Harimau Akan Menang Jika 3 Situasi Semasa di Kem Garuda Dimanfaatkan

Menjelang sepak mula perlawanan seteru paling panas di Asia diantara Malaysia dan Indonesia, skuad Harimau Malaya hanya mempunyai 1 isu biasa.

2 pemain digantung menyaksikan penyerang tengah, Shafiq Ahmad dan pemain pertahanan kanan, Matthew Davies. Sementara satu lagi pertahanan kanan negara juga berada dalam keraguan iaitu Syahmi Safari.

Situasi tidak terlalu kritikal kerana Malaysia masih mempunyai Norshahrul Idlan Talaha dalam senarai menunggu, pemain yang begitu baik ketika menggalas cabaran di Kejohanan AFF pada hujung tahun 2018.

Tidak banyak perkembangan negatif yang boleh diambil oleh Indonesia dari pasukan Malaysia.

3 perkara yang berlaku di kem Indonesia lebih mencabar dan boleh menjejaskan persiapan pasukannya.

Pemecatan Ketua Jurulatih Simon McMenemy

Pada 7 November, Indonesia telah memecat McMenemy selepas hanya 10 bulan memimpin skuad Garuda. Berikutan kekalahan dalam kesemua 4 perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Indonesia tewas 2-3 kepada Malaysia pada perlawanan pembukaan kumpulan seterusnya tewas 0-3 di tangan Thailand. Kedua-dua di halaman sendiri, Stadium Gelora Bung Karno. Skuad kendalian kelahiran Scotland ini dibelasah 0-5 di tanah Arab ketika menentang UAE dan selepas itu giliran Vietnam meraih 3 mata, juga di Gelora Bung Karno.

McMenemy hanya menang sekali menewaskan pasukan yang hampir tiada dalam peta bola sepak dunia, Vanuatu di perlawanan persahabatan antarabangsa.

Kurang 10 hari ketika skuad Garuda perlu menghadapi Malaysia, McMenemy dipecat. Dilaporkan penggendali yang diikat selama 2 tahun ini mampu meraih US$260,000 hasil dari pampasan pembatalan kontrak.

Penolong jurulatih, Yeyen Tumina akan menggalas cabaran pada perlawanan menentang Malaysia dan akan dibantu oleh Joko Susilo dan Alan Haviluddin. Walaubagaimanapun McMenemy akan terus berada bersama skuad bagi memberi bantuan kepada Yeyen.

Ketika Malaysia sedang mengintai peluang untuk bersaing di 2 tempat teratas dan Tan Cheng Hoe semakin mendapat momentum terbaik sepanjang 2 tahun bersama skuad negara, Indonesia kini perlu bermula sekali lagi dan sibuk mencari ketua jurulatih baru.

2 nama yang berada dalam perhatian Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) Luis Milla dan Shin Tae Yong dilaporkan akan berada di Bukit Jalil untuk menyaksikan perlawanan tersebut.

Ketidak tentuan ketika ini siapa pengendali dalam Skuad Garuda boleh dimanfaatkan sepenuh oleh Harimau Malaya.

Jadual Liga 1 Indonesia Yang Bemasalah

Selepas keluar dari penggantungan oleh Federasi Bola Sepak Dunia (FIFA), Indonesia bergelut untuk membina kembali liga mereka. Sejak dari 2016 mereka belu mampu menstabilkan liga utamanya.

Pada musim 2019 Liga 1 mempunyai masalah berkaitan penaja utama sehingga memaksa liga ini ditangguhkan sehingga Mei. 2017 dan 2018 menyaksikan liga ini bermula sekitar Mac selepas pertandingan Piala Presiden berakhir.

Akibat dari kelewatan itu, Liga 1 bergelut dengan penyusunan jadualnya dan bergelut untuk menamatkan kempen domestik sebelum Januari 2020. Setiap kali minggu antarabangsa berlaku, Indonesia hampir ketiadaan ruang untuk merehatkan Liga 1.

Akhirnya pada minggu antarabangsa November iaitu pada kali ini, mereka terpaksa melangsungkan beberapa perlawanan Liga 1. Liga tidak dapat dihentikan. Sekurang-kurang 8 perlawanan terpaksa dilangsungkan.

Liga 1 juga menyaksikan banyak perlawanan yang ditunda pada tarikh asal. Jadual Liga 1 cukup bercelaru. Tidak kurang dari 23 perlawanan ditukar tarikh sepanjang musim ini.

Adakah 4 kekalahan Indonesia sepanjang kempen kelayakan juga mempunyai kaitan dengan pertandingan domestik yang tidak teratur?

Bagaimana pemain boleh menyediakan persiapan fizikal dan mental dalam situasi begini?

Adakah ini juga akan memberi satu kelebihan kepada Malaysia?

Perlawanan persahabatan yang tidak sesuai

Tidak seperti Malaysia. Indonesia tidak melakukan sebarang perlawanan kelas A sepanjang kempen. Apabila mereka tiba di Kuala Lumpur mereka telah menyusun satu perlawanan persahabatan yang boleh memakan diri.

Ketika Thailand mengesaki Malaysia melakukan Spy Gate dan mengatakan ia salah satu kemungkinan Thailand tewas, Indonesia melakukan perlawanan persahabatan menentang PKNS.

Adakah Malaysia hanya membiarkan perlawanan ini berlangsung tanpa pergi mengintai apa perkembangan pasukan dan pemain dari Indonesia?

Ia seperti menyorong bantal kepada orang yang mengantuk dan jaraknya terlalu dekat dan mudah untuk dipantau.

Rumusan

Melihat kepada 3 perkara semasa yang berlaku dalam kem Indonesia seharusnya menjadi kelebihan kepada skuad Malaysia. Ketika Indonesia sudah tidak boleh bersaing lagi dalam persaingan di kumpulan G, mereka hanya boleh dimotivasikan dengan nilai perlawanan derby.

Yeyen akan menghadapi skuad Tan Cheng Hoe yang kini sedang meningkat naik selepas 2017.

Walaubagaimanapun Tan Cheng Hoe dan para pemain perlu lebih fokus kepada sasaran mengejar cita-cita ke Piala Asia dan peluang membuat kejutan bermain di Pusingan Akhir Kelayakan Piala Dunia.

Baca yang lain