Google Ancam Akan Tamatkan Perkhidmatan Mesin Cariannya Di Australia

Google telah mengancam untuk mematikan perkhidmatan mesin cariannya di Australia jika pemerintah negara tersebut meluluskan rang undang-undang yang menuntut Google membayar kepada syarikat media, yang kandungannya digunakan oleh Google.

Rang undang-undang tersebut akan mewajibkan semua raksasa teknologi, seperti Google dan Facebook, diminta berunding soal pembayaran dengan penerbit dan penyiar tempatan. Dan jika tidak ada kesepakatan antara kedua pihak, kerajaan Australia sendiri yang akan memutuskan jumlah pembayaran.

Pengarah Google Australia, Mel Silva, mengatakan kepada sebuah jawatankuasa di Senat bahawa “rang undang-undang ini mengenai kod etik media tidak dapat dilaksanakan” dan akan menetapkan “risiko berbahaya, yang akan memaksa pengguna perkhidmatan atas talian untuk membayar pautan yang mereka terbitkan atau gunakan”.

“Sekiranya versi ini [rang undang-undang ini] menjadi undang-undang, maka tidak akan ada pilihan bagi kami, melainkan untuk mematikan carian Google di Australia,” kata Silva.

Tetapi seorang anggota Senat, Rex Patrick, menuduh Google sedang bertindak “mengancam dan membuli” Australia kerana mengusulkan rang undang-undang tersebut.

Patrick berkata, rang undang-undang seperti ini akan diterima pakai di seluruh dunia.

Perdana Menteri Australia Scott Morrison juga membidas kenyataan Mel Silva, dengan mengatakan: “Adalah tugas negara ini untuk membuat undang-undang” dan negara ini tidak memberikan “ancaman” kepada sesiapa.”

PM Morrison menekankan bahawa pemerintah akan tetap berkomitmen untuk memastikan usul itu menjadi undang-undang tahun ini.

Google ketika ini berdepan dengan impak kewangan, di mana jumlah pengiklanan merosot.

Google mengatakan bahawa pihaknya bersetuju untuk membayar syarikat media di Perancis untuk kandungan berita yang mereka gunakan dalam mesin carian mereka.

Pandemik yang melanda membuatkan industri media digital di Australia berdepan dengan tekanan. Banyak syarikat dan penerbit yang bungkus.

Sebaliknya, prestasi kewangan Google terus meningkat. Pada tahun 2020, Google menjana pendapatan hampir $4 bilion di Australia, sementara cukai yang mereka bayar hanya $45 juta.

Pada tahun 2020, Google mengatakan untuk pertama kalinya akan mengeluarkan pembayaran kepada penerbit berita, setelah beberapa tahun idea itu ditolak.

Baca yang lain