Hansi Flick: Dari ‘Budak Intern’ Bank Kepada Bakal Pemenang Treble

Pagi Isnin ini akan berlangsungnya perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) diantara gergasi Jerman, Bayern Munich dan juara Ligue 1, Paris Saint Germain (PSG).

Perlawanan yang dijadualkan pada jam 3.00 pagi waktu Malaysia itu akan bertempat di Lisbon, Portugal.

PSG ketika ini diurus oleh Thomas Tuchel manakala Bayern pula dilatih oleh Hansi Flick. Ini merupakan kali pertama sejak 2013 apabila dua pengurus Jerman bertembung dalam perlawanan akhir UCL selepas Jurgen Klopp dan Jupp Heynckes yang ketika itu mengurus Borussia Dortmund dan Bayern.

Mari bersama penulis kita melihat perjalanan karier bola sepak Hansi Flick sejak dari zaman persabunannya di liga bawahan Jerman sehingga hanya tinggal selangkah untuk menjulang treble kedua buat Bayern Munich.

Karier Pemain Bola Sepak

Memulakan karier bola sepak di liga bawahan Jerman bersama Sandhausen. Pada usia 20 tahun, beliau telah disambar oleh Bayern Munich.

Bermain sebanyak 137 bersama skuad Bavarian, Flick sempat memenangi 4 kejuaraan Bundesliga serta 1 kejuaraan Piala Liga.

Aksi Flick (kanan) ketika bermain untuk Bayern Munich.

Setelah 5 musim berkhidmat bersama Bayern, beliau akhirnya berhijrah ke Cologne pada 1990. Namun aksinya di Cologne terbatas akibat mengalami kecederaan serius dan beraksi pada perlawanan terakhirnya di pentas Bundesliga pada tahun 1992.

Hampir Memilih Kerjaya Sebagai Kerani Bank

Hansi Flick hampir sahaja tidak terlibat secara serius dengan bola sepak professional. Ketika berusia 18 tahun, beliau yang ketika itu sedang menjalani kursus sebagai perantis bank.

VfB Stuttgart datang menyunting untuk beraksi bersama mereka. Flick menolak kerana tidak dijaminkan tempat di dalam skuad utama. Stuttgart hanya menawarkan beliau di pasukan simpanan sahaja.

Rileks Stuttgart. Dari aku main skuad simpanan, baik aku jadi kerani!

Saya ingin menamatkan latihan di bank. Stuttgart menawarkan saya untuk beraksi di skuad simpanan mereka. Saya tidak mahu. Saya mahu tempat dimana saya boleh bergantung kerana saya tidak tahu berapa lama saya boleh bermain bola sepak,” ujar Flick dalam satu temu bual bersama majalah Rund.

Permulaan Karier Sebagai Jurulatih

Flick memulakan karier kejurulatihan melatih kelab Bammental pada tahun 1996 sehingga 2000. Hoffenheim datang merisik pada 2000.

Flick ketika di Hoffenheim.

Beliau membantu Die Kraichgauer meraih promosi ke divisyen 3 sebelum melepaskannya kepada Ralf Ragnick.

Beliau juga sempat berguru bersama jurulatih lagenda Itali, Giovanni Trappatoni di Austria. Flick merupakan salah seorang staf di Red Bull Salzburg selama semusim.

Menjulang Piala Dunia

Setelah pelantikan Joachim Low sebagai jurulatih skuad kebangsaan Jerman yang baharu, Flick diangkat sebagai penolong jurulatih.

Ini merupakan kali pertama skuad kebangsaan Jerman dibimbing oleh jurulatih dan penolong yang tidak mempunyai pengalaman beraksi di peringkat tinggi. Flick hanya mempunyai 2 caps bersama skuad bawah 18 tahun Jerman.

Flick bersama Low membawa Jerman memenangi Piala Dunia 2014.

Pengalaman bukan penghalang bagi pasangan tersebut apabila mereka berganding bahu untuk membantu Jerman menjulang Piala Dunia 2014 di Brazil. Itu merupakan Piala Dunia yang keempat yang dimenangi oleh Die Mannschaft.

Pulang ke Bavaria

Setelah meletakkan jawatan sebagai penolong jurulatih Jerman usai Piala Dunia 2014, Flick dilantik sebagai pengarah sukan Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB). Beliau memegang jawatan tersebut sehingga Januari 2017.

Flick dan Kovac berbincang dalam sesi latihan Bayern Munich.

Niko Kovac melantik Flick sebagai penolong pengurus di Bayern bagi menyuntik pengalamannya dalam mengurus juara dunia untuk menguruskan skuad yang dipenuhi pemain bintang itu.

Namun jodoh Kovac bersama Bayern tidak panjang apabila dipecat setelah permulaan musim kedua yang terumbang-ambing.

Flick dilantik sebagai pengurus sementara. Namun seperti yang kita tahu, the rest is history. Flick dengan pengalamannya sebanyak 3 kali menjadi penolong jurulatih, berjaya mengubah 360 darjah landskap di Allianz Arena.

Keunggulan Hans-Dieter Flick

Dengan perubahan taktikal yang dilakukan beliau, Bayern dibawah kendaliannya mencatatkan 32 kemenangan dari 35 perlawanan dalam semua kejohanan dengan hanya 2 kekalahan!

Beliau juga mengubah corak permainan Bayern kepada DNA lama mereka, serangan pantas dan efisyen. Dengan purata 3 gol dalam setiap perlawanan, mereka boleh menghukum pasukan lawan yang terleka. Tanya la Messi kalau tak percaya. Salam 8-2. Hiks!

Pada April 2020, Flick menandatangani kontrak sebagai pengurus tetap yang mengikat beliau di Bavaria sehingga 2023.

Rumusan

Setelah mengungguli Bundesliga serta Piala Liga, Hansi Flick kini dalam momentum terbaik untuk menamatkan musim yang panjang ini dengan menjulang trofi ketiga, dan treble kedua dalam sejarah kelab.

Adakah beliau akan berjaya? Menarik untuk disaksikan.

Baca yang lain