Giliran Arsenal Jual Mahal Dengan West Ham

Kini tiba giliran Arsenal pula jual mahal dengan West Ham. Di mana West Ham dikatakan berminat mendapatkan penyerang Folarin Balogun dari Arsenal.

West Ham sebelum ini berdepan masalah untuk mendapatkan beberapa pemain yang dimahukan Moyes kerana tanda harga yang terlalu tinggi diletakkan kelab lain ke atas mereka.

Fulham pernah meminta £90 juta untuk Palhinha dan menolak bidaan £45 juta dari West Ham untuk pemain itu.

Chelsea kemudian menolak bidaan £35 juta oleh West Ham untuk Conor Gallagher di mana The Blues mahukan sekurang kurangnya £50 juta.

Begitu juga dengan Man United yang menolak bidaan  £30 juta dari West Ham untuk McTominay kerana kelab itu mahukan sekurang kurangnya £50 juta.

Moyes kemudian cuba mendapatkan Harry Maguire yang diletakkan Man United dalam pasaran perpindahan.

Namun tawaran £20 juta mereka dianggap terlalu rendah. Maguire turut menolak tawaran gaji diberikan kepadanya.

United meminta West Ham ‘langkah lebih luas’ lagi untuk menaikkan nilai bidaan mereka. Dan menganggap kelab itu tak terdesak untuk menjual Maguire yang masih dianggap berguna dalam pasukan.

Boleh dikatakan, Chelsea dan United seolah olah membalas dendam di atas layanan West Ham ke atas kelab itu ketika kedua dua kelab itu pernah merisik Declan Rice sebelum ini.

Di mana West Ham menyatakan mereka mahukan £100 juta untuk pemain itu atau tiada sebarang permulaan rundingan dibuat.

Kini West Ham mahukan Folarin Balogun yang cemerlang di Ligue 1 musim lalu. Menjadi pesaing kasut emas untuk Ligue 1 yang sarat bintang seperti Mbappe dan Messi.

Malangnya Arsenal turut mengenakan polisi yang sama kepada West Ham. Mereka memberitahu West Ham, sediakan £50 juta atau lupakan sahaja niat mahu mendapatkan pemain antarabangsa Amerika Syarikat itu.

Arsenal tidak panik untuk menjual Balogun kerana banyak kelab mahukan pemain itu. Pada masa yang sama, jika dia tidak dapat dijual pada jendela perpindahan kali ini, Arsenal masih boleh menyertakannya dalam skuad.

Seterusnya, West Ham kini berdepan risiko berputih mata lagi apabila Ajax sedia menyailang mereka daripada mendapatkan bakat muda akademi Man City iaitu Carlos Borges.