Hisashi Mitsui: Kisah Turun Naik Karier Seorang Genius Dalam Slam Dunk

Bagi peminat manga Slam Dunk, nama Hisashi Mitsui memang antara yang diingati. Watak dan perkembangan watak beliau memberikan warna yang pelbagai kepada jalan cerita Slam Dunk.

Korang bayangkan seorang atlet yang menjadi rebutan banyak sekolah telah memilih untuk menyertai Shohoku. Dan jalan ceritanya tidak sempurna seperti hero dalam manga yang lain.

Dia menunjukkan sisi  rapuh dan gelapnya. Pemain yang pernah mensia siakan dirinya untuk melakukan benda tak berfaedah dalam hidupnya.

Namun pada masa yang sama, dia adalah pemain yang menikmati pujian, kegerunan dari lawan, namun malang sekali, dia bertarung dengan kecederaan.

Sebab itu watak Mitsui ini memang salah satu gambaran yang sangat bagus tentang atlet.

Perkembangan karakter Mitsui juga menunjukkan kepada kita, bahawa seorang atlet itu sentiasa ada peluang untuk menebus diri mereka sebelum terlambat. Jangan persiakan bakat diri sendiri.

(Nota Editor: Kalau korang berdepan iklan melekat depan YouTube bila buka via FB, cuba buka [open with] browser – Maaf atas kesulitan.)

Pemain berbakat

Hisashi Mitsui merupakan Shooting Guard untuk pasukan Shohoku. Beliau pemain yang sangat bagus dan dalam kelompok prospek di Jepun.

Beliau bersekolah di Takeishi Junior High. Dan terpilih menjadi MVP pada tahun akhirnya. Ketika aksi final, beliau bertemu dengan Coach Mitsuyo Anzai, yang memberikannya semangat agar tak putus asa sehingga detik terakhir. Dan dia berjaya menjadi match winner perlawanan itu.

Aksi cemerlangnya membuatkan coach Ryonan High, Taoka Moichi cuba memancingnya. Begitu juga dengan Kainan dan Shoyo.

Namun dengan selamber dia memilih Shohoku. Sebab apa? Sebab Coach Mitsuyoshi Anzai.

Berjuang bersama Mitsuyo Anzai

Anzai banyak memberikannya semangat untuk memenangi kejohanan junior. Sentimen itu membuatkan Mitsui sanggup melakukan apa sahaja demi coachnya itu.

Di arena sukan di dunia nyata, memang akan ada pemain yang sanggup berjuang kerana jurulatihnya.

Namun kecederaan lutut, yang merupakan musuh utama pemain bola keranjang –  telah mebuatkannya berehat panjang dan perkembangannya sebagai pemain prospek terbantut.

Anak muda yang menggemari kasut Asics itu telah menunjukkan kematangannya di atas gelanggang dan perkara itu dirasai sendiri, Akagi.

Malah Akagi menganggap dia adalah salah satu sebab Shohoku akan mampu menjadi pasukan kuat. Malang sekali kecederaan di lutut kirinya membuatkan beliau tidak dapat bermain pada awalnya.

Kedegilannya memburukkan keadaan. Cintanya kepada bola keranjang membuatkannya menderhaka arahan doktor dengan kembali semula ke gelanggang sebelum pulih sepenuhnya. Apa yang berlaku dia cedera lebih teruk. Dan dia terpaksa melupakan bola keranjang hampir dua tahun lamanya.

Itulah realiti di dalam sukan. Recovery yang tak sepenuhnya akan memberikan impak lebih besar.

Di dalam sukan sebenar, ramai pemain atau atlet seperti Mitsui, fake mereka punya status injury dengan harapan nak bermain. Atlet ni bukan orang yang sukakan rehat. Mereka nak ‘letih’ beraksi.

Namun masalah utamanya adalah stamina. Salah satu sebabnya adalah, dia banyak hilang minit latihan yang banyak kerana kecederaan. Misalnya dia pernah collapsed ketika beraksi.

Namun dia tetap berjuang sehingga siren terakhir seperti mana ketika menentang Sannoh.

Akibat kecewa dengan keadaan yang dilihat tidak memihak kepadanya Mitsui pernah menjadi liar dan terlibat dalam dunia gangster remaja sekolah. Namun pada akhirnya dia menyesal dengan apa dia buat.

Dia akhirnya ingat kembali kepada impiannya.

Dia mahu menjadi pemain kebangsaan Jepun suatu hari nanti.

Siapa yang akan lupa ketika dia memberikan masalah besar kepada Akagi ketika di tahun pertama. Dan dia belajar untuk menerima hakikat bahawa Akagi lebih layak menjadi kapten.

 

Mitsui kembali sedar selepas berjumpa dengan coach Anzai sekali lagi. Dan dia menyertai semula pasukan. Dia berjanji tak akan bergaduh lagi.

Namun janji tu tak lama, sebab geng lama dia menyerangnya. Dia kemudian diletakkan di bangku simpanan bersama dengan Miyagi, Rukawa dan Sakuragi kerana kes pergaduhan. Mengamuk si Sakuragi kena bench. Mitsui macam biasa, dia sangat respect dengan Coach Anzai, dan maki si Sakuragi yang panggil coach mereka orang tua.

Oleh sebab ketiadaan mereka, Akagi dan Kogure bergelut di dalam gelanggang. Coach Anzai akhirnya memberikan mereka peluang.

Sebaik sahaja mereka masuk, Miyagi terus menjadi pemain penting yang mereka hilang iaitu seorang point guard yang kental.

Pemain saat genting dengan senjatanya

Mitsui dikenali dengan kepakarannya sebagai penjaring 3 mata. Misalnya, membantu Shohoku bangkit ketika ketinggalan 12 mata di tangan Shoyo. Kepakaran jaringan 3 mata Mitsui juga membantu Shohoku bangkit daripada ketinggalan 20 mata di tangan Sannoh dalam aksi peringkat kebangsaan – pusingan kedua.

Dalam aksi berdepan Kainan, dia menjadi tunjang pasukannya untuk bangkit dengan jaringan 3 mata ketika aksi tinggal beberapa saat lagi.

Aksi Shohoku dan Kainan ketika itu menampilkan pertarungan di antara Mitsui dan juga Jin Soichiro. Di mana kedua duanya memiliki kemampuan melakukan 3 mata.

Jin menyatakan dia akan mengerjakan Mitsui dalam perlawanan itu. Sebagai seorang berjiwa star, Mitsui sangat tak suka dengan Jin. Maka pertarungan itu telah menaikkan prestasinya secara tak langsung.

Jin memberitahu, Mitsui tak akan mampu menghalangnya hari itu. Mitsui berjaya mengatasi tekanan dan dia membawa pasukannya ke pertandingan ‘inter high’ ataupun kejohanan antara sekolah tinggi, walaupun Hanamichi klaim dia yang menjadi watak penting:

Ketika aksi di pusat latihan, dia berjaya membuatkan Sakuragi buntu. Dan keupayaan bertahannya membuatkan banyak lawannya yang ternganggu.

Salah satu daripada momen ikonik Mitsui dalam Slam Dunk, ketika dia berkata: “Saya nak bermain bola keranjang.”

Baca yang lain