Griezmann Meluru Ke Arah Simeone Rai Status Penjaring Terbanyak Sepanjang Zaman Kelab Berkongsi Dengan Luis Aragones

Antoine Griezmann semakin hampir dan memang boleh dikira ‘sudah pasti’ akan menjadi penjaring terbanyak Atletico Madrid sepanjang zaman ketika penyerang Perancis itu terus menikmati musim 2023/24 yang prolifik.

Pemain berusia 32 tahun itu memasuki rehat antarabangsa November sebagai penjaring kedua terbanyak sepanjang zaman bersama kelab gergasi Sepanyol, hasil jaringan dalam kemenangan 3-1 LaLiga di tempat sendiri ke atas Villarreal, apabila dia turut memberikan bantuan gol.

Dan pada 19 Disember, dia menyamakan kedudukan dengan pemain hebat kelab yang juga pengurus legenda Sepanyol, Luis Aragones sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman apabila dia menjaringkan dua lagi gol dalam keputusan seri 3-3 yang dramatik menentang Getafe.

Bekas bintang Barcelona dan Real Sociedad itu pernah menjalani dua tempoh karier bersama Atleti, pertama kali bermain untuk mereka antara 2014 dan 2019 sebelum menyertai semula kelab itu pada 2021.

Dia berlari memeluk Diego Simeone ketika meraikan statusnya sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman bersama dengan Luis Aragones. Dan pengurus itu turut girang meraikan kejayaan salah seorang pemain paling penting dalam karier dia sebagai pengurus.

Selepas tamat perlawanan, Diego Simeone percaya bahawa Luis Aragones ‘ada bersama’ dengan Griezmann untuk mengambil penalti itu.

Sebelum ini Griezmann diiktiraf oleh majalah sukan Diario AS sebagai pemain terbaik 2022/23. Dan pemain itu menyatakan bahawa aksinya di atas padang yang penuh dengan kegembiraan bukti bahawa dia benar benar sayangkan kelab itu.

“Saya Atletico sampai mati,” kata Griezmann menyatakan kecintaannya ke atas kelab yang sangat signifikan dengan kariernya itu.