangnya Sabah memiliki sesuatu yang luar biasa pada malam itu. Mereka melakukan sesuatu yang jarang berlaku iaitu melakukan 12 sentuhan dalam masa 24 saat untuk menjaringkan gol.

2 jaringan dari Ivancic mengangkat namanya sebagai pemain terbaik perlawanan tetapi bagi yang menonton perlawanan ini pasti akan melihat bagaimana Amri mula efektif ketika dialihkan ke kanan.

Levy Madinda melakukan beberapa hantaran panjang berbahaya tidak mungkin ada yang menafikan berapa kerasnya usaha Saddil Ramdani.

Saddil melakukan 4 percubaan namun kesemuanya gagal menepati sasaran. Bagaimanapun dari sudut lain, dia merupakan pemain paling aktif mengerakkan bola ke titik bahaya lawan.

Saddil merupakan penyumbang utama dalam mengalirkan bola ke dalam kotak penalti di kedua-dua babak

Baca yang lain

Bernardo Silva Singkir Chelsea

Chelsea disingkirkan oleh Manchester City daripada separuh akhir Piala FA 2023/24. Jaringan tunggal oleh Bernardo Silva minit ke-84, membuatkan Chelsea gigit jari