Pengurus Manchester City, Pep Guardiola nampaknya menganggap bahawat Arsenal sebagai saingan kejuaraan Liga Perdana utama mereka ketika ini berbanding Liverpool.
Man City telah menjulang lima daripada enam musim terakhir dan pasukan Jurgen Klopp adalah satu-satunya pasukan yang menghentikan dominasi mereka sebelum ini, menjulang gelaran pada 2019-20.
Arsenal, bagaimanapun, menyaingi Man City sepanjang musim lalu dan ramai melihat Arsenal sudah ‘ditakdirkan’ untuk menjulang EPL pertama mereka sejak 2004 setelah menjarakkan diri dengan jurang mata yang sangat besar dengan Man City.
Namun dalam beberapa minggu terakhir persaingan Man City memintas mereka.
Hanya tinggal 11 perlawanan lagi musim ini dan ketiga-tiga kelab berada dalam saingan perebutan kejuaraan yang sengit, dengan Liverpool kini menduduki tangga teratas dengan 63 mata.
Juara bertahan, Man City menduduki tempat kedua – hanya satu mata di belakang Liverpool menjelang kunjungan Ahad ke Anfield – manakala Arsenal di tempat ketiga dengan 61 mata.
The Gunners telah berada dalam prestasi yang luar biasa dalam beberapa minggu kebelakangan ini, menjaringkan 31 gol dalam tujuh perlawanan terakhir liga utama mereka, dengan memenangi kesemuanya.
Liverpool pula hanya mencatatkan kemenangan 1-0 dalam perlawanan terakhir mereka menentang Nottingham Forest hasil gol kemenangan kontroversi Darwin Nunez pada minit ke-99.
Guardiola kelihatan merujuk perlawanan itu dalam sidang akhbarnya pada hari Jumaat dan berkata: “Arsenal sudah mendapat rentak mereka, musim lalu mereka adalah saingan terbesar kami.
“Lihat bagaimana mereka bermain. Liverpool memerlukan lebih daripada 90 minit untuk memenangi perlawanan, Arsenal kadangkala memerlukan 25 minit untuk memenangi perlawanan,” tegas Guardiola yang merujuk Arsenal sebagai pasukan yang lebih mematikan.
Guardiola juga langsung tidak mengendahkan komen yang dibuat oleh Trent Alexander-Arnold di mana dia mendakwa trofi lebih bermakna untuk Liverpool berbanding Man City.
Dia hanya mendoakan pemain itu cepat sembuh dan kembali semula beraksi di atas padang.
“Saya doakan dia cepat sembuh untuk kembali ke padang secepat mungkin. Harap dapat pulih cepat lah dan soalan seterusnya,” tegas Guardiola.
Aksi antara Liverpool dan City hujung minggu ini pastinya akan menjadi tumpuan seluruh dunia. Liverpool kehilangan ramai bintang mereka namun menerima kembali kehadiran Mo Salah dan Szoboszlai.
— Gunners (@Gunnersc0m) March 8, 2024