Hafizh Syahrin Dah OK! Lihat Video Pescao Berjalan Dengan ‘Crutches’

Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah dilaporkan mengalami lemban pada bahagian pinggul selepas terbabit dalam kemalangan mengerikan di awal perlumbaan Grand Prix (GP) Austria di Litar Red Bull Ring-Speilberg, hari ini.

Pelumba pasukan Aspar berusia 26 tahun itu dikejar ke pusat perubatan di litar tersebut dalam keadaan sedar selepas kemalangan itu.

“Lebam di bahagian pinggul tetapi imbasan pertama tidak menunjukkan keretakan besar. Dia akan dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut,” menurut tweet MotoGP.

Insiden kemalangan itu berlaku selepas pendahulu kelas Moto2, Enea Bastianini hilang kawalan di selekoh pertama dan terjatuh dengan meninggalkan jenteranya di tengah laluan sebelum Hafizh gagal mengelak dan melanggar motosikal pelumba Itali itu.

Kemalangan itu menyebabkan Hafizh Syahri melambung tinggi di udara dan jenteranya berkecai.

Kemalangan itu turut membabitkan beberapa pelumba lain iaitu Andi Izdihar (IDEMITSU Honda Team Asia) dan Edgar Pons (Federal Oil Gresini Moto2) dan perlumbaan itu terpaksa dikibarkan bendera merah sebelum saingan dipendekkan kepada 13 pusingan.

Sementara itu, pengasas pasukan, Jorge Martinez berkata amat menakutkan untuk melihat kemalangan itu tetapi doktor menyatakan Hafizh, yang dikenali sebagai ‘El Pescao’, sentiasa dalam keadaan sedar dan tiada sebarang kesan pada bahagian kepala.

“Mereka telah menjalankan pemeriksaan ultrasound pada bahagian perut serta imbasan CT seluruh badan dan pelumba itu tidak mengalami sebarang keretakan tulang.

“Mereka telah membawanya ke hospital untuk pemeriksaan lanjut dan kami gembira untuk mengumumkan bahawa pelumba itu sihat selepas kejadian itu,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, prinsipal pasukan Petronas Sepang Racing Team, Datuk Razlan Razali berkata pelumba itu berada dalam keadaan sedar dan hanya mengalami lebam.

BERNAMA pada hari ini memuat naik keadaan Hafizh Syahrin yang sudah mulai berjalan dengan memakai tongkat penyokong / crutches.

Baguslah Pescao. Semoga dapat pulih dengan baik dan menjalani rehabilitasi sebaik mungkin.

Hafizh Syahrin masih merasa impak

Bagaimanapun, pelumba pasukan Aspar itu lega apabila pasukan perubatan mengesahkan beliau tidak mengalami kecederaan serius pada bahagian badannya selepas kemalangan itu.

“Saya gembira apabila tiada kecederaan besar di badan saya, tetapi kemalangan itu sangat teruk. Saya masih merasa sakit pada kedua-dua belah kaki terutamanya kaki kiri.

“Pada masa ini, saya menggunakan topang ketiak untuk membantu pergerakan dan saya berdoa agar pulih secepat mungkin, saya juga berharap dapat menyertai perlumbaan hujung minggu ini (GP Styrian),” katanya kepada wartawan Malaysia menerusi aplikasi WhatsApp.

Sementara itu, prinsipal pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team Datuk Razlan Razali bersyukur kerana pelumba berusia 26 tahun selamat dan berharap beliau cepat sembuh.

Dalam kejadian itu, Hafizh Syahrin yang sedang memecut telah merempuh motosikal pendahulu kelas Moto2, Enea Bastianini yang berada di tengah-tengah trek. Pelumba Itali berkenaan sebelum itu hilang kawalan di selekoh pertama dan terjatuh, kemudian berjaya berlari ke tepi trek bagi menyelamatkan diri dengan meninggalkan jenteranya di trek itu.

Pada perlumbaan berkenaan, Spaniard Jorge Martin daripada Red Bull KTM Ajo, meraih kemenangan sulung dalam Moto2 selepas mencatat masa 19 minit 24.723 saat dalam 13 pusingan.

Pelumba SKY Racing Team VR46, Luca Marini dan pelumba Jerman Marcel Schrotter daripada Liqui Moly Intact GP masing-masing mendapat tempat kedua dan ketiga dengan 2.195 saat dan 4.782 saat di belakang Jorge.

Perlumbaan seterusnya ialah Styrian GP dijadualkan diadakan di litar sama hujung minggu ini.

Sumber — BERNAMA

Baca yang lain