Jurgen Klopp mengumumkan bahawa dia akan meninggalkan Liverpool akhir musim ini. Dengan pengurus itu menyatakan bahawa dia sudah tidak ada tenaga lagi berada di Liverpool.
Sambil yakin bahawa ini adalah masa sesuai untuk dia angkat kaki dengan kualiti pasukan dan pemain yang ada.
Pengurus itu berkata, keputusan itu sudah pun dibincangkan dengan FSG sejak November tahun lalu lagi.
Pemergian Klopp pada akhir musim ini menarik perhatian Guardiola yang selalu menganggap Klopp sebagai seteru terbesar di dalam kariernya.
Guardiola malah pernah berkata bahawa Klopp adalah salah satu sebab kenapa dia menjadi pengurus seperti yang dia ada pada hari ini.
Guardiola akui terkejut namun tidak hairan sama sekali dengan alasan yang diberikan Klopp. Kerana menurutnya seseorang jurulatih pasti akan faham kenapa Klopp menyentuh soal habis tenaga setelah 9 tahun berada di Liverpool.
Pep Guardiola berkata: “Dia seorang pengurus yang luar biasa. Saya tidak mengenalinya secara dekat, tetapi dia juga seorang yang luar biasa.
“Saya mempunyai perasaan apabila dia pergi, sebahagian daripada Manchester City juga pergi. Dia adalah saingan terbesar kami, Liverpool dalam tahun-tahun ini di sini dan ketika dia bersama Dortmund, dia adalah saingan terbesar saya. Dia akan dirindui, saya akan merinduinya.”
Pep Guardiola kemudian berseloroh menyatakan bahawa dia akan dapat tidur lebih lena selepas ini apabila Klopp pergi. Ini kerana Klopp telah banyak memberikan dia sakit kepala dalam beberapa tahun dia ada di Liverpool.
Guardiola berkata: “Saya sedikit gembira, saya akan tidur lebih lena, malam-malam sebelum kami menentang Liverpool. Tetapi saya mendoakan yang terbaik untuknya. Dan dia tidak mengakuinya, tetapi dia akan kembali.”
Guardiola menambah bahawa bola sepak memerlukan pengurus seperti Klopp dan berharap mereka berdua akan dapat duduk semeja dan makan bersama.
“Bola sepak memerlukan personaliti dan pengurus seperti dia. Saya harap kita dapat masa untuk makan malam bersama,” tegas pengurus asal Sepanyol itu lagi.
Guardiola, yang menyertai Manchester City pada 2016 selepas menguruskan kelab Bayern Munich dan Barcelona, berkata dia boleh memahami keputusan Klopp.
“Semua pengurus [boleh kaitkan diri dengan keputusan itu]. Dalam beberapa tahun, bertahun-tahun di tempat yang sama, saya dapati itu di Barcelona,” katanya.
“Jadi semua hujah yang saya dengar hari ini, yang saya dengar tentang itu, saya faham sepenuhnya.”
Pengurus Chelsea, Mauricio Pochettino turut memberi reaksi terhadap berita pemergian Klopp sebelum waktunya.
“Saya terkejut. Saya melihat berita itu. Ia benar-benar menyedihkan. Apabila kami dipecat dari Tottenham, mesej pertama yang saya terima adalah daripadanya,” kata Pochettino selepas keputusan seri 0-0 Chelsea menentang Aston Villa pada Jumaat.
“Saya tidak menghantar mesej kepadanya tetapi saya akan berterima kasih kepadanya pada hari Rabu. Kami akan merinduinya, tetapi kami harus menerimanya.
“Jika hasratnya untuk berehat dan pergi, kami perlu terima. Berita sedih. Ya, watak yang hebat, lelaki yang hebat, jurulatih yang hebat.
“Bola sepak Inggeris pasti akan merindui dia dan Liverpool.”
Sebelum itu Erik Ten Hag melabel pemergian Klopp bukan sahaja kehilangan kepada Liverpool tetapi kehilangan buat bola sepak Inggeris itu sendiri.
Ten Hag berkata: “Ini bukan berita yang baik untuk Premier League. Dia telah membina eranya di sana, dia membina kelab itu, dia membawa kelab itu kembali ke tempat mereka sepatutnya.
“Jadi saya ucapkan syabas untuk apa yang dia telah lakukan. Dia melakukan tugasan luar biasa di Liverpool.
“Saya faham apabila dia kata dia dah tak cukup tenaga lagi. Sembilan tahun di sana adalah masa yang sangat lama. Saya rasa dalam tempoh itu dia membina pasukan, mencapai sasaran, dan rasanya turut merasai sedikit kejatuhan dan berada di fasa sukar [musim lalu].
“Liga Perdana Inggeris ini benar benar mencabar, ditambah pula dengan adanya bola sepak Eropah, apabila kamu sudah berada sembilan tahun di satu kelab, itu tempoh yang cukup lama. Dan saya boleh memahami kenapa dia sudah hilang tenaga dan itu antara alasan dia mahu melepaskan jawatannya,” tegas pengurus asal Belanda itu.
🔴 Ten Hag on Klopp: “I can understand that he’s running out of energy. Nine years is a long time”.
“Premier League is very intense, the combination with European club football, when you're there nine years it's a long period”. pic.twitter.com/nI77Rmy8XR
— Fabrizio Romano (@FabrizioRomano) January 26, 2024