Giroud Bersara Selepas Euro: “Saya Nak Berikan Peluang Kepada Pemain Muda”

Olivier Giroud merupakan legenda dalam skuad Perancis walaupun dia bukan pemain yang memiliki skil yang luar biasa.

Namun peranannya dalam pasukan Perancis era Didier Deschamps adalah tidak dapat dipertikaikan.

Giroud bagaimanapun mengesahkan bahawa dia akan bersara daripada peringkat antarabangsa selepas Euro 2024.

Giroud juga merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman untuk negaranya pada ketika ini. Membantu Perancis menjuarai Piala Dunia dan Piala Negara Negara Eropah.

Alasan utama Giroud mahu bersara daripada tugasan antarabangsa adalah kerana mahu memberikan peluang kepada bakat bakat muda pula untuk mengisi tempat dalam skuad kebangsaan.

Bercakap kepada L’Equipe, Giroud berkata: “Saya akan bersara selepas Euro 2024.

“Jelas sekali saya akan merindui banyak perkara. Namun saya harus memberikan tempat saya kepada pemain pemain lebih muda.”

Giroud sentiasa menjadi nama pertama dalam senarai skuad Didier Deschamps. Kini dia berpeluang untuk mengakhiri karier kebangsaannya dengan trofi Euro.

Ini memandangkan Perancis merupakan salah satu daripada pasukan pilihan untuk menjulang Euro 2024.

Deschamps sentiasa percayakan Giroud walaupun sebelum ini sering dikritik kerana mengabaikan pilihan lain seperti Karim Benzema.

Pernah sekali Benzema mengejek Giroud sebagai kereta gokart.  Benzema berkata: “Jangan pernah nak bandingkan kereta Formula 1 dengan gokart.”

Giroud menyambut perlian itu dengan berkata: “Gokart ini ada Piala Dunia tau.”

Selepas bersara daripada peringkat antarabangsa, Giroud akan fokus kepada fasa akhir karier bola sepaknya di peringkat kelab.