Howe Beri Bayangan Newcastle Hanya Boleh Belanja £80 Juta Sahaja Kerana FFP

Newcastle United sebelum ini dikaitkan dengan nama nama besar di pasaran perpindahan termasuk Kylian Mbappe.

Newcastle digambarkan boleh menarik mana mana pemain masuk ke kelab mereka dengan pakej tawaran gaji tak masuk akal.

Mana tidaknya, mereka merupakan kelab terkaya di dunia pada ketika ini. Pemilik mereka berlipat kali ganda lebih kaya daripada pemilik Man City dan PSG.

Namun hakikatnya, situasi di Newcastle tidak sama dengan era Roman Abramovich mulai mengambil Chelsea ataupun ketika Sheikh Mansour mulai membeli Man City.

Kerana sekarang ada Financial Fair Play ataupun FFP yang mengawal perbelanjaan sesebuah kelab itu agar tidak sesuka hati menerima dana peribadi daripada pemilik.

Sesebuah kelab itu masih perlu berbelanja berdasarkan garis panduan FFP. Di mana pendapatan kelab adalah daripada tajaan, bonus kemenangan serta hak penyiaran. Pemilik kelab hanya boleh menyuntik dana yang dibenarkan UEFA sahaja.

Oleh sebab itu Eddie Howe mengakui pada Khamis bahawa Newcastle tidak akan dapat berbelanja ‘liar’ dalam jendela perpindahan akan datang selepas mengesahkan status kekal dalam Liga Perdana Inggeris.

Status kekal The Magpies dalam liga utama Inggeris musim depan telah disahkan pada hari Rabu dengan kekalahan 3-0 Leeds kepada Chelsea, bermakna Howe dan pemilik kelab yang disokong Arab itu kini boleh mula merancang dengan bersungguh-sungguh.

Bagaimanapun, selepas melabur kira-kira £85 juta pada bulan Januari untuk membawa masuk Kieran Trippier, Chris Wood, Dan Burn dan Bruno Guimaraes, serta menandatangani pinjaman Matt Targett, Howe telah memberi amaran kepada peminat supaya tidak mengharapkan perbelanjaan besar yang gila gila.

Pengurus berusia 44 tahun itu berkata terdapat “elemen kebenaran” dalam laporan media tentang bajetnya mungkin lebih sederhana pada jendela perpindahan musim panas, merujuk kepada peraturan kewangan FFP.

Newcastle dilaporkan akan dibenarkan berbelanja sebanyak £60 juta hingga £80 juta pada jendel perpindahan akan datang. Howe tidak mengesahkan laporan itu namun pada masa yang sama tidak menafikannya.

Jika mereka mahu berbelanja lebih banyak, mereka harus menjual pemain mereka terlebih dahulu.

Howe: Kami tak boleh berbelanja sesuka hati macam pasukan ‘kaya baru’ sebelum ini

“Dengan FFP, kami mempunyai kekangan dan kami mempunyai perkara yang perlu kami usahakan, jadi kami tidak boleh keluar sana dan membelanjakan wang untuk pemain seperti yang mungkin dilakukan oleh pasukan pada masa lalu dan menukar skuad mereka sepenuhnya dalam satu jendela perpindahan,” katanya.

“Itu bukan pilihan untuk kami. Lebih banyak wang yang anda belanjakan dalam satu jendela perpindahan, maka lebih banyak ia memberi kesan kepada keupayaan kamu untuk berbelanja di jendela perpindahan yang seterusnya.”

Howe, yang pasukannya menerima kunjungan Arsenal pada hari Isnin, membayangkan bahawa mereka terpaksa mengubah perancangan perbelanjaan mereka pada jendela perpindahan akan datang.

“Peraturan ada untuk mengawal perbelanjaan yang adil dan kami perlu mengikutnya, jadi ia memberi kesan kepada apa yang boleh kami lakukan pada musim panas ini,” tambah bekas pengurus Bournemouth itu.

“Tetapi ia tidak bermakna kami tidak mempunyai cita-cita sama sekali. Kami mahu cuba membawa masuk pemain yang betul, mereka yang bangga memakai jersi kelab ini dan itu boleh memberikan perubahan kepada kelab.”

“Kami sedar bahawa kami perlu menukar skuad dan kami perlu membuat peningkatan, tetapi ia akan menjadi sesuatu yang sukar untuk cuba mengimbanginya.”

Eddie Howe yakin para peminat akan faham dengan situasi semasa mereka. Kerana mustahil untuk mereka mendapatkan ramai nama besar ke dalam pasukan seperti yang dibayangkan segelintir peminat sebelum ini.

Untuk mereka berbelanja besar, mereka perlu memenangi sesuatu pertandingan atau mara ke kejohanan eropah. Kemudian cuba mencari seberapa banyak penaja besar dalam beberapa tahun ini.

Mujur Newcastle berjaya kekal di EPL. Ianya sedikit sebanyak membantu mereka dalam usaha mengukuhkan akaun FFP mereka.

Sambil Howe menegaskan kepada wartawan bahawa, membentuk pasukan dengan menggantikan satu pasukan dengan bintang ternama bukan sebahagian daripada visi kelab pada ketika ini.

Baca yang lain

Penyokong Sociedad Ejek Greenwood

Mason Greenwood sekali lagi menjadi serangan lisan berbaur hinaan ke atasnya. Penyokong pelawat, penyokong Real Sociedad telah berkali kali melaungkan Greenwood pergi