‘Hanya Bayern Dan Dortmund Saja Buat Jelajah Pra Musim, Pasukan Lain?’ – Pegawai Pemasaran Bayern

Pegawai pemasaran Bayern Munich Andreas Jung telah mengecam tindakan 16 kelab lain yang culas membuat aktiviti jelajah pra musim.

Dan kemudian peminat kelab kelab ini pula yang lebih lebih mempersoalkan, kenapa liga dan pasukan mereka tidak sepopular Liga Inggeris.

Pada pra musim kali ini pasukan pasukan liga Inggeris berebut rebut melakukan jelajah pra musim.

Sebaliknya pasukan di Jerman pula lebih memilih untuk tidak melakukannya dan hanya berlatih di tempat mereka sendiri.

Andreas Jung memberikan perbandingan, di England ada 18 pasukan mereka ke luar negara untuk melakukan jelajah pra musim.

Jung berkata: “Ianya sama macam ni setiap tahun. Cuma kami [Bayern Munich] dan Borussia Dortmund yang pergi membuat jelajah para musim.”

“Sedih sekali, 18 daripada 20 pasukan Liga Perdana Inggeris pergi menjelajah untuk pra musim untuk jelajah pemasaran dan publisiti.”

“Kita tak boleh terus duduk berdiam diri macam ni kemudian mengomel, kenapa Liga Inggeris dapat lebih banyak duit dari kita.”

Jung menjelaskan di Jerman, banyak pasukan yang berkemampuan untuk membuat jelajah ke luar negara. Namun tidak mahu melibatkan diri dengan urusan seperti itu kerana menganggapnya tidak penting.

Pandangan Jung mendapat bantahan daripada beberapa peminat. Ada yang mengingatkan dia, itulah jadinya kalau Liga Jerman cuma sekadar Farmers League di mata peminat kerana kurang kompetitif.

Selain itu ada juga menyatakan bahawa tiada siapa yang nak kisah pasal kelab seperti Freiburg, Koln dan beberapa kelab lain.

Namun hujah itu disanggah oleh yang lain kerana menurut mereka pasukan kerdil EPL seperti Fulham pun tetap berusaha mempromosikan kelab dan liga mereka ke negara lain.

Fulham malah mencari pasukan besar lain untuk menjadi lawan pemanas badan pasukan tersebut dalam jelajah pra musim.

Ada juga menyatakan Jung mungkin kedengaran celupar, namun hakikatnya Jerman memang macam itu. Mereka sentiasa menganggap mereka kuasa besar bola sepak dunia dan liga mereka sudah cukup bagus.

Kelab seperti Bayer Leverkusen misalnya, memiliki pengikut mereka tersendiri di seluruh dunia.

Memang asas kepada pra musim adalah latihan. Namun bola sepak moden tidak boleh lari daripada usaha meraih publsiti demi mendapatkan lebih banyak pendapatan.

Mereka harus aktif mencari tajaan untuk aktiviti pra musim termasuk jelajah berkumpulan untuk pertandingan pertunjukan pra musim.

Seorang lagi menambah: “Walaupun saya tak suka EPL, namun harus diakui kelab kelab mereka tidak perlu disuruh untuk mempromosi diri mereka sendiri dan secara tak langsung mempromosikan liga mereka.”