Hati Masih Panas! Osimhen Enggan Ambil Penalti Atau Raikan Gol

Hubungan antara Victor Osimhen dan Napoli nampaknya masih agak panas. Walaupun pemain itu memutuskan untuk mengikuti semula instagram rasmi Napoli. Ejen kepada pemain itu sebelum ini mengesahkan bahawa Osimhen mahu menyaman kelab itu kerana video yang mempersendakannya meminta penalti dan kemudian penalti itu tak masuk.

Video yang dimuat naik di TikTok itu undang rasa kecewa pemain itu kerana ianya akaun rasmi kelab. Bukan sahaja video mengejek pasal penalti itu, malah satu lagi video adalah mengejek gaya rambutnya dengan kelapa yang dianggap ada motif perkauman di sebaliknya.

Itulah sebabnya pemain itu sudah hilang sabar dengan tindakan akaun rasmi media sosial kelab itu.

Dalam aksi menentang Udinese baru baru ini, Osimhen menjaringkan gol kedua Napoli selepas dipilih untuk memulakan pertemuan Serie A. Walaupun dia sebelum itu benar benar sakit hati dengan Napoli.

Sikap profesionalnya tetap dipuji. Dia memberikan aksi terbaiknya. Pemain Nigeria itu menamatkan penantian gol dalam 4 perlawanan. Tetapi membuat keputusan untuk tidak meraikan golnya walaupun rakan rakannya datang memeluknya.

Keengganan pemain berusia 24 tahun itu untuk meraikan golnya adalah isyarat terbaharu dalam hubungan yang memburuk selepas dia turut memadamkan gambar dirinya dengan jersi pasukan Serie A itu daripada akaun Instagramnya.

Sebelum menjaringkan gol kedua, Osimhen sebelum itu menolak untuk mengambil sepakan penalti yang diberikan kepada Napoli pada minit ke-19. Biasanya dia adalah petugas utama untuk penalti. Kali ini diambil oleh Pitr Zielinski walaupun ada Osimhen atas padang.

Napoli sudah mengeluarkan kenyataan rasmi kelab mereka tentang isu melibatkan Osimhen. Kelab itu berkata: “Untuk mengelakkan eksploitasi lebih lanjut masalah ini, SSC Napoli dengan ini menyatakan bahawa kelab tidak pernah sesekali dengan sengaja menyinggung atau mengejek Victor Osimhen yang merupakan aset kelab.”

“Inilah sebabnya Napoli menolak kesemua tawaran kelab lain yang mahu menandatanganinya pada musim panas lalu – itu bukti kukuh betapa kelab menghargainya.”

“Di media sosial, terutamanya TikTok, ekspresi bahasa digunakan dalam bentuk santai dan untuk berseronok. Dalam kes melibatkan Victor, tiada niat untuk mengejek atau mempersenda. Jika Victor tersinggung, kelab tidak pernah berniat sama sekali untuk membuat perkara itu berlaku.”

Osimhen merupakan pemain terbaik Napoli musim lalu dalam kejayaan mereka menamatkan penantian Serie A sejak era Maradona.

Dia dianggap legenda hidup kelab itu dan seharusnya dia dihormati. Dan pemain itu buat masa ini dikatakan masih mahu meninggalkan kelab itu kerana merasakan tindakan petugas media kelab itu yang melampau.

Baca yang lain