Govani Dos Santos: Kisah Next Ronaldinho Yang Menganggur Pada Usia 32 Tahun

Pemain Mexico itu mungkin pernah menikmati kejayaan besar di peringkat antarabangsa, tetapi pemain berusia 33 tahun itu kini tanpa kelab.

Kerjaya Giovani dos Santos di peringkat kelab dan kebangsaan adalah sangat berbeza. Dan ianya penuh dengan konflik dan kontroversi.

Kini, dia berada di persimpangan jalan. Pada usia 33 tahun, dia tanpa kelab dan masalah tersebut sudah berlarutan selama lebih setahun.

Kelab terakhir yang dimainkannya ialah Tlaxcala, sebuah kelab Liga Mexico pada musim panas 2021.

Nampaknya semakin tidak mungkin melihat dia bermain di peringkat tertinggi sekali lagi. Sedangkan satu ketika dahulu dia pernah menikmati karier yang dianggap sangat menjanjikan sesuatu di hadapannya.

Dia menjadi rebutan banyak kelab ketika dia masih muda dan diberikan gelaran The Next Ronaldinho.

Penyerang serba boleh yang muncul sebagai pemain serba boleh yang boleh beraksi di no.10, pemain sayap atau penyerang, Dos Santos mampu menjaringkan gol yang hebat. Sejak penampilannya, dia disebut-sebut sebagai bintang bola sepak masa depan.

Dia direkrut oleh akademi La Masia pada usia 13 tahun, dan membintangi peringkat Juvenil /  remaja sebelum dia membuat penampilan sulung di Barcelona B pada usia 18 tahun.

Penampilan senior pertamanya tiba setahun kemudian, pada September 2007, dengan Dos Santos menggantikan Thierry Henry sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua dalam kemenangan 3-1 ke atas Athletic Bilbao.

Pada hari terakhir musim tersebut, dia menjaringkan hatrik ketika Barcelona menewaskan Real Murcia 5-3, seolah-olah mengukuhkan statusnya sebagai legenda kelab dalam pembikinan di masa depan. Bagaimanapun, ia sebenarnya menandakan berakhirnya kariernya di Camp Nou.

Masalahnya ialah Dos Santos bersaing untuk kedudukan yang sama dengan Lionel Messi – persaingan yang tidak mungkin akan pernah dimenanginya. Seorang lagi graduan La Masia, Bojan Krkic, membuat impak yang lebih hebat berbanding Do Santos dengan 10 gol pada musim sulungnya, turut membuatkan pemain Mexico itu sekadar duduk di bangku simpanan.

Walaubagaimanapun, Dos Santos masih dianggap sebagai salah seorang pemain muda yang paling cerah masa depannya dalam bola sepak dunia. Dia kemudian pergi pada 2008 untuk cuba mendapatkan bola sepak pasukan utama di tempat lain.

Kaki parti dan hanyut dengan cinggey

Dos Santos menyertai  Tottenham, tetapi dia gagal menyesuaikan diri dan menghabiskan sebahagian besar masanya dengan pinjaman dengan Ipswich, Galatasaray dan Real Santander.

Dia juga terus bergelut untuk mendapatkan tempatnya dalam pasukan Spurs, selepas pengurus yang menandatanganinya di Tottenham, Juande Ramos, dipecat pada Oktober 2008, selepas permulaan musim yang buruk.

Pengurus asal Sepanyol itu digantikan oleh Harry Redknapp, yang tidak menyukai Dos Santos sama sekali, malah secara terbuka mengkritik pemain muda itu kerana terlalu banyak berpesta dan tiba lewat ke tempat latihan. Redknapp malah terkejut apabila ada orang menyatakan bahawa Dos Santos seringkali berada di Barcelona untuk berparti.

Dia turut bercinta dengan penyanyi Mexico, Belinda. Yang dianggap antara penyumbang kejatuhan kariernya. Penyanyi itu adalah playgirl terkemuka di Mexico. Seringkali bertukar pasangan. Dos Santos sayangkannya sehingga dia sanggup mengabaikan tanggungjawabnya sebagai pemain bola sepak demi cinggey itu.

“Dia mempunyai banyak kebolehan dan kemahiran yang hebat. Tetapi, tiba-tiba dia terlewat pada pagi Isnin, kerana sakit perut. Dia mungkin berada di Barcelona untuk berpesta di suatu tempat,” kata Redknapp kepada Daily Star pada 2010.

Akhirnya, Dos Santos berpindah semula ke Sepanyol bersama Mallorca pada 2012 secara percuma. Dia kemudian menikmati musim mengagumkan, menjaringkan enam gol dalam 32 penampilan. Malangnya kelab tersebut tersingkir pada akhir musim.

Peningkatan prestasi ini menyaksikan dia berpindah ke Villarreal, di mana dia akhirnya mendapati masa bermain lebih banyak di salah satu liga utama di Eropah. Di sini dia menikmati masa terbaiknya. Menjadi pemain utama di kelab dan pasukan kebangsaan.

Bagaimanapun, dia mengejutkan ramai peminat Mexico yang berharap dia akan kembali bermain dengan kelab gergasi eropah. Sebalinya Dos Santos menyertai LA Galaxy pada usia 26 tahun.

Bagaimanapun, prestasinya terus meningkat sehingga ke tahap yang dia berada dalam senarai panjang Ballon d’Or 2015 – satu daripada hanya dua pemain MLS yang telah memperoleh penghormatan pencalonan tersebut – bersama Andrea Pirlo di NYCFC.

Dia juga merupakan bintang muka depan edisi khas MLS permainan video FIFA pada 2016 dan 2017.

“Seronok berada dalam senarai dengan beberapa pemain terbaik dunia,” kata Dos Santos ketika dicalonkan untuk Ballon d’Or. .

“Saya sangat gembira mewakili negara dan pasukan saya. Saya sangat bangga. Saya telah bekerja sangat keras, dan walaupun ia adalah satu kejutan untuk saya, saya sangat gembira.”

Mahu menjauhi gaya hidup partinya juga merupakan faktor Dos Santos meninggalkan bola sepak Eropah. Dia cuba menjadi lebih berdisiplin, lebih dekat dengan keluarganya, dan menumpukan perhatian pada bola sepak.

Bagaimanapun, pada 2019, Dos Santos dilepaskan oleh Galaxy selepas dua tahun bertarung dengan kecederaan. Dia terus bermain bola sepak di negara asalnya buat kali pertama bersama America.

Karier berbeza di peringkat kebangsaan

Walaupun Dos Santos tidak pernah mencapai tahap yang dia harapkan dalam karier kelabnya. Malah, beliau boleh dikatakan mengatasi prestasi itu di peringkat antarabangsa.

Dia mula membantu Mexico untuk memenangi Kejohanan Dunia U17 2005, membantu menjaringkan lapan daripada 16 gol yang mereka jaringkan pada kejohanan itu.

Membolehkannya memenangi Anugerah Bola Perak sebagai pemain kedua terbaik dalam kejohanan itu – di belakang Anderson.

Kejohanan senior pertamanya membawa kejayaan yang sama, kerana dia dinamakan Pemain Terbaik pada Piala CONCACAF 2009, di mana Mexico menang di bumi Amerika Syarikat, menewaskan musuh ketat mereka 5-0 di final.

Ia adalah satu kejayaan yang mereka ulangi dua tahun kemudian, sekali lagi menewaskan Amerika Syarikat dalam penentuan, kali ini 4-2, dengan Dos Santos menjaringkan gol cip cemerlang pada perlawanan akhir yang memenanginya gol terbaik kejohanan itu.

Ia adalah gol yang sangat cantik dan berhak untuk ditonton berulang kali, dan merumuskan bakat yang dimiliki oleh Dos Santos.

Kemuncak pencapaian antarabangsanya datang pada 2012, apabila Mexico memenangi pingat emas Olimpik untuk bola sepak lelaki di Olimpik London.

Dos Santos menjaringkan tiga gol, termasuk dalam kemenangan suku akhir menentang Senegal pada masa tambahan. Bagaimanapun, kecederaan pada separuh akhir menentang Jepun menamatkan kejohanan itu lebih awal, kerana dia terlepas kemenangan terakhir ke atas Brazil di Wembley.

Dos Santos juga pernah bermain dalam tiga Piala Dunia untuk Mexico, walaupun dia gagal membantu mereka memecahkan badi pusingan 16 yang menghantui negaranya sejak 1994.

Walaupun baru berusia awal 30-an, nampaknya Dos Santos tidak akan berjaya mara ke kejohanan keempat di Qatar 2022. Alangkah malangnya nasibnya kali ini. Kerana ketika ini dia masih menganggur.

Baca yang lain