Griezmann Hari Tu Merajuk Nak Keluar Barca Sebab Kecewa Layanan Dia Dapat

Barcelona sanggup all out dan sanggup berperang di media dengan Atletico demi untuk mendapatkan Antoine Griezmann dan membayar harga yang sangat besar untuk pemain tersebut.

Bartomeu malah membuat kenyataan terbuka, antara sebab kenapa beliau tidak mempedulikan rintihan Neymar nak kembali ketika itu adalah kerana beliau mahu mendapatkan Griezmann sebagai keutamaan.

Namun Griezmann gagal menyinar pada musim debutnya bersama dengan seteru se- La Liga.

Sedangkan ketika di Atletico, Griezmann sangat menonjol.

Bekas ejen beliau iaitu Eric Olhats berkata, layanan Barcelona yang tidak cukup bagus seperti mana layanan bintang ketika di Atletico adalah punca kenapa Griezmann gagal menyerlah.

Namun Olhats percaya, jika pemain seperti Messi atau Suarez pergi meninggalkan Barca, tanpa ragu ragu, kali ini  Barca akan benar benar memberikan peluang kepada Griezmann menjadi bintang utama pasukan Barcelona.

Olhats malah yakin jika Messi pergi, maka Griezmann akan menjadi sandaran utama dalam revolusi Ronald Koeman yang baru dilantik sebagai pengurus.

Walaupun khabar angin mengenai Suarez dan Messi masih hangat, bekas ejen Antoine Griezmann, Eric Olhats mendakwa Griezmann mahu meninggalkan kelab sebelum kekalahan Liga Juara-Juara 8-2 kepada Bayern Munich.

“Sebelum malapetakan berdepan Bayern, Antoine mahu satu perkara: pergi,” kata Olhats kepada RMC Sport.

“Dia merasa seperti tidak lagi menjadi sebahagian daripada perancangan kelab,” tambahnya.

Namun, Koeman cuba meyakinkan Griezmann untuk terus kekal di Barcelona.

“Dia serius melihatnya. Kemudian, ada perbualan dengan Koeman. Koeman meyakinkannya bahawa dia adalah sebahagian dari rancangan kelab itu, Koeman menganggapnya pemain penting untuk masa depan.”

Pemain Perancis itu menjalani musim debut yang mengecewakan di Barcelona berikutan perpindahannya 108 juta pound dari Atletico Madrid musim panas lalu.

Griezmann hanya membuat 19 penampilan penuh dan menjaringkan 15 gol dalam 48 penampilan bersama Blaugrana.

Namun, Koeman dilaporkan telah memberitahu Griezmann bahawa dia berencana untuk membangunkan pasukannya dengan wajah baru, terutama jika Lionel Messi pergi setelah mengajukan permintaan perpindahan.

Griezmann dan Messi telah digandingkan dalam banyak perlawanan musim ini. Namun kedua duanya jelas sekali gagal mencapai persefahaman di antara mereka.

Adakah mereka akan berjaya membentuk gandingan yang sangat padu pada musim akan datang?

Perpindahan kontroversi Griezmann

Perpindahan Griezmann ke Barcelona sebelum ini sangat kontroversi.

Barcelona mendapatkan Antoine Griezmann dari Atletico Madrid dengan membayar klausa pelepasan pada pemain tersebut bernilai €120 juta ataupun sekitar £107.5 juta.

Barcelona memberikan kontrak 5 tahun kepada Griezmann dengan menyelitkan klausa pelepasan €800 juta. Ianya €100 juta lebih tinggi daripada klausa pelepasan Lionel Messi.

Berita ini juga sekaligus mengakhiri saga perpindahan yang agak panjang. Sebelum ini Atletico Madrid menyatakan mereka tidak mahu berbincang dengan Barcelona untuk perbincangan perpindahan Griezmann.

Atletico menyatakan Barcelona perlu membayar klausa pelepasan sekiranya mahukan pemain tersebut. Hal ini kerana mereka kecewa dengan rundingan yang dilakukan oleh Griezmann dan kelab tersebut dilakukan sebelum jendela perpindahan dibuka – tanpa pengetahuan kelab pemilik.

Atletico kemudian meminta Griezmann melapor diri ke dalam sesi latihan. Namun pemain itu enggan.

Barcelona akhirnya membayar klausa pelepasan €120 juta yang aktif selepas 1 Julai. Klausa sebelum ini adalah €200 juta.

Namun situasinya selepas itu, Atletico Madrid enggan menerima perjanjian tersebut yang didakwa mereka tidak betul.

Atletico menyatakan Barcelona masih perlu membayar €80 juta lagi. Hal ini kerana perbincangan antara Griezmann dengan Barcelona dilakukan sebelum tarikh klausa pelepasan itu turun 1 Julai 2019.

Lantas Atletico akan percaya perjanjian Griezmann dilakukan pada tempoh pemain itu masih berklausa pelepasan €200 juta. Ianya dilakukan secara pintu belakang oleh Griezmann dan Barcelona.

Baca yang lain