‘Wei, pinjam gitar kapok.’
‘Kau nak mana satu?’
‘Ala, yang Yamaha tu.’
Bagi ramai pemain gitar, kapok ini merujuk kepada akustik. Tak kisahlah jenama Yamaha, ke Fender ke Gibson dan sebagainya.
Ia dah seperti kita men-colgate-kan segala ubat gigi dan me-maggie-kan segala macam mi segera.
Kapok asalnya Guangzhou
Gitar Kapok adalah gitar yang dihasilkan oleh Guangzhou Kapok Guitar Co. LTD.
Setakat ini tiada maklumat tentang orang yang spesifik mencipta gitar Kapok ini. Jadi aku anggap ia adalah hasil ciptaan syarikat secara kolektif.
Syarikat ini sudah berpengakalan di China sama usia dengan Malaysia merdeka, pada tahun 1957 di Guandong.
Mereka juga merupakan pakar dalam pembuatan piano akustik. Kapok digemari kerana harganya yang mampu milik tetapi berkualiti terutama seni kraf serta rekaan yang elegan.
Selain itu, ramai berpendapat, gitar kapok (steel strings ataupun nylon strings) ni bunyinya kuat dan cantik untuk gitar yang pada range harga dia la.
Tak pasti la berapa harga sekarang di zaman harga kereta turun kerana SST.
Dulu, masa zaman RM50 penuh troli, harga dalam RM80-RM200 kalau tak silap, boleh dapat satu gitar kapok ni.
Mereka menjadi pengeluar gitar terbesar di China. Mendapat banyak penghargaan dan pujian daripada pelanggan dari dalam dan luar negara.
Guangzhou Kapok Guitar Co. Ltd. juga dianggap antara syarikat yang diletakkan sebaris dengan nama pengeluar gitar yang lain di dunia.
Pada 2010/11 mereka diiktiraf dalam senarai top 50 untuk pengeluar alatan muzik dari China.
Mereka sudah memenangi pelbagai anugerah di China dan di antarabangsa.
Untuk pengetahuan korang, logo pada Gitar kapok adalah pokok kapok.
Selain daripada gitar akustik dan piano, syarikat mereka turut menghasilkan gitar elektrik, violin, biola dan pelbagai alatan muzik lain.
Di Malaysia, gitar Kapok masih lagi popular. Bahkan ada yang versi tiruan.
Dahulu, pemain gitar Kapok ni biasanya ber’anthem-kan lagu Hidup Bersama. Kemudian upgrade ke Nothing Else Matters.