Ilkay Gundogan kini dikaitkan dengan perpindahan kembali ke Man City. Dan laporan oleh Fabrizio Romano menyebut bahawa, pemain itu sudah pun bercakap dengan Pep Guardiola dan Txiki Bergistrain.
Ada banyak pilihan untuk Gundogan pada ketika ini. Kerana kelab dari Arab Saudi dan Qatar juga sedia membawa pemain itu ke sana. Tetapi keutamaan Gundogan adalah Man City.
Ada pihak mulai melabel Gundogan sebagai toksik dan tidak profesional. Namun perkara itu dinafikan oleh wakil Gundogan. Menurut sumber tersebut, Gundogan seorang yang sangat profesional. Dan dia menawarkan opsyen kepada Barcelona untuk melepaskannya.
Ini untuk memudahkan Barcelona dari segi kewangan. Di mana Gundogan antara penerima gaji tertinggi di Barcelona. Lagipun Barcelona sudah mendapatkan Dani Olmo dari RB Leipzig. Menurut pandangan Gundogan lebih baik dia pergi daripada duduk di bangku simpanan dan kelab terpaksa membayar gajinya mahal.
Seterusnya, pengurusan tertinggi Barcelona sendiri yang mahu Gundogan dijual atau dilepaskan. Walaupun Hansi Flick sebelum ini menyatakan dia mahukan pemain itu terus kekal di Barcelona.
Tetapi pengurusan tertinggi Barcelona dikatakan mulai meletakkan tekanan ke atas Gundogan agar dia segera meninggalkan kelab itu kerana mereka mahu me’lega’kan akaun FFP kelab itu. Menariknya sumber tersebut menegaskan, Gundogan tidak seperti De Jong. Dia benar benar terbuka dengan cadangan kelab itu dan mahu memudahkan urusan Barcelona untuk melepaskannya.
Gundogan agak kecewa namanya tidak disenaraikan dalam aksi pembukaan La Liga musim ini. Namun dia kemudian berlapang dada dan sedia untuk meninggalkan kelab itu.
Lalu dia bercakap sendiri dengan pengurusan tertinggi kelab menyatakan dia mahu berpindah. Dengan ini, Hansi Flick sudah boleh tahu bahawa pemain itu tidak akan kekal di Barcelona dan mencari alternatif lain di bahagian tengah.
Jadi, solusi terbaik untuk kedua dua pihak menurut Gundogan adalah dia dibenarkan untuk meninggalkan Barcelona, dan menyertai Man City semula. Dipetik dari Relevo, jurucakap itu berkata: “Sebenarnya Gundogan tak mahu meninggalkan Barcelona, namun pada masa yang sama dia juga tak mahu menjadi masalah di kelab itu.
“Barcelona meletakkan tekanan ke atasnya sama seperti yang mereka lakukan ke atas De Jong. Namun kali ini Gundogan sedia untuk memudahkan urusan kelab dan membantu kelab itu. Dia seorang yang sangat ‘gentleman’ dan sedia untuk membantu kelab.”
Gundogan kini menjadi pemain yang sedia untuk pulang ke Man City. Dia benar benar berharap kelab itu dapat menerimanya kembali. Namun situasi ketika ini benar benar positif. Kerana Guardiola memang sedang mencari alternatif untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Oscar Bobb yang cedera.
Pada masa yang sama, Gundogan juga adalah pemain yang menjadi tunjang dan teras sistem Guardiola sekian lama di Man City.