Guardiola Minta Maaf Kepada Phillips Kerana Cakap Dia Gemuk Secara Terbuka

Pep Guardiola telah mengeluarkan permohonan maaf lewat kepada Kalvin Phillips kerana mengatakan pemain itu gemuk atau ada berat badan berlebihan semasa kembali daripada tugasan Piala Dunia bersama England pada Disember 2022.

Pemain tengah itu masih ada kontrak di Manchester City, pada bulan lalu telah bersetuju untuk berpindah ke West Ham secara pinjaman sehingga penghujung musim selepas hanya mampu membuat dua permulaan liga dalam tempoh 18 bulan yang menyedihkan di Stadium Etihad.

Phillips, bagaimanapun, telah mengalami permulaan yang tidak baik untuk tugasnya bersama The Hammers, membuat dua kesilapan berprofil tinggi yang membawa kepada gol lawan. Dia kemudian dilayangkan kad merah dalam kekalahan 2-0 Ahad di Nottingham Forest.

Phillips mengejutkan peminat City apabila tampil memberikan kenyataan dalam temu bual bulan ini di mana dia mengakui komen Guardiola telah “meruntuhkan keyakinan saya” dan mendedahkan sangat tidak gembira dengan keceluparan mulut Guardiola.

Keluarganya terutama sekali emaknya juga rasa marah dengan Guardiola ketika pengurus itu melabel dia gemuk.

“Selepas Piala Dunia, ianya mungkin detik paling sukar untuk saya apabila Pep secara terbuka cakap saya terlebih berat badan.

“Dia tak salah, dia pun betul nak cakap begitu, namun ada beza pada cara dia bercakap tentangnya.

“Saya bukannya tak setuju dengan dia, namun itu memberikan kesan yang sangat besar kepada keyakinan saya dan apa yang saya rasa di City.

“Keluarga saya juga sangat kecewa dengan komen itu, terutama sekali emak saya.

“Orang boleh je sewenang wenang cakap saya terlebih berat 10 kg. Padahal saya mungkin terlebih berat hanya sekitar 1.5 kg je kot daripada sasaran saya.”

 

Bercakap dalam sidang akhbar sebelum perlawanan Liga Perdana City menentang Brentford pada malam Selasa, Guardiola mengakui dia kini menyesali apa yang dikatakannya.

“Ya, saya minta maaf. Sekali dalam lapan tahun [buat kesilapan sebegitu] tidaklah teruk sangat bukan. Tetapi saya minta maaf. Saya minta maaf kepadanya,” katanya.

“Saya bercakap dengannya sebelum [membuat komen]. Saya tidak pernah, tidak bercakap terlebih dahulu dengan pasukan sebelum saya mengatakan sesuatu di sini [sidang media], atau tentang pemain dalam kes itu.”

Phillips adalah pembelian £42 juta untuk City dari Leeds pada Julai 2022 dan pernah menjadi tonggak utama dalam skuad England kendalian Gareth Southgate sebelum bergelut di Manchester.

Rodri masih pilihan utama untuk posisi no.6. Phillips menjadi pemain yang Guardiola awalnya anggap tepat untuk taktikalnya memandangkan dia daripada ‘scholar’ Bielsa di Leeds.

Namun Pep akui dia mati kutu dengan prestasi Phillips. Membuatkan dia terpaksa mendapatkan Mateo Kovacic dan Matheus Nunes untuk menguatkan bahagian tengah.

Sambil mengakui bertanggungjawab sebagai jurulatih kerana gagal membangunkan Phillips sebagai pemain.

Dengan komen panas Phillips sebelum ini ke atas Guardiola, pemain itu kelihatan sudah nekad tidak mahu berjuang untuk mendapatkan tempat lagi dalam skuad City selepas ini.

Phillips malah pernah menyatakan dia hanya mahu bermain bersama pasukan yang menghargainya dan memerlukan khidmatnya. Phillips menegaskan dia tak gembira di City walaupun memenangi banyak trofi bersama mereka, tetapi tetap rasa tak berguna kerana hanya menjadi pemanas bangku simpanan.