Harimau Melaka Bakal Ganti Melaka United

Melaka United sebelum ini disahkan tersingkir dari Liga Malaysia untuk edisi 2023. Bermakna kelab tersebut tidak akan beraksi dalam 2 liga utama Malaysia iaitu Liga Super atau Liga Premier.

Melaka United juga tidak dapat beraksi dalam aksi Piala Malaysia musim ini kerana hukuman yang dikenakan oleh MFL.

Sebelum ini, CEO Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Stuart Ramalingam berkata rayuan Sarawak United FC dan Melaka United FC ditolak Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab MFL (AB), selaras dengan Artikel 3.4.4 yang termaktub di dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2022 dalam satu mesyuarat sebelum ini.

Stuart berkata ianya sekali gus menyaksikan keputusan dilakukan oleh First Instance Body (FIB) pada 12 Okt lepas, adalah kekal.

Sebelum ini, Pengerusi Pelesenan Kelab MFL FIB Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata Melaka United gagal mengemukakan bukti pembayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai sehingga Jun dan Ogos tahun ini.

Datuk Seri Justin Lim yang merupakan CEO MUSA menyatakan dia kecewa dengan tindakan MFL yang menyingkirkan Melaka United daripada pertandingan Liga Malaysia.

Dipetik dari laman sosial rasmi Melaka United, Datuk Wira Justin Lim berkata:

“Saya berpendapat bahawa keputusan ini hanya akan menjejaskan lagi masa hadapan kelab bola sepak Melaka kerana pasukan ini sudah tiada lagi punca pendapatan jika tidak beraksi di Liga Malaysia, apatah lagi buat masa ini terdapat pelabur-pelabur dan kesatria putih yang berminat untuk membeli Melaka United FC untuk menyelamatkan kelab bola sepak Melaka.”

“Malang sekali, keputusan MFL ini mungkin akan memberi impak yang sebaliknya yang mana akan menjejaskan lagi masa hadapan pekerja-pekerja dan pegawai-pegawai.”

Seterusnya beliau menyatakan bahawa pihaknya sedang mencari penyelesaian dalam usaha menentukan hala tuju kelab itu dalam masa terdekat.

Justin Lim menambah: “Walaupapun, kami telah melakukan yang terbaik dalam usaha untuk mendapatkan lesen dan dari keputusan ini kami akan menilai semula keseluruhan situasi sebelum mengumumkan hala tuju kelab dalam masa terdekat”.

Harimau Melaka ganti Melaka United

Namun harapan kini muncul kembali buat bola sepak Melaka. Menurut laporan Sinar Harian, Presiden MUSA, Datuk Nur Azmi mengumumkan bahawa ada penstrukturan semula melibatkan MUSA kepada Bola Sepak Amatur Melaka (MAFA).

Penstrukturan itu akan menyaksikan beberapa pembaharuan dibuat termasuk mewujudkan pasukan baharu yang digelar Harimau Melaka.

Menurut laporan yang sama, skuad tersebut akan dibarisi pemain pemain tempatan yang akan beraksi di liga M3 ataupun liga amatur.

Pasukan Harimau Melaka akan mulai menjalani latihan bermula Disember akan datang.

Beberapa proses sedang dilakukan untuk memastikan kelancaran pembentukan Harimau Melaka termasuk memaklumkan CEO MUSA, Datuk Seri Justin Lim.

Harimau Melaka akan cuba mencari dana sekitar RM1.5 juta untuk membina pasukan yang baharu itu.

Datuk Nur Azmi turut menjelaskan bahawa, lesen kelab masih boleh digunakan, namun nama Melaka United perlu digantikan. Maka mereka memilih nama Harimau Melaka.

Boleh baca laporan lebih lengkap dalam artikel di bawah ini daripada Sinar Harian:

Baca yang lain

UEL: Liverpool Rasminya Tersingkir

Liverpool berkunjung ke markas Atalanta dengan membawa defisit 3 gol dari Anfield. Misi mereka adalah menjaringkan 3 gol dan cuba mengelak bolos.