Haris Safwan: Tidak Perlu Naturalisasi Pemain Tua, Fokus Kepada Pembangunan

Isu tentang pemain naturalisasi terus menjadi perbincangan hangat di Malaysia selepas skuad Harimau Malaya gagal menepati jangkaan peminat tanah air.

Malaysia terbang ke Dubai dengan 2 pemain naturalisasi baharu iaitu Guilherme De Paula dan Liridon Krasniqi.

Disamping itu Malaysia mendapat seorang lagi pemain warisan pada minit akhir selepas Dion Cools mendarat di sana.

Namun Malaysia tewas besar di tangan UAE 0-4 sebelum dikalahkan buat kali ke-2 oleh Vietnam 1-2. Malaysia juga tewas kepada Kuwait dan Bahrain pada 2 perlawanan persahabatan sebelumnya.

Prestasi yang ditunjukkan oleh 2 pemain baharu tersebut amat mengecewakan banyak pihak.

Naturalisasi hanya pelan jangka masa pendek

Bekas penyerang Selangor, Johor, Kelantan dan Perak yang kini salah seorang jurulatih pembangunan, Haris Safwan Kamal melihat langkah persatuan bola sepak Malaysia (FAM) tidak tepat kerana menaturalisasikan pemain berumur.

Haris juga percaya pembangunan merupakan solusi terbaik untuk mengatasi masalah prestasi Malaysia untuk tempoh jangka masa panjang.

“Saya lebih fokus kepada pembangunan daripada naturalisasi,

“Naturalisasi mungkin boleh digunakan untuk pelan jangka masa pendek tapi kena buat keputusan betul-betul,

“(Pemain) umur 34, 35 (tahun) nak naturalisasi bagi saya tak perlu lah benda macam tu,

“Umur 26, 27 kebawah nak naturalisasi, naturalisasi lah atas bakat dia (ada),

“Tapi itu untuk jangka masa pendek, kalau untuk jangka masa panjang saya fokus kepada pembangunan,

“Kita tahu Malaysia ramai pemain berbakat. Dia (mereka) mampu, cuma tunjuk ajar jurulatih lah macam mana.” -kata Haris Safwan dalam temubual di Makan Bola

Masalah yang membantutkan perkembangan pemain remaja

Menjawab tentang beberapa program pembangunan yang berlaku di Malaysia Haris percaya kumpulan pemain remaja tersebut merupakan produk terbaik yang ada di Malaysia.

Namun percaya terdapat beberapa masalah yang perlu diselesaikan untuk meraih hasil terbaik pada masa hadapan.

Bagi Haris, ada kemungkinan pemain remaja diberi gaji besar menjadi punca pemain tersebut merasa selesa dan tidak berkembang.

“Setakat yang saya tahu, produk NFDP ni walaupun ada segelintir menidakkan keupayaan budak NFDP, tetapi (produk) mereka menjadi seperti goreng pisang panas,

“Hampir setiap tahun (pasukan) berebut. Hampir setiap pasukan yang tak nak buat akademi, tak nak buat pembangunan berebut nak ambil pemain ni untuk diserap (dalam pasukan) belia dan presiden.”

“Pada saya banyak (dan) boleh diberi peluang cuma kita tak tahu apa masalah, contoh sekarang budak NFDP ramai ke JDT dan Selangor,

“Saya tak tahu kenapa (mereka) tak perform ataupun (mungkin) tak diberi peluang, saya tak tahu,

“Mungkin mereka dah terkurung lama dalam NFDP. Mungkin itu salah satu sebabnya,

“Kita nak salahkan jurulatih, nak salahkan pengurusan pun tak boleh. Kita pun tak tahu,

“Mungkin la dapat gaji besar , mungkin (dalam) RM4 ribu hingga RM5 ribu (gaji pemula) dengan umur baru 18 tahun,

“Nak ada tu nak ada ni kan, banyak dengan aktiviti-aktiviti luar boleh merosakkan diri juga,

“Jadi saya tak pasti. Mereka adalah masa depan bola sepak negara.”

Haris juga berkata, sikap pengurusan bola sepak di Malaysia menjadi punca pasukan Malaysia tidak cemerlang di peringkat antarabangsa.

Salah satu pengurusan akan memaksa jurulatih menurunkan pemain import atas alasan gaji mereka mahal.