Hazard Jadi Sasaran Pertama Unai Emery Januari Ini

Aston Villa secara rasmi menandatangani pengurus Villarreal Unai Emery sebagai pengganti Steven Gerrard yang dipecat minggu lalu.

Ia dianggap berita yang mengejutkan memandangkan Unai Emery sebelum ini pernah menolak tawaran Newcastle pada saat akhir.

Pada masa itu dia berkata dia terpaksa menolak Newcastle — walaupun sudah bersetuju pada perbincangan awal — kerana ada projek besar di Villarreal di bawah kendaliannya.

Dan dia tidak mahu meninggalkan projek itu begitu sahaja memandangkan kelab itu masih berharap kepadanya.

Fabrizio Romano melaporkan bahawa Aston Villa membayar €6 juta yang termaktub pada klausa pelepasan pengurus itu untuk membawanya ke Villa Park.

Selain itu, Villa memberikan gaji €7 juta semusim kepada Unai Emery. Angka yang sangat tinggi dan hampir 2 kali ganda apa yang mereka bayar kepada Gerrard (€4 juta semusim) sebelum ini.

“Rasmi, disahkan. Aston Villa telah melantik Unai Emery sebagai ketua jurulatih baharu, dengan gaji sekitar 7 juta euro setahun,” tweet Fabrizio Romano.

“Kontrak telah selesai kerana Aston Villa akan membayar klausa pelepasan €6 juta penuh kepada Villarreal.”

Aston Villa kemudian mengumumkan secara rasmi perlantikan pengurus yang terkenal dengan kepakarannya dalam Liga Europa itu.

Unai Emery rasminya kembali semula ke England selepas menikmati karier yang luar biasa di Sevilla.

Peminat Aston Villa ternyata terkejut dengan perlantikan tersebut dan tidak menyangka bahawa Unai Emery akan menjadi pengurus baharu mereka.

Selain Unai Emery, Aston Villa turut berminat dengan Mauricio Pochettino. Namun rundingan untuk mendapatkan bekas pengurus Spurs itu lebih rumit.

Akhirnya mereka berjaya mendapatkan Unai Emery. Sama seperti Pochettino, Emery juga bekas pengurus kelab ternama Perancis yang sarat dengan bintang iaitu PSG.

Unai Emery akan memulakan tugasannya pada 1 November nanti. Ini kerana dia masih perlu menyelesaikan isu permit kerja dan beberapa prosedur serta urusan yang lain untuk kembali bertugas di England.

Unai Emery tidak asing dengan bola sepak Eropah. Emery adalah satu-satunya jurulatih yang mampu membawa Sevilla merangkul kejuaraan Liga Europa tiga kali berturut-turut dan merupakan pengurus dengan paling banyak gelaran Liga Europa.

Rekod yang mengagumkan itu membuatkan Villa berani menawarkan kerusi kejurulatihan pasukan kepada Emery. Lelaki berusia 50 tahun itu bersetuju. Villa juga dikhabarkan akan membantu Emery membawa masuk pemain yang diperlukannya.

Unai Emery mahukan Eden Hazard

Laporan oleh Defensi Central menyatakan bahawa nama pertama yang dimahukan oleh Unai Emery bukanlah calang calang, tetapi pemain Real Madrid iaitu Eden Hazard.

Laporan yang sama menyebut, Aston Villa sudah memulakan langkah dalam usaha mahu mendapatkan Hazard. Jika semuanya berjalan lancar, Hazard sudah pun menjadi sebahagian daripada The Villans pada Januari 2023.

Walaupun nampak agak di luar kotak pemikiran semua, namun sebenarnya, Villa yakin bahawa mereka boleh memikat Hazard kerana pemain itu terus gagal menjadi pemain utama di Real Madrid.

Dia hanya muncul dalam 72 perlawanan. Dan kebanyakannya adalah sebagai pemain gantian. Ianya rekod penampilan yang teruk untuk pemain bernama Eden Hazard yang dibeli dengan nilai keseluruhan EUR120 juta.

Selain itu, Villa sebelum ini pernah berjaya membawa Phil Coutinho dari Barcelona dengan harga sangat rendah. Mereka akan cuba untuk menggunakan kaedah sama dalam usaha memancing Hazard.

Persoalannya, adakah Eden Hazard sudah sedia untuk beraksi di kelab seperti Aston Villa? Atau masih merasakan bahawa dia masih boleh menjadi pemain utama di kelab kelab elit eropah yang lain.

Baca yang lain

Cafu: ‘Hanya Neymar Yang Ada Magis’

Cafu mempertahankan kualiti Neymar dengan menganggap dalam pasukan Brazil sekarang hanya beliau yang benar benar berkelas dunia. Cafu menganggap adalah tidak adil