Masih ingat tak dengan nama Fabio Borini? Pemain yang suka meraikan gol dengan gaya meletakkan tangan di mulutnya, ibarat sedang menggigit pisau.
Beliau telah dipilih sebagai MOTM dalam kemenangan bersejarah dicatatkan oleh Hellas Verona ke atas Juve.
Sementara itu, pemain yang baru meraikan harijadinya ke-35, Cristiano Ronaldo terus cemerlang di hadapan gol. Ronaldo terus menunjukkan kenapa beliau masih berada di tahap tertinggi dalam bola sepak.
Beliau kini sudah memecahkan rekod David Trezeguet untuk gol berturut-turut paling banyak dalam Serie A untuk Juventus.
Perlawanan ini sangat menarik untuk disaksikan. Tetapi tu la, berapa je korang yang layan Serie A kan? Layan la lain kali.
Ok, di atas padang, pada separuh masa pertama tiada gol dicatatkan walaupun banyak peluang gol terutama sekali daripada Juventus.
Douglas Costa melalukan rembatan deras dari luar kotak penalti yang terkena palang.
Kumbulla pula hampir meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan, namun gol itu dibatalkan kerana ofsaid.
Masuk sahaja separuh masa kedua, perlawanan ini menjadi lebih menyeronokkan.
Ronaldo melakukan cut inside dan lencongan rendah. Sekali lagi tiang gol menjadi penyelamat Verona.
Ronaldo akhirnya berjaya meletakkan Juve satu gol di hadapan dengan gol pada minit ke-65. Ianya berpunca daripada serangan balas, dengan Ronaldo meluru ke arah penjaga gol.
Beliau kemudian tenang melalukan rembatan yang rendah dan masuk.
Itu adalah gol ke-20 liga beliau musim ini. Memecahkan rekod rentetan gol Trezeguet sebelum ini. Ronaldo sudah menjaringkan gol dalam 10 perlawanan berturut-turut untuk Juventus dalam Serie A.
⚪⚫ Cristiano #Ronaldo come #Trezeguet 👏
9⃣ partite consecutive a segno in #SerieA con la #Juventus#UCL @juventusfc pic.twitter.com/bjphyCgOTd
— La UEFA (@UEFAcom_it) February 2, 2020
Namun rekod itu tidak membawa makna kepada Juventus, apabila pertahanan mereka bocor, dua gol dilepaskan dalam masa 14 minit terakhir perlawanan.
Bekas pemain Chelsea, Liverpool dan AC Milan, Fabio Borini menyamakan kedudukan pada minit ke-76.
Beliau melakukan gerakan pantas yang menarik dari kiri dan kemudian melakukan rembatan deras, yang terus masuk.
Kebangkitan luar biasa Verona dilengkapkan lagi apabila pasukan tersebut mendapat penalti pada minit ke-86 perlawanan.
Giampaolo Pazzini dengan tenang memastikan pasukannya mendahului 2-1. Dan seterusnya memenangi perlawanan ini.
Juventus kini membuka peluang kepada Inter Milan untuk memintas mereka dalam kedudukan carta liga Serie A.
Inter akan turun berhadapan dengan AC Milan pada aksi selepas ini. Dan jika Inter menang, pasukan bimbingan Antonio Conte itu berpeluang untuk menduduki tangga teratas sekali lagi – kerana memiliki kelebihan perbezaan jaringan yang lebih besar berbanding dengan Juventus.
Saingan Serie A musim ini menjadi lebih menarik kerana persaingan yang dijelmakan oleh pasukan seperti Inter. Sebuah lagi pasukan yang boleh mengintai peluang kejuaraan, AS Roma tewas di tangan Bologna dalam aksi semalam.