Holzhauser Pernah Cadang Perubahan Format Bundesliga Untuk Kekang Dominasi Bayern

Penguasaan dan monopoli Bayern Munich di dalam Bundesliga menyebabkan mantan CEO salah satu pesaing mereka meminta perubahan dalam format liga, untuk menjadikannya lebih menarik.

Selama sembilan tahun terakhir Bayern telah menjadi juara Jerman, dan mereka kelihatan tak mampu digugat mana mana pasukan Jerman lain ketika ini. Sebelum dominasi ini berlaku, Bayern Munich hanya memenangi lima daripada 10 gelaran liga.

Musim ini, walaupun baru lima perlawanan tetapi sudah tentu semua orang mengharapkan pasukan Julian Nagelsmann menjulang trofi pada akhir musim, dengan kemenangan 7-0 hujung minggu lalu ke atas Bochum.

Lantas ada pihak yang kurang senang dengan dominasi terlalu kuat Bayern Munich dan risau liga tersebut semakin hilang peminat dari luar Jerman yang penting untuk penyiaran mereka.

Beberapa tahun lalu, bekas Ketua Pengarah Bayer Leverkusen — Wolfgang Holzhauser — berpendapat satu-satunya cara untuk mengubah sesuatu adalah memperkenalkan play-off pada penentuan kejuaraan.

Kira macam aksi final pada akhir musim. Cadangan itu memang agak pelik, dan masih tidak dapat dilaksanakan pada ketika ini.

“Saya lebih suka menyebutnya sebagai pusingan kalah mati,” kata Holzhauser mengenai ideanya dalam wawancara menerusi Spox.

“Empat pasukan teratas pada carata liga di akhir musim akan bermain separuh akhir menentang satu sama lain selepas musim Bundesliga biasa.

“Pasukan yang di tangga pertama akan bermain menentang pasukan yang keempat dan yang kedua melawan yang ketiga. Pemenang masing-masing kemudian bertanding di final, sementara yang kalah bermain di penentuan tempat ketiga atau keempat.”

“Tanpa menjejaskan sistem kelayakan ke UCL, format seperti itu akan menjadi kemuncak sebenar bagi para peminat.”

Kemenangan terbaru Bayern, yang menyaksikan mereka berada di puncak liga, di atas Wolfsburg hasil perbezaan gol, membuat peminat meminta Bundesliga menyerahkan terus piala kepada Bayern.

Holzhauser mengatakan bahawa ini tidak boleh dibiarkan begitu: “Tidak seharusnya liga kita, juaranya sudah diketahui pada bulan Oktober,” tambahnya merujuk kepada stereotaip peminat di Jerman yang kerap menyatakan Bayern sudah juara pada Oktober setiap musim.

Jose Mourinho pernah menggunakan perumpamaan yang sama tentang Bayern Munich juara pada Oktober pada setiap musim dan kemudian mereka akan memancing pemain pemain bintang dari kelab lain untuk melemahkan pesaing mereka pada musim berikutnya.

“Anda tidak dapat menyelesaikan masalah ini secara kewangan, tetapi anda dapat melakukannya dengan cara yang bersemangat kesukanan,” lanjut Holzhauser.